Rencana

Indonesia angkat Pancasila, pemerintahan BN menyimpang prinsip Rukun Negara

Bersama tiga Ahli Parlimen DAP, iaitu Teresa Kok (Seputeh), Zairil Khir Johari (Bukit Bendera) dan Steven Sim (Bukit Mertajam), kami mengadakan lawatan lima hari ke Jakarta dan Jogjakarta untuk bertemu pemimpin-pemimpin parti politik serta organisasi Islam, termasuk para intelektual bagi memahami pembangunan Islam dan demokrasi serta bahaya ekstremisme Islam, di sebuah negara dengan populasi Muslim terbesar, iaitu kira-kira 220 juta dari 250 penduduk.

Satu perkara yang memberi kesan kepada kami semasa lawatan di sana adalah bagaimana Pancasila diangkat sebagai prinsip asas utama di kalangan pemimpin politik dan intelektual Indonesia dalam proses pembinaan negara itu. Di Malaysia, pemimpin-pemimpin politik dan intelektual ‘atasan’ telah hampir lupa mengenai Rukun Negara.

Pemimpin kepada dua pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, iaitu Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah, tidak mempunyai masalah untuk menyatakan secara terbuka sama ada dalam perbincangan atau forum awam, bahawa komitmen mereka terhadap Pancasila merupakan sebab terpenting mengapa konsep Negara Islam tidak sesuai di Indonesia walaupun ia mempunyai bilangan umat Islam terbesar berbanding mana-mana negara lain di dunia.

Berapa ramai pemimpin politik dan intelektual Malaysia di negara ini masih memberi komitmen kepada lima prinsip Rukun Negara, iaitu:

  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan

Malah, Majlis Tertinggi Barisan Nasional yang mengadakan mesyuarat pada hari Jumaat lalu telah lupa mengenai hal itu serta mengkhianati prinsip asas dalam Perlembagaan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Rukun Negara. Mereka gagal memegang teguh komitmen Barisan Nasional kepada Perlembagaan dan Rukun Negara yang bercanggah dengan rang undang-undang persendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang jika lulus, akan membolehkan pelaksanaan hudud di negara ini.

Walaupun Setiausaha Agung BN Sarawak, Dr. Stephen Rundi telah mengumumkan bahawa semua Ahli Parlimen BN di Sarawak akan menentang usul Hadi, dan Menteri Luar, Anifah Seri Aman dari Sabah turut menyatakan perkara sama, mengapa pemimpin MCA, Gerakan dan MIC gagal mendesak agar Majlis Tertinggi Barisan Nasional menyatakan pendirian mereka untuk memegang teguh Perlembagaan, Perjanjian Malaysia dan Rukun Negara serta tidak menyokong sebarang usul yang bercanggah dengan prinsip berkenaan?

Apabila Majlis Tertinggi Barisan Nasional yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi BN tidak menunjukkan sebarang pegangan sama ada mahu meneruskan komitmen terhadap Perlembagaan, Perjanjian Malaysia dan Rukun Negara atau tidak, ia merupakan satu pengkhianatan.

Sebenarnya, jika semua lima prinsip Rukun Negara dipatuhi secara ketat oleh pemimpin-pemimpin politik dan ahli pemikir di Malaysia, negara ini akan bebas daripada belenggu masalah ekstremisme serta polarisasi kaum dan agama, termasuk masalah dipandang masyarakat antarabangsa sebagai kleptokrasi global!

Jika semua prinsip Rukun Negara menjadi pembimbing kepada keputusan serta tindakan pemimpin politik di negara ini, tidak mungkin Malaysia dilihat sebagai kleptokrasi global, atau tidak mungkin rakyat bersikap acuh tidak acuh kepada gelaran ‘kleptokrasi global’ tersebut tanpa mengambil apa-apa tindakan segera bagi membersihkan nama negara dari reputasi yang cukup hina dan memalukan itu.

Itulah sebab utama mengapa saya meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan sokongan Parlimen melalui usul apabila Parlimen bersidang pada 17 Oktober nanti bagi menyangkal dakwaan berat bahawa Malaysia ialah sebuah kleptokrasi antarabangsa.

Najib mesti berani mengemukakan usul tersebut pada sidang Parlimen nanti, atau adakah beliau tidak malu, menyesal atau rasa bertanggungjawab apabila nama baik negara telah dicemarkan dengan gelaran yang sangat hina itu?

Atau adakah Najib tidak yakin bahawa dia akan mendapat sokongan sebulat suara di Parlimen dalam usul menyangkal Malaysia sebagai satu kleptokrasi global?

Ahli-ahli Parlimen DAP dan Pakatan Harapan berfikiran terbuka, dan kami bersedia untuk diyakinkan oleh Najib untuk menyangkal dakwaan bahawa Malaysia adalah sebuah ‘kleptokrasi global’ berdasarkan fakta dan angka. – Roketkini.com

*Lim Kit Siang adalah Ahli Parlimen Gelang Patah merangkap Ketua Parlimen DAP