Berita

Speaker Dewan Rakyat emosi lagi, halau Ahli Parlimen keluar sidang kamar khas

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bertindak menghalau keluar seorang anggota parlimen di tengah-tengah persidangan kamar khas yang berlangsung di Parlimen semalam.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dihalau susulan pertengkaran yang berlaku antara beliau dan Pandikar, selepas speaker berkenaan menjelaskan mengenai pembaharuan Parlimen yang telah dibawanya dalam persidangan kali ini.

Namun, ketika dihubungi Roketkini, Lip Eng menjelaskan bahawa pembaharuan yang dibawa Pandikar terhadap Parlimen adalah tidak bersifat menyeluruh, tambahan pula terdapat janji berhubung isu yang sama masih belum dilaksanakan sehingga kini.

“Janji perubahan paling penting yang dibuat oleh Pandikar (sebelum ini) masih lagi janji kosong.

“Janji berkenaan adalah untuk menubuhkan satu jawatankuasa terpilih yang terdiri daripada anggota-anggota Parlimen daripada pihak pembangkang dan kerajaan untuk meneliti draf sesuatu akta sebelum ia dapat dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Tambahnya, sesi soalan menteri yang dilaksanakan speaker dilihat sebagai ‘perkara remeh dan tidak penting’ kerana dewan hanya membenarkan tiga soalan untuk ditanya kepada menteri tanpa mengetahui dari siapa dan bagaimana soalan itu dipilih.

Malah, katanya, soalan menyentuh perihal tuntutan saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat untuk menyita aset yang diseleweng dana terkait syarikat milik penuh negara 1MDB juga dihalang Pandikar untuk dibahas di Parlimen dengan pelbagai alasan.

“Saya sekali lagi menyuruh dia meletak jawatan sebab berbohong dengan janji kosong dan memutar belit peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dengan tujuan menghalang soalan menyentuh DOJ dan ‘MO1’ ditanya di dewan,” tegasnya.

Terdahulu, Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan mendakwa Pandikar memberikan ‘syarahan’ kepada beliau mengenai tindakannya mengkritik keputusannya berhubung isu sub judis berkaitan tuntutan saman DOJ.

Pandikar, menurut Lip Eng, turut ‘bersyarah’ mengenai pembaharuan yang telah dibawanya (Pandikar) di dalam Parlimen.

“Saya kemudian bangun beritahu dia jangan bersyarah kepada saya dan dia suruh saya duduk tapi saya enggan. Dia tinggikan suara dan saya katakan Speaker ini adalah satu aib kepada institusi Parlimen.

“Dia kemudian arahkan bentara Parlimen halau saya dari dewan. Sebelum saya keluar, saya beritahu dia bahawa kami adalah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat sementara dia hanyalah dilantik sebagai speaker oleh ‘MO1’.

“Selepas insiden itu, saya berpandangan bahawa Pandikar merupakan speaker yang paling diktatator kerana tidak boleh terima kritikan tentang dirinya atau 1MDB atau DOJ ataupun MO1 di dalam dan di luar dewan. Kelakuan beliau telah memalukan jawatan Speaker Parlimen,” katanya.

MO1 atau ‘Malaysia Official 1’ yang disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan entiti yang disebut sebanyak 36 kali dalam dokumen tuntutan saman DOJ. – Roketkini.com