Berita

Program AES Pulau Pinang semakin berjaya basmi kemiskinan, semua ADUN diminta bantu daftar penerima

GEORGE TOWN, 27 APRIL: Sebanyak 1,037 keluarga Melayu di Pulau Pinang telah menerima bantuan program Agenda Ekonomi Saksama (AES). Mereka mewakili 83% jumlah keseluruhan penerima bantuan yang dikelolakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang sejak 2009.

Dairpada jumlah keseluruhan 1,244 keluarga, bantuan untuk kaum India diberikan kepada 123 keluarga (9.89%), kaum Cina 82 (6.60%), dan 2 penerima etnik lain (0.16%).

Menurut perangkaan terbaru Mac lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan RM 17. 7 juta untuk program AES.

Sehubungan itu, Pegawai Penyelaras AES Negeri & Tugas-Tugas Khas Pejabat Ketua Menteri, Ab Wahab Long, kesal dengan tindakan ADUN Penanti, Dr Norlela Ariffin, yang telah membangkitkan masalah kemiskinan di media arus perdana milik Barisan Nasional dengan menyalahkan kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Kenapa harus mengeluarkan kenyataan melalui media arus perdana milik BN yang sengaja mencari pasal dan memburukkan kerajaan negeri yang sedang berusaha sebaik mungkin bagi menghapuskan dan mengurus kemiskinan di Pulau Pinang?

“Dr Norlela Ariffin harus menjalankan tanggungjawabnya membantu kerajaan negeri mendaftarkan lebih ramai keluarga miskin untuk menyertai program AES. Sehingga sekarang beliau tidak pernah merujuk kes-kes keluarga miskin kepada saya dan hanya cari publisiti di suratkhabar dengan dakwaan yang tidak berasas.

“Adalah dikesali bahawa sungguhpun beberapa taklimat AES telahpun dijalankan di kawasannya, jumlah peserta AES di sana masih kurang memuaskan berbanding dengan Seberang Perai Utara,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Tambah beliau, pecahan penerima AES mengikut daerah adalah 642 di kawasan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah (SPT) 191, Seberang Perai Selatan 150, Daerah Barat-Daya 175 dan Daerah Timur-Laut 86.

Katanya, SPT sepatutnya mencatatkan jumlah penerima AES yang lebih besar tetapi kawasan DUN Penanti hanya mempunyai 48 penerima AES.

Beliau menjelaskan, program AES merupakan inisiatif membasmi kemiskinan di kalangan keluarga miskin tegar bagi menjamin setiap keluarga memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM790 sebulan.

Sekiranya pendapatan yang diperolehi oleh sesuatu keluarga kurang daripada RM790 sebulan, maka kerajaan negeri akan “top-up” atau tambah nilai perbezaannya setiap bulan sehingga ia genap RM790.

Contohnya sebuah keluarga yang memperolehi RM550 sebulan, maka kerajaan negeri akan “top-up” RM240 setiap bulan kepada keluarga itu.

Ab Wahab menegaskan, Dr Norlela telah pun diberi penerangan terperinci tentang matlamat AES, cara-cara permohonan serta kriteria kelayakan bagi semua bantuan, terutama bantuan AES.

Malah, katanya, dalam majlis taklimat tersebut yang telah diadakan pada 18 Mac lalu pada jam 8.30 malam di Pusat An-Nahdoh, Penanti, lebih dari 40 orang hadir, termasuk Dr Norlela sendiri.

“Dialog soal-jawab berlangsung hingga jam 12 tengah malam yang turut dihadiri pegawai UPEN, Encik Husaini, Pengurus Besar Zakat PP, Dr Azman, Pegawai JKM Encik Tantawi dan penghulu Fuad,” tambah beliau.

Selain itu, ujarnya, Dr Norlela juga hadir pada mesyuarat jawatankuasa kemiskinan peringkat daerah di Seberang Perai Tengah (SPT) pada 22 Februari lalu di mana penghulu-penghulu kawasan membentangkan kes-kes kemiskinan bagi semua DUN dalam SPT.

“Sepatutnya, jika ada kes-kes tertentu, semua pihak bersedia membantu serta turun padang bagi mempercepatkan siasatan serta memberi bantuan dengan segera.

“Saya sebagai Pegawai Penyelaras AES Pulau Pinang merasa kesal dengan tindakan YB Dr Norlela yang telah pun mempunyai nombor telefon peribadi saya tidak memaklumkan kepada saya mengenai kes-kes kemiskinan yang beliau maksudkan dalam suratkhabar.

“Saya kurang faham mengapa kes-kes keluarga miskin ini tidak diajukan kepada saya serta jentera kerajaan yang lain untuk menggemblengkan usaha dan tenaga untuk memberi bantuan,” katanya. – Roketkini.com