Berita

PRN Pulau Pinang: Biar keputusan dibuat secara muafakat

GEORGE TOWN, 28 JULAI: Keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang perlulah diputuskan secara muafakat dan bukannya secara bersendirian kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Beliau menjelaskan, walaupun DAP boleh meneruskan hasratnya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, ia perlu dibuat berdasarkan semangat setiakawan, kepercayaan dan hormat-menghormati.

“Kami rasa tak harus buat demikian (bubar sendirian) sebaliknya harus kukuhkan Pakatan (secara sepakat),” kata beliau dalam sidang media di pejabatnya.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu, perbincangan bersama komponen PH masih berterusan dan perlu diputuskan sebaik-baiknya.

“Oleh itu tentu kita akan terus berbincang dan tentunya tidak boleh terlalu lama. Sekiranya terlalu lama maka ini tidak praktikal,” ujarnya.

Bagaimanapun Adun Air Putih itu tidak memberi tempoh masa tertentu kepada rakan komponen yang lain untuk menetapkan pendirian masing-masing.

“Saya rasa (PKR) akan jumpa dalam masa terdekat dan saya tak mahu tetapkan satu tempoh masa,” kata beliau.

Dalam situasi politik yang memberi kelebihan kepada PH saat ini, beliau menjelaskan bahawa PH harus memberi kepercayaan kepada rakyat Pulau Pinang untuk membuat pilihan terbaik.

“Kami rasa kita harus berikan kepercayaan dan keyakinan kepada rakyat khususnya rakyat Pulau Pinang.

“Rakyat Pulau Pinang akan sentiasa berdiri di belakang kerajaan yang bersih dan mereka tetap akan menolak kerajaan yang kotor dan rasuah,” katanya lagi. -Roketkini.com