Rencana

Fikrah ekstrem mufti: Mana wasatiyyah Najib Razak?

Semalam, lapan individu cedera selepas sebuah bom tangan dilontarkan di hadapan kawasan kelab malam di IOI Boulevard, Puchong.

Tidak lama kemudian, sebuah laman Facebook yang dipercayai mempunyai kaitan dengan militan Negara Islam (IS) dilaporkan mendakwa bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan, namun pemilik kelab itu mempertikaikan dakwaan tersebut.

Awal pagi tadi, kira-kira 8,300 kilometer dari Istanbul, tiga pengebom bunuh diri melepaskan tembakan dan kemudian meletupkan diri mereka sendiri di lapangan terbang antarabangsa ketiga tersibuk di Eropah, membunuh 36 individu serta mencederakan hampir 150 yang lain – apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Turki sebagai satu serangan oleh militan IS.

Serangan itu ada persamaan dengan pengeboman bunuh diri oleh militan IS di lapangan terbang Brussels pada Mac lalu yang membunuh 16 individu, selaras dengan satu serangan lain yang mensasarkan kereta api metro pada waktu sibuk sehingga menyebabkan 16 lagi maut di ibu kota Belgium tersebut.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyatakan bahawa serangan itu harus menjadi titik perubahan kepada penentangan global terhadap kumpulan-kumpulan militan.

Beliau berkata, “Serangan itu, yang disasarkan pada bulan suci Ramadan, membuktikan bahawa keganasan berlaku tanpa mengira kepercayaan dan nilai.

“Insiden bom yang diletupkan di Istanbul hari ini pada bila-bila masa saja boleh berlaku di mana-mana lapangan terbang yang ada di bandar-bandar seluruh dunia.”

Rakyat Malaysia harus bersetuju dengan kutukan Erdogan terhadap kekejaman dan keganasan yang terjadi di Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul, terutama apabila wujud kemungkinan besar bahawa Malaysia tidak terlepas dari menjadi sasaran tindakan ganas yang ngeri dan tidak masuk akal oleh militan IS, menggunakan nama Islam tetapi hakikatnya melakukan satu kekufuran yang bertentangan dengan ajaran agama itu.

Ia merupakan satu keganjilan yang nyata.

Sama ada IS bertanggungjawab atau tidak terhadap insiden letupan bom tangan di Puchong awal pagi semalam, mengapa Malaysia terperangkap dalam gegelung keganasan global IS?

Apa yang lebih serius adalah, di sebalik menjadi penggerak kepada pendapat moderat bagi menentang keganasan IS melalui ilham Perdana Menteri sendiri, iaitu Pergerakan Moderat Global (GMM), kerajaan pimpinan Najib gagal berdiri menentang pemikiran ala IS pegawai-pegawai agama seperti kenyataan “kafir harbi” yang dikeluarkan oleh Mufti Pahang.

Dalam pelbagai forum antarabangsa, termasuk ucapannya di Perhimpunan Agung UN, Najib telah membuat satu seruan bersemangat tentang “moderat di seluruh dunia, dari semua agama perlu kembali fokus untuk menuntut kembali agenda keamanan dan pragmatisme, serta meminggirkan dan menolak ekstremisme dalam semua bentuk kerana jurang sebenar bukanlah antara Timur dan Barat atau dunia maju dan membangun, atau antara Muslim, Kristian dan Yahudi. Tetapi ia adalah antara moderat dan ekstremis dalam semua agama.”

Apalah gunanya Najib ‘berdakwah’ di forum-forum antarabangsa dengan menyebut tiga perkara penting dalam wasatiyyah – keadilan, keseimbangan dan kecemerlangan – apabila setiap hari, wujud contoh di Malaysia yang melanggar nilai-nilai tersebut?

Disebabkan kaitan ini, saya meminta Perdana Menteri mempertimbangkan secara serius pandangan oleh Biskop Katolik, Emeritus Dr. Paul Tan Chee Ing yang menyifatkan kenyataan Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman bahawa mereka yang menentang Islam sebagai kafir harbi adalah “perkembangan dahsyat yang jika tidak pantas ditolak akan menjadi ancaman kepada keselamatan negara.”

Paul Tan berkata, “Saya tahu tidak wujud kenyataan dalam tahun-tahun kebelakangan ini, walaupun ancaman untuk membakar Alkitab, yang lebih berbahaya kepada keselamatan negara ini daripada kenyataan mufti Pahang bahawa kafir harbi bagi orang-orang yang tidak bersetuju dengan mana-mana dasar Islam.

“Sebelum ini, kita menganggap bahawa hanya mereka yang menentang orang Islam di wilayah yang diperintah oleh orang Islam atau wilayah-wilayah yang berdampingan dengan pemerintahan Islam dikategorikan sebagai kafir harbi.

“Namun dengan kenyataan Mufti Pahang itu, kini pihak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud untuk dimasukkan ke dalam undang-undang syariah turut disamakan dengan mereka yang melakukan pemberontakan atau pencerobohan terhadap orang Islam.

“Ia merupakan satu tafsiran yang terlalu luas dalam istilah peperangan kepada orang Islam dan bukan Islam di Malaysia bahawa ia adalah sah untuk pembela agama membunuh dan mencacatkan sesiapa saja atas dasar mereka kafir harbi.”

Oleh itu, Biskop Paul berkata adalah wajib bagi pihak berkuasa di Malaysia mengutuk tafsiran itu sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara disebabkan potensinya kepada keganasan terhadap warga yang patuh undang-undang.

 

*Lim Kit Siang ialah Ahli Parlimen Gelang Patah merangkap Ketua Parlimen DAP