Berita

Ugutan bunuh ala Da’esh pun tidak akan menghalang Bersih 5

PETALING JAYA, 19 OKT: Satu mesej ugutan bunuh ala militan Da’esh dihantar kepada Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Maria Chin Abdullah, bagi mendesak kumpulan terbabit daripada meneruskan perhimpunan aman Bersih 5 pada 19 November nanti.

Bercakap kepada media di luar balai polis Petaling Jaya, Maria yang dikelilingi Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan dan juga pemimpin-pemimpin NGO kelihatan tenang, namun enggan membaca mesej ugutan tersebut.

Selain mesej ugutan, turut dihantar sama ialah beberapa imej yang telah disunting memaparkan beliau, Datuk S. Ambiga dan pengurus sekretariat Bersih Mandeep Karpal, serta tiga orang anak lelaki Maria berpakaian ala tahanan Da’esh sambil diacukan pisau ke kepala.

Maria bagaimanapun hairan kerana gambar-gambar anak-anak beliau merupakan gambar daripada MyKad mereka.

“Saya pun tidak tahu bagaimana mereka mendapat gambar-gambar itu,” sambil menyifatkan tindakan berkenaan sebagai isyarat keterdesakan melampau.img_2205

“Lebih teruk lagi tindakan ini menggunakan nama agama Islam untuk menabur fitnah dan mengugut kami,” tambahnya.

Menurut beliau, konvoi Bersih 5 yang telah berlangsung sepanjang tiga hujung minggu lalu telah berjaya menyebarkan mesej perubahan di seluruh pelosok bandar dan kampung-kampung.

Ini telah membangkitkan kesedaran di kalangan masyarakat dan menggugat mereka yang menentang Bersih.

Mesej yang diterima sekitar jam 9.47 malam Isnin lalu tersebut berbunyi:

“HOI MARIA..AKU TAK MAU BAGI SALAM KT KO SBB AKU TAK TAU KO NI ISLAM BETUL KE TAK..KO DGR SINI BAIK2..AKU TAK MO CKP BNYK KALI. AKU NK BAGI LAST WARNING KT KO JANGAN TERUSKAN NIAT BODOH KO UNTUK ANJUR HIMPUNAN BERSIH YANG MENATANG APA TU..KO JANGAN CUBA NAK BANGKITKAN KEMARAHAN ORG2 MELAYU..
KO JANGAN HERET ORG MELAYU BERSEKONGKOL DENGAN CINA DAN KELING KAPIR HARBI TU..AKU TAK KAN TERAGAK-AGAK UNTUK BALUN SAMPAI LUMAT DAN JUGA SANGGUP SEMBELIH KO DAN KUNCU-KUNCU ANJING KO SEMUA TU MACAM AMBIGA PANDIKUTTY DAN ANAK HARAM SI MANDEEP.
DEMI ALLAH DAN KESUCIAN PERJUANGAN ISLAM DI MALAYSIA, KALAU KO NAK HILANG KEPALA MCM KT SYRIA, TERUSKAN KEJE BODOH KO TU. AKU POTONG KEPALA KO AKU RAKAM DAN AKAN AKU SEBAR DLM U TUBE…AKU KENAL SAPE KO, AKU TAU KT MANA KO TINGGAL DAN AKU JUGAK TAU SAPE FMLY DAN ANAK-ANAK KO……
AKU AKAN TENTANG ABIS2AN KEJE BODOH KAU..INGAT!!!!! TAKDE AMARAN LAGI!!!!

INI AMARAN DARI ISLAMIC STATE MALAYSIA…”

Turut hadir bersama memberi sokongan adalah Ahli-ahli Parlimen DAP, diketuai Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang. – Roketkini.com