Berita

DAP Johor turun padang bantu warga emas

KLUANG, 2 MEI: DAP Johor terpanggil untuk menghulurkan bantuan kepada dua orang beradik di Kampung Bentong Luar dekat sini yang sejak sekian lama terpaksa bergantung kepada sumbangan agensi-agensi kerajaan dan masyarakat tempatan.

Dua orang yang bernasib malang dan berusia emas tersebut ialah Masnah Borhan, 75, dan kakaknya Habibah Borhan, 78.

Masnah mempunyai seorang anak yang merupakan seorang pesara polis berpangkat rendah tetapi anak lelakinya itu pula menghadapi penyakit angin ahmar, sekaligus menambahkan lagi kesusahan yang terpaksa dihadapi keluarga berkenaan.

Simpati atas nasib yang menimpa keluarga terbabit, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali, bersama-sama para petugas dari Pejabat Ahli Parlimen Kluang telah melakukan lawatan pada jumaat lalu, malah ia bukanlah lawatan pertama yang dibuat mereka.

“Dua kali musim Ramadhan yang lalu, kami telah berkunjung dan menyampaikan sedikit sumbangan yang termampu.

“Hasil beberapa kali lawatan, saya mendapati mereka tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius kecuali batuk dan kadangkala demam. Namun, sebagai warga emas di usia 70-an, memanglah keupayaan pergerakan fizikal amat terbatas,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam lawatan lebih tiga jam itu, Sheikh Omar bersama-sama petugas yang lain telah mengambil inisiatif untuk melakukan gotong-royong dengan membantu membersihkan semak samun yang menjalar di kawasan rumah mereka.

“Namun, masih ada beberapa masalah yang tidak dapat kami selesaikan sepenuhnya. Bumbung rumah yang bocor, dinding kayu yang tidak lagi kukuh kerana anai-anai dan beberapa masalah lain,” ujar beliau.

Rombongan DAP itu turut menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan makanan mentah kepada adik-beradik berkenaan hasil daripada pemberian masyarakat melalui komuniti “Bank Makanan” di daerah berkenaan.

“Sebagai anggota masyarakat dalam skala kecil di daerah Kluang ini, sekalipun kita sebagai rakyat tidak dapat memberikan bantuan yang besar,” katanya.

Atas semangat itu, beliau bersama petugas yang lain berjanji akan terus menziarahi Masnah dan Habibah dari semasa ke semasa bagi memastikan nasib dua beradik berkenaan terbela, lebih-lebih lagi ketika mereka kini sedang berada diambang usia senja. – Roketkini.com