Berita

Agamawan PKR lapor polis kenyataan kontroversi Mufti Pahang, gesa berdialog

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Satu laporan polis dibuat terhadap kenyataan berbahaya Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Laporan dibuat Ketua Biro Agama Pemuda PKR Ustaz Wan Ji Wan Hussin sebentar tadi dilakukan kerana bimbang dengan penularan anasir pengganas IS yang mampu menjejaskan keharmonian dan menggugat keselamatan rakyat dan negara ini.

Ketika dihubungi Roketkini, Wanji berkata, pengganas IS juga berpegang kepada beberapa fahaman ekstrem seperti melabelkan golongan yang berbeza pendapat dengan mereka sebagai musuh Islam malah ‘kafir harbi’ sehingga memungkinkan pertumpahan darah.

“Jadi, bila mufti beri kenyataan begitu, ia boleh memberi implikasi kepada masyarakat,” ujarnya.

Bagi meleraikan polemik ‘kafir harbi’ ini jelasnya, mufti berkenaan wajar menarik balik kenyataan kontroversi beliau.

“Bagi saja, jika beliau berpeluang, yang terbaik adalah tarik semula kenyataannya dan adakan dialog,” ulas Wanji.

Dalam masa yang sama, beliau meminta supaya masyarakat Malaysia bersikap rasional dan tidak mudah terkeliru atau terpengaruh dengan sebarang kenyataan yang bersifat kontroversi.

Pada 24 Jun lalu, Abdul Rahman dilaporkan media melabel DAP sebagai ‘kafir harbi’ lantas mengundang kebimbangan di kalangan masyarakat majmuk Malaysia.

Namun, beliau kemudian dilaporkan berkata istilah ‘kafir harbi’ itu tidak merujuk kepada mana-mana individu dalam DAP sebaliknya ia berkaitan pemikiran DAP .

Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri bingkas menempelak kenyataan Mufti Pahang itu dengan menegaskan bahawa Malaysia sememangnya sebuah negara sekular di mana agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan.

“Kenyataan ini  melupakan fakta bahawa negara Malaysia ialah sebuah negara sekular di mana agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan,” ujar beliau.

Menurutnya, oleh kerana Malaysia negara sekular, begitu juga dengan perlembagaannya, maka tidak timbul isu DAP menentang Islam.

“Saya melihat kenyataan Mufti Pahang ini sebagai lanjutan pihak yang menggunakan agama untuk menyemai permusuhan dan kebencian. Kenyataan ini patut ditentang,” tegas Datuk Ariff. – Roketkini.com