Berita

Usul hudud: BN khianati rakyat Sabah dan Sarawak

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Perayaan Gawai dan pesta Kaamatan tahun ini dicemari pengkhianatan Barisan Nasional, yang meski baru-baru ini menang bergaya dalam pilihanraya negeri Sarawak, telah gagal mempertahankan nilai-nilai Perlembagaan Persekutuan.

Ini ditambah dengan tindakan Umno sebagai parti utama BN untuk bersekongkol dengan PAS bagi membenarkan pembentangan usul hudud oleh Datuk Seri Hadi Awang di Dewan Rakyat, dipercayai tanpa sebarang persetujuan parti-parti komponen BN.

Namun persoalannya kenapa DAP yang dipersalahkan, sedangkan tiada seorang pun ahli Parlimen MCA, Gerakan atau Ahli Parlimen BN lain terutamanya dari Sabah dan Sarawak yang membantah usul hudud yang dibacakan Khamis lalu.

Demikian kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam perutusan hari Gawai dan Kaamatan semalam.

“Perdana Menteri Najib Razak cuba untuk mengelak dari bertanggungjawab ke atas pengkhianatan terhadap Perlembagaan Persekutuan apabila mendakwa usul yang dibawa PAS itu bukanlah rang undang-undang hudud,” namun cubaan itu disangkal menteri-menteri BN sendiri, yang malah mengugut untuk meletakkan jawatan Kabinet.

Menegaskan pendirian DAP sebagai parti yang tidak memusuhi Islam, Guan Eng berkata undang-undang hudud PAS jelas bertentangan dengan perlembagaan.

“Disebabkan rang undang-undang itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, sebarang cadangan untuk melaksanakannya perlulah melalui pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti dua per tiga Parlimen untuk lulus,” ujar Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Menurutnya, PAS tidak akan berjaya membawa usul undang-undang ‘hudud’ tanpa sokongan majoriti mudah Parlimen memandangkan parti Islam itu hanya mempunyai 14 orang Ahli Parlimen.

“Jelas, PAS berjaya dengan sokongan BN seperti yang berlaku Khamis lalu apabila BN menyokong PAS untuk mengusulkan rang undang-undang itu bagi dibahaskan dalam sesi parlimen akan datang,” katanya.

Malah, Ahli Parlimen Bagan itu berkata MCA dan komponen BN yang lain bersandiwara dan menggunakan media yang dikawal mereka untuk memesongkan fakta dan seterusnya menyalahkan DAP.

“Ini jelas menunjukkan MCA, Gerakan dan MIC sebenarnya tidak mahu bertanggungjawab dan meletakkan jawatan kerana masih mahu memegang jawatan dalam kementerian,” jelas Guan Eng.

Tambahnya lagi, MCA, MIC dan Gerakan sewajarnya mencontohi ketegasan DAP yang bertindak memutuskan hubungan dengan Presiden PAS ekoran pengkhianatan muafakatnya dengan Pakatan Rakyat tahun lalu.

“Pemimpin mereka pernah ugut untuk meletak jawatan. Persoalannya kenapa mereka masih tidak keluar dari BN?” – Roketkini.com