Berita

“Tang mana Guan Eng anti-Melayu?” soal Sharif Omar

SEBERANG PERAI, 2 DIS: Bekas menteri UMNO, Datuk Seri Sharif Omar mempersoalkan pihak yang gemar memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kononnya anti-Melayu.

“Saya nak tanya orang Pulau Pinang sekarang, tang mana dikatakan Lim Guan Eng ini anti-Melayu, kot-kot saya tak tau.

“Tak ada sebenarnya,” katanya di forum bertajuk “Biarlah aku berkorban untuk Malaysia” anjuran Parti Amanah Negara pertengahan bulan lalu.

Forum itu diadakan bagi mengingati kematian Mohd Shukri Saad yang terjun dari jambatan Pulau Pinang akibat tekanan hidup.

Menurut bekas Menteri Pertanian itu, sejak dari dahulu UMNO gemar memainkan sentimen kononnya orang Melayu tidak boleh menyokong DAP kerana parti itu anti-Melayu.

Hakikatnya kata beliau, tidak ada satu pun tindakan DAP yang menunjukkan parti tersebut anti-Melayu sepanjang Pakatan Harapan memimpin Pulau Pinang sejak tahun 2008.

Malah beliau berkata, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu lebih banyak menjaga kebajikan rakyat Pulau Pinang, termasuk kaum Melayu di negeri itu berbanding pemimpin sebelum ini.

“Lim Guan Eng ini buat lebih baik dari dulu. Ini berasaskan fakta. Jadi isu rasis yang UMNO dok canang tu tak laku dah. Orang Pulau Pinang tak boleh terima dah isu tu.

“Yang depa tahu, hidup UMNO, hidup Melayu. Padahal dia sapu habis semua dah,” ujar bekas Ahli Parlimen Tasik Gelugor itu.

Menurutnya, slogan UMNO itu hanyalah retorik semata-mata kerana pemimpin UMNO lah yang telah merosakkan kaum Melayu sendiri.

“Kami dah bye-bye kepada UMNO. Kami dah tinggalkan UMNO. Kami tak kisah lagi dah mahu masuk parti mana – PKR, DAP, Amanah atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Saya sertai PPBM dan akan bekerjasama dengan ketiga-tiga parti ini kerana kita hendakkan perubahan tanpa kira Melayu, Cina atau India,” tegasnya.

Sharif pernah menjawat sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang pada tahun 1995 sehingga 1999. Beliau kini adalah Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang. – Roketkini.com