Berita

Walau dicabar Pengerusi SUPP-BN, calon DAP Batu Kawah tak gentar demi kebajikan rakyat

KUCHING, 4 MEI: Penyandang DAP di DUN N14 Batu Kawah, Christina Chiew Wang See, berdepan cabaran sengit dalam pilihanraya Sarawak. Kali ini beliau berentap dengan Pengerusi SUPP, Senator Dr. Sim Kui Hian, yang mewakili Barisan Nasional.

Sehubungan itu, Christina yang berkelulusan Sarjana dalam bidang Sains Kimia memerlukan sokongan pengundi Batu Kawah seramai mungkin untuk memastikan masalah penduduk yang diabaikan kerajaan BN selama ini dapat terus dibawa ke peringkat tertinggi kerajaan negeri.

“Saya berharap pengundi tetap memilih DAP dalam pilihanraya kali ini kerana kami akan terus bertungkus-lumus menyuarakan rasa tidak puas hati rakyat kepada kerajaan negeri Sarawak tanpa rasa takut.

“Dr. Sim pula akan cenderung bertindak mengikut kemahuan BN walaupun mungkin secara peribadi beliau enggan berbuat begitu. Ia terbukti apabila Dr. Sim tidak berani bantah kehendak BN yang hanya membenarkan SUPP bertanding di 13 kerusi,” katanya.

Anak kelahiran Sibu berusia 32 tahun itu berkata, tanggapan diuar-uarkan BN bahawa kononnya pembangunan tidak akan dapat dijalankan di kawasan dimenangi pembangkang adalah salah sama sekali, malah, banyak kawasan dimenangi BN masih tidak dibangunkan.

Sementara kawasan BN masih terbeban dengan masalah tiada kemudahan air terawat dan bekalan elektrik, Christina berkata, Jalan Stephen Yong Link di kawasannya telah berjaya dinaiktaraf untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Jika saya menang dalam pilihanraya kali ini, saya akan teruskan usaha menggesa kerajaan BN untuk membangunkan Batu Kawah, seperti meluluskan peruntukan agar kawasan ini menjadi industri pelancongan selain meminta lebih banyak rumah kos rendah untuk penduduk.

“Saya juga akan terus memberi tekanan terhadap pihak berwajib negeri untuk melaksanakan pelan tebatan banjir di Sarawak bagi menyelesaikan masalah banjir untuk jangka masa panjang.

“Langkah yang dilaksanakan sebelum ini, iaitu hanya memberi bantuan bernilai RM500 kepada mangsa banjir tidak mampu menampung kesan panjang akibat bencana itu. Akhirnya, rakyat yang terpaksa tanggung,” katanya.

Pada pilihanraya negeri 2011, Christina yang merupakan calon termuda DAP ketika itu membuat kejutan besar apabila berjaya mengalahkan Tan Joo Phoi, yang sebelum ini merupakan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri dengan majoriti 543 undi.

Selain Dr. Sim, pada pilihanraya 7 Mei ini, Christina juga berentap dengan calon bebas, Liu Thian Leong.

DUN N14 Batu Kawah mempunyai 16,991 pengundi yang terdiri daripada kaum Cina (62.3 peratus), Melayu dan Melanau (17.7 peratus), Iban (9.7 peratus), Bidayuh (8.3 peratus), Orang Ulu (0.5 peratus) dan lain-lain (1.5 peratus). – Roketkini.com