Rencana

Rakyat Malaysia bantah status ‘Bukan Islam’ pada slip peperiksaan

Baru-baru ini, timbul isu pemaparan ‘Bukan Islam’ sebagai agama pada slip peperiksaan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ramai orang berkongsi isu berkenaan di media sosial (khasnya Facebook) dan meluahkan rasa tidak bersetuju dengan tindakan LP dan KPM.

Secara peribadi, saya tidak setuju jika seseorang dilabel sebagai ‘Bukan Islam’ – seolah-olah individu itu tidak beragama!

LP mewajarkan tindakan menerusi kenyataan media pada 14 Jun 2016 dengan berkata, amalan menulis “Bukan Islam” pada slip peperiksaan bagi calon “Bukan Melayu” yang menduduki peperiksaan dilaksanakan sejak 2005. Maknanya, LP seolah-olah mempersoalkan mengapa orang ramai tidak mempertikaikan amalan itu selama ini, tetapi hanya kini tampil menyatakan rasa tidak bersetuju.

Dalam kalangan kaum India, mereka mengharapkan Datuk P. Kamalanathan melakukan sesuatu dengan menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

Sayang seribu kali saya, beliau menulis di Facebook pada 14 Jun 2016 untuk memberikan alasan kononnya status “Bukan Islam” diletak pada slip peperiksaan bagi memastikan calon yang mengambil subjek Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral diberikan kertas soalan yang betul.

Tentu sahaja alasan itu tidak logik dan tidak dapat diterima akal rasional. Sebaliknya, amat melucukan dan menunjukkan kedangkalan pihak yang cuba menegakkan benang yang basah.

Mujurlah orang ramai terus meluahkan bantahan dan rasa tidak puas hati menerusi kenyataan di media sosial. Walaupun mungkin tidak dipandang pihak berkuasa, tindakan orang ramai menunjukkan bahawa rakyat tidak mahu terus-menerus menerima amalan bangang yang tidak ada sebarang kewajaran.

Dalam pada itu, LP dalam kenyataan media berkata, pihaknya “bersedia mempertimbang untuk melaksanakan perubahan dan penambahbaikan paparan pada Kenyataan Kemasukan Peperiksaan SPMU yang akan datang setelah mendapat persetujuan Pengurusan Tertinggi KPM.”

Pada pendapat saya sebagai presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya, pandangan orang ramai perlu diberi perhatian serius sebelum Pengurusan Tertinggi KPM dan LP mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera.

Pandangan dan bantahan yang berterabur di media sosial perlu dikumpulkan untuk menyatakan bantahan secara kolektif dan teratur.

Bagi memudahkan proses mengumpulkan pandangan orang ramai, saya menyediakan borang yang boleh diisi dalam talian.

Tiga pilihan yang diberikan adalah:

1) Kekalkan “Bukan Islam” sebagai agama pada slip peperiksaan bagi calon Bukan Melayu. Tiada sebarang masalah.

2) Nyatakan agama sebenar (misalnya “Hindu”, “Kristian”, “Buddha”, “Sikh” dan “Islam”) pada slip peperiksaan bagi semua calon. Barulah adil.

3) Mansuhkan terus pemaparan agama pada slip peperiksaan semua calon. Tidak timbul keperluan untuk menyatakan agama dalam konteks peperiksaan. Alasan kononnya pemaparan “Islam” dan “Bukan Islam” adalah bagi memastikan kertas soalan Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral tidak tersilap diberikan kepada calon adalah amat tidak logik dan tidak boleh diterima akal rasional.

Saya melakukan saringan dan semakan secara teliti bagi memastikan tidak ada lebih daripada satu borang daripada individu yang sama. Hanya borang yang lengkap dengan nama, dan nombor telefon atau e-mel, diambil kira.

Dalam tempoh 24 jam, iaitu sehingga 12:00 tengah hari, 16 Jun 2016, sejumlah 565 borang diterima daripada orang ramai (responden) yang prihatin terhadap isu yang diperkatakan.

Dalam tempoh 48 jam, sejumlah 639 borang diterima daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama di seluruh negara.

Walaupun penah menyaring e-mel hampir setiap jam, saya teruja dan berasa bangga dengan kesediaan orang ramai tampil bersuara dalam isu ini.

Agak menarik kerana tidak ada seorang pun responden memilih untuk mengekalkan “Bukan Islam” sebagai agama pada slip peperiksaan bagi calon Bukan Melayu.

Kesemua responden Melayu/Islam mencadangkan supaya “agama” tidak dinyatakan pada slip peperiksaan.

Ternyata rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, etnik dan agama di seluruh negara membantah serta tidak bersetuju dengan tindakan LP dan KPM meletakkan status “Bukan Islam” pada slip peperiksaan.

Sekitar 10 peratus individu yang mengemukakan pandangan meminta supaya LP dan KPM berlaku adil dengan menyatakan agama sebenar (misalnya “Hindu”, “Kristian”, “Buddha”, “Sikh” dan “Islam”) pada slip peperiksaan bagi semua calon.

Permintaan ini adalah wajar. Sekiranya orang Islam diberikan hak dan peluang meletakkan agama mereka pada slip peperiksaan, mengapa tidak penganut agama-agama lain diberikan hak yang sama?

Walau bagaimanapun, hampir 90 peratus rakyat Malaysia yang mengemukakan pandangan meminta supaya dimansuhkan terus pemaparan agama pada slip peperiksaan semua calon.

Cadangan dan saranan ini amat wajar kerana tidak timbul keperluan untuk menyatakan agama dalam konteks peperiksaan.

Alasan kononnya pemaparan “Islam” dan “Bukan Islam” adalah bagi memastikan kertas soalan Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral tidak tersilap diberikan kepada calon adalah amat tidak logik dan tidak boleh diterima akal rasional.

Saya merakamkan tahniah dan terima kasih kepada setiap individu yang tampil bersuara menerusi borang dalam talian yang disediakan.

Tindakan orang ramai menjadi bukti nyata bahawa rakyat Malaysia tidak sanggup menjadi seperti lembu yang dicucuk hidung, atau pak turut dan pak angguk.

Sebaliknya, orang ramai berani membantah sebarang tidakan tidak wajar yang dilakukan oleh mana-mana pihak; termasuk kerajaan pusat.

Mesej yang mahu disampai oleh orang ramai dalam isu yang sedang diperkatakan adalah amat nyata.

KPM, LP dan mana-mana pihak perlu menghentikan segera amalan meletakkan status “Bukan Islam” pada slip peperiksaan dan mana-mana dokumen rasmi.

Harapan saya adalah untuk menyalurkan pandangan orang ramai dalam isu ini kepada Menteri Pendidikan dan Pengarah Peperiksaan.

Hanya orang bangang dan buta tuli yang akan terus meletakkan status “Bukan Islam” tanpa mengendahkan suara rakyat.- Roketkini.com

 

* Uthaya Sankar SB adalah pengasas dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), serta pemilik Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya.