Rencana

Parti mana paling demokratik?

Dalam senario politik hari ini, frasa demokrasi, keadilan dan tadbir urus yang baik menjadi satu topik perbincangan yang penting. Frasa ini jugalah yang diketengahkan oleh parti-parti politik untuk meraih undi. Atas alasan itu jugalah, tanpa segan-silu, Ketua Pemuda UMNO mengisytiharkan UMNO adalah parti yang paling demokratik berbanding parti-parti lain. Satu kenyataan yang cukup berani dan mengejutkan.

Namun, ia tidak semudah itu. Segala amalan demokrasi sebenarnya bermula dengan sistem sesebuah parti. Parti yang demokratik dilihat melalui struktur pentadbirannya, cara pemilihan pemimpinnya dan budaya parti tersebut. Yang lebih penting, pengamalan demokrasi tidak sekadar di atas kertas tetapi ia mestilah dipraktikkan. Untuk melihat parti mana yang lebih demokratik, ayuh kita rujuk pengamalan parti-parti utama di Malaysia.

Struktur organisasi parti

Berdasarkan rekod, parti-parti di Malaysia majoritinya mengamalkan struktur organisasi yang hampir serupa yakni ketua organisasi adalah Presiden, dibantu oleh dua jawatan utama: Timbalan Presiden dan Naib Presiden dan seterusnya adalah Majlis Pimpinan/Tertinggi di peringkat pusat. Struktur ini digunakan oleh parti-parti utama di Malaysia; UMNO, PKR, PAS dan Amanah termasuk parti komponen Barisan Nasional.

Struktur sebegini sememangnya menggalakkan berlakunya pemusatan kuasa kepada Presiden parti untuk menentukan dasar, hala tuju dan pendekatan parti tersebut. Malangnya, jawatan Presiden parti-parti ini jarang dipertandingkan dan penyandang jawatan akan terus kekal sehinggalah wujud peralihan kuasa secara “aman”.

Kali terakhir UMNO mengadakan pemilihan jawatan Presiden adalah pada tahun 1987 di mana Tengku Razaleigh mencabar Tun Dr. Mahathir yang membawa kepada krisis perlembagaan. Krisis perlembagaan ini membawa kepada peristiwa bersejarah apabila UMNO diisytiharkan sebagai parti tidak sah oleh Mahkamah.

Sindrom UMNO ini juga berjangkit kepada parti-parti pembangkang. Bagi PAS, jawatan Presiden yang disandang oleh Tuan Guru Hadi Awang akhirnya dicabar setelah sekian lama oleh Ustaz Ahmad Awang pada pemilihan 2015.  PKR juga tidak lari untuk mengikut rentak yang sama kerana sejak tahun 2004, jawatan Presiden parti tidak pernah dipertandingkan.

Walau bagaimanapun, struktur di atas tidak digunakan oleh dua parti yang bermazhab kiri iaitu DAP dan PSM. Struktur parti diketuai oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat/Jawatankuasa Pusat yang akan menentukan hal ehwal dasar dan gerak kerja. Menariknya, tiada pertandingan jawatan Presiden atau Timbalan Presiden. Setiap ahli dibenarkan untuk memilih 20 wakil Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC)  bagi DAP dan 15 wakil Jawatankuasa Pusat bagi PSM.

Selepas pemilihan, wakil-wakil yang terpilih akan bermesyuarat sesama sendiri untuk menentukan jawatan yang akan disandang seperti yang ditetapkan. Oleh sebab itulah, Pengerusi Jawatankuasa Pusat tidak semestinya mendapat undian tertinggi. Contohnya dalam pemilihan semula DAP 2013, Liew Chin Tong mendapat undian tertinggi tetapi tidak dipilih oleh 20 anggota CEC sebagai Pengerusi. Sebaliknya, jawatan Pengerusi DAP disandang oleh Karpal Singh. Begitu juga pemilihan DAP Selangor 2015 apabila Gobind Singh mendapat undian tertinggi tetapi Tony Pua yang dipilih sebagai Pengerusi.

Untuk kedua-dua parti ini, jawatan utama adalah Setiausaha Agung dan bukanlah Pengerusi. Kebanyakkan pihak mudah menyamakan jawatan Pengerusi dengan Presiden walhal tugas dan kuasa yang diperuntukkan adalah berbeza. DAP dan PSM akan merujuk kepada Jawatankuasa Tertinggi dalam membuat sebarang ketetapan dan tiada satu figura yang dilihat berkuasa kerana secara teorinya Pengerusi atau Setiausaha Agung tidak semestinya meraih undian yang tertinggi.   

Pemilihan Parti

Dari segi pemilihan parti, pindaan Perlembagaan UMNO 2011 telah menghapuskan kuota pencalonan di peringkat tertinggi dan ahli perwakilan dibenarkan memilih calon di peringkat Pusat melalui sistem “electoral college” sepertimana pemilihan Presiden Amerika Syarikat.

Dalam pemilihan UMNO yang lepas (2013), buat pertama kalinya sistem pemilihan baru digunapakai. Seramai 146,500 perwakilan berhak untuk mengundi. Namun, dalam sistem electoral college, undi bahagian diutamakan untuk sesuatu calon memenangi jawatan tersebut. Undi perwakilan tidak dikira secara terus kerana setiap perwakilan mengundi menggunakan bahagian masing-masing. Hal inilah yang menyebabkan berlaku keganjilan dalam pemilihan yang lepas apabila undian perwakilan yang diterima oleh Datuk Seri Mukhriz lebih tinggi berbanding Datuk Seri Hishamudin walaupun Datuk Seri Hishammuddin memenangi jawatan dengan undian bahagian sebanyak 101.

Berbeza dengan UMNO, PKR mengamalkan konsep “one vote, one value” di mana setiap ahli yang berdaftar dalam cabang masing-masing layak mengundi terus calon pilihan mereka. Tiada sistem electoral college seperti mana yang diamalkan oleh UMNO. Dalam pemilihan 2014, jawatan tertinggi yang dipertandingkan adalah Timbalan Presiden dan Azmin Ali berjaya meraih 21,066 undian mengalahkan Tan Sri Khalid Ibrahim dan Saifudin Nasution.

Manakala, bagi DAP, mereka masih menggunakan pakai konsep perwakilan berdasarkan jumlah ahli dalam cawangan untuk menentukan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat. Hanya 20 calon yang mendapat undian tertinggi akan menduduki kerusi Jawatankuasa Eksekutif Pusat. 20 ahli jawatankuasa ini akan bermesyuarat untuk menentukan siapa yang layak untuk menjadi Pengerusi, Setiausaha Agung dan jawatan-jawatan lain. Lebih menarik lagi, individu yang menjawat jawatan Setiausaha Agung DAP hanya dibenarkan untuk memegang jawatan tersebut selama dua penggal sahaja.

Budaya anti-demokratik

Selain daripada struktur dan cara pemilihan, salah satu budaya anti-demokratik yang acapkali diamalkan adalah penangguhan pemilihan parti yang ditentukan oleh pimpinan tertinggi parti. Berdasarkan rekod, UMNO mendahului parti-parti lain kerana selalu menangguhkan pemilihan sebanyak 5 kali (1999,2002, 2006, 2011 dan 2016). Manakala, DAP pernah sekali menangguhkan pemilihan parti pada 2010 sebagai persediaan untuk pilihanraya umum.

Budaya sebegini tidak seharusnya diamalkan kerana ia secara tidak langsung menyekat suara akar umbi. Alasan untuk menjaga kestabilan parti boleh sahaja digunakan sewenang-wenangnya oleh pimpinan tertinggi untuk menghalang hak ahli-ahli parti menggantikan mereka dengan calon yang lebih baik.

Lembaga Disiplin Parti

Masalah disiplin ahli merupakan cabaran terbesar yang perlu ditangani secara berhikmah oleh pimpinan parti. Ia berkait rapat dengan hak ahli untuk menyuarakan pendapat dan pada masa  yang sama, tanggungjawab pimpinan tertinggi untuk menjaga reputasi parti. Garisan nipis ini sekiranya tidak diperhalusi akan menjerumuskan sesuatu parti menjadi parti diktator yang menghukum ahli-ahli yang mengkritik pimpinan parti.

UMNO, PAS dan PKR mempunyai sebuah lembaga disiplin yang berkecuali daripada pimpinan Pusat. Ketiga-tiga parti ini menetapkan bahawa lembaga disiplin hendaklah terdiri daripada ahli yang tidak berjawatan dalam parti yang dilantik oleh pimpinan pusat. Hal ini berbeza dengan PSM yang meletakkan kuasa memilih ahli Lembaga Disiplin kepada ahli dalam Kongres Nasional. Manakala untuk DAP, lembaga disiplinnya terdiri daripada gabungan wakil pimpinan pusat dan ahli yang bukan dari pimpinan pusat.

Dalam kes pemecatan Ketua Wanita Gopeng, Datuk Hamidah, walaupun UMNO mempunyai Lembaga Disiplin yang berkecuali, beliau tidak pun dipecat melalui prosedur yang ditetapkan. Malah, beliau pecat secara terus oleh Majlis Tertinggi. Lebih mengejutkan, alasan pemecatan beliau adalah tidak munasabah kerana menghadiri majlis Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu adalah ahli UMNO.

Berdasarkan perbandingan ini, kita dapat melihat perbezaan struktur parti masing-masing yang mencerminkan pengamalan demokrasi terutamanya dalam parti pemerintah. Selain itu, apa yang penting, demokrasi bukanlah sekadar struktur atau sistem pemilihan sahaja. Ia lebih daripada itu. Ia merujuk kepada pengamalan dan keseriusan parti politik membawa wacana yang segar untuk menggalakkan pendemokrasian di kalangan rakyat. Ingat, semuanya bermula dalam parti itu sendiri dan rakyat berhak untuk menilai cara mereka menguruskan ahli mereka, sebelum menguruskan rakyat yang tentunya lebih mencabar.

Oh ya, jadi adakah parti UMNO paling demokratik? – Roketkini.com