Berita

1MDB: DAP buat laporan polis berhubung kenyataan Arul Kanda, Hassan

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: DAP hari ini membuat dua laporan polis berhubung kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin, dan Presiden syarikat sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda.

Hadir membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi di sini pagi ini ialah Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng bersama-sama Penolong Setiausaha Organisasi Sosialis Muda DAP (DAPSY) Wilayah Persekutuan, Lai Chun Chian.

Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan Bernama bertajuk “Penyuntingan Ayat Tidak Jejas Keseluruhan Laporan PAC”, Lip Eng berkata, artikel itu membayangkan Hasan telah menyunting laporan asal PAC tanpa kelulusan ahli-ahli jawatankuasa berkenaan.

“Justeru, Hasan Arifin harus disiasat mengikut Seksyen 202 Kanun Keseksaan ekoran daripada suntingan berkenaan,” kata Ahli Parlimen Segambut itu sejurus selepas membuat laporan polis berkenaan.

Seksyen 202 Kanun Keseksaan menetapkan bahawa mana-mana individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian jenayah tetapi merahsiakannya boleh dipenjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, ketika dihubungi Roketkini.com mengenai tindakan susulan yang akan diambil pihak DAP terhadap Hasan, Lip Eng berkata, Pengerusi PAC yang juga Ahli Parlimen Rompin itu akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Istimewa pada sesi Dewan Rakyat yang akan bermula pada pertengah Mei depan.

“Saya percaya Hasan telah melakukan kesalahan dengan melanggar hak istimewa Parlimen, sebab beliau dengan sendirinya telah menyunting laporan PAC tanpa persetujuan ahli Parlimen yang lain (yang menjadi anggota PAC),” tegasnya.

Selain itu, Chun Chian turut membuat laporan polis terhadap individu-individu yang dikaitkan dengan ‘penipuan besar-besaran’ dan ‘kerjasama dari pihak dalaman’ berhubung pembayaran lebih AS$3.5 billion yang dibuat kepada firma Aabar ‘palsu’ di Kepulauan British Virgin.

Firma Aabar palsu yang dipercayai dirujuk beliau adalah Aabar BVI, yang mana telah dinafikan International Petroleum Investment Co (IPIC) dan Aabar Investment PJS sebagai salah sebuah anak syarikatnya yang telah menerima sejumlah RM13.6 bilion atau AS$3.5 bilion daripada 1MDB.

Menurut temu bual oleh The Edge Financial Weekly dengan Arul Kanda, seperti yang dipetik Malaysiakini, Arul berkata : “Kita tidak tolak bahawa sebenarnya berlaku penipuan… penipuan besar-besaran… dan mungkin ada kerjasama dari pihak kami”.

Justeru, merujuk kepada laporan yang dikeluarkan Malaysiakini bertajuk “Kemungkinan penipuan, kerjasama dalaman 1MDB” pada 25 April yang lalu itu, Chun Chian berkata, keseluruhan kabinet Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Lembaga Penasihat syarikat berkenaan harus disiasat.

“Malah, bekas CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) 1MDB, Shahrol Azral dan juga Arul Kanda (CEO 1MDB kini) sendiri yang telah berkali-kali membersihkan 1MDB daripada sebarang salah laku harus disiasat di bawah jenayah penipuan, pecah amanah dan sebagainya,” katanya. – Roketkini.com