Berita

Kekalkan DAP di N73 Piasau untuk sekat salah guna kuasa BN

MIRI, 4 MEI: Calon DAP bagi kerusi N73 Piasau, Alan Ling Sie Kiong, meminta pengundi membantu beliau mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam pilihanraya negeri lalu demi membawa reformasi dasar yang telus dan menyeluruh.

Alan, 33, seorang peguam yang juga Setiausaha DAP Sarawak mengejutkan arena politik Sarawak apabila menewaskan Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan yang mewakili Barisan Nasional pada pilihanraya negeri 2011. Pada masa itu George Chan juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Beliau berkata, kerajaan negeri Sarawak di bawah pentadbiran Pemangku Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, tidak mengamalkan pentadbiran yang telus serta menyeluruh, malah meminggirkan penduduk di kawasan pedalaman.

“Tidak ada ketelusan dalam pentadbiran Adenan. Tanah dijual dengan begitu murah kepada kroni BN, malah Adenan tidak menggesa supaya setiap ahli kabinet Sarawak untuk mengisytiharkan aset mereka, cuma retorik dan bersifat permukaan.

“Ia (reformasi dasar) perlu bagi meningkatkan ekonomi rakyat, supaya lebih ramai dapat menerima peluang yang adil dan saksama dalam menikmati kekayaan negeri Sarawak ini,” katanya kepada Roketkini.com.

Sehubungan itu, katanya, rakyat Sarawak diseru supaya menolak kepimpinan Adenan atau “team Adenan” dengan menafikan majorti dua pertiga BN dalam Dewan Undangan Negeri.

Menurutnya, jika rakyat berani ubah, ia akan menjadi mesej yang kuat kepada Adenan bahawa Sarawak memerlukan satu perubahan, khususnya berkaitan dasar yang telus.

Beliau menjelaskan, sambutan rakyat kepada DAP dan segala gerak kerja usaha parti itu adalah di tahap yang baik, malah mereka turut serta dalam aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan DAP pusat.

“Kawasan Piasau adalah kawasan separa bandar, tidak ada rumah panjang. Namun begitu kami tetap melaksanakan program seperti kem pendidikan di pusat komuniti untuk menaikkan semangat dan minat membaca anak-anak di kawasan ini,” katanya

Beliau mengakui ada sesetengah ketua kampung yang tidak mahu menerima kunjungan pihak pembangkang, khususnya DAP, ekoran takut ‘periuk nasi’ ditutup oleh pemerintah BN.

Bagaimanapun, jelas beliau, ia bukan salah mereka kerana mereka diugut dipotong atai dibatal gaji bulanan mereka.

Malah, katanya tanggapan bahawa DAP hanya memperjuangkan isu kaum Cina juga tidak lagi boleh digunakan sebagai modal politik oleh BN kerana penduduk di kawasan yang ditadbirnya selama lima tahun yang lalu itu sudah semakin celik dan cerdik untuk menilai pembohongan BN.

“Kali ini, kita ada 16 orang calon dari kaum Dayak, lebih daripada calon daripada kaum Cina. Jadi dakwaan jahat BN tidak terpakai langsung dalam senario politik di sini.

“Rakyat Piasau sudah semakin celik IT (internet), mereka sudah ada segala macam laman sosial yang telah menafikan segala fitnah yang dilemparkan pihak BN,” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan terhadap rakyat Piasau untuk sekali lagi memberi mandat kepadanya demi menyumbangkan bakti kepada mereka, walaupun sedar sedang menghadapi tentangan dalam bentuk politik wang oleh parti BN.

“Kita tidak ada wang, tidak ada politik wang. Yang kita ada hanya usaha menyampaikan kebenaran dan menawarkan cara reformasi kerajaan demi rakyat. Semoga rakyat akan memilih untuk mengekalkan DAP,” tegasnya.

DUN N73 Piasau bakal menyaksikan pertembungan langsung antara Alan dan calon terus Barisan Nasional, Sebastian Ting Chiew Yew pada Sabtu ini.

Piasau yang terletak di dalam daerah ini mempunyai 21,120 bilangan pengundi dengan majoriti kaum Cina, 61.1 peratus, diikuti Melayu atau Melanau (21.3%), Iban (13.7%), Bidayuh (0.9%), Orang Ulu (1.4%) dan lain-lain (1.6%). – Roketkini.com