Kenyataan Akhbar

Menangani Masalah 3C Di Pulau Pinang Ke arah Pulau Pinang Yang Lebih Bersih, Lebih Hijau Lebih Selamat Dan Kurang Sesak.

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Dalam Mesyuarat Am Tahunan(MAT) DAP Cawangan Air Putih Di Pulau Pinang Pada 5 Petang Ahad 22 Mei 2011.

Menangani Masalah 3C Di Pulau Pinang Ke arah Pulau Pinang Yang Lebih Bersih, Lebih Hijau Lebih Selamat Dan Kurang Sesak.

Sejak kerajaan negeri mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Pulau Pinang pada Mac 2008, usaha gigih telah dijalankan untuk menangani masalah teruk 3C yang menghantui rakyat Pulau Pinang iaitu, Cleanliness, Crime and Congestion.

Sistem baik dengan tender terbuka dan inisiatif hijau, etika kerja positif hasil pengiktirafan pekerja-pekerja yang membersihkan jalan dan longkang serta semangat berpasukan membolehkan Pulau Pinang menjadi lebih bersih.

Kerjasama dan usaha polis membolehkan Pulau Pinang menjadi No 1 di Malaysia dalam penurunan Indeks kadar jenayah sebanyak 27%. Dalam 3 tahun ini, jelas sekali bahawa Pulau Pinang kini Lebih Bersih, Lebih Hijau dan Lebih Selamat.

Masalah paling rumit adalah kesesakan trafik. Berlainan dengan New Zealand yang mempunyai lebih banyak biri-biri daripada manusia, Pulau Pinang mempunyai kenderaan yang lebih banyak (2 juta) daripada manusia(1.5 juta). Beberapa projek trafik telah dicadangkan. Salah satu pelan rancangan trafik yang dijalankan di bawah adalah dibuka kepada orang awam untuk mendapat pandangan umum.

 

1.      CADANGAN MENAMBAHBAIK ALIRAN LALULINTAS DI JALAN MASJID NEGERI DAN KAWASAN SEKITARNYA

1.1    Majlis Perbandaran Pulau Pinang(MPPP) telah diarahkan menyiapkan Kajian “Concept Plans for Immediate Measures to Alleviation Traffic Congestion within George Town and its Vicinity” untuk meneliti cara-cara mengurangkan kesesakan lalulintas dengan secepat mungkin di kawasan George Town dengan penumpuan kepada Jalan Masjid Negeri dan Jalan Air Hitam.

1.2    Dengan ketiadaan Lebuhraya Lingkaran Luar Pulau Pinang dan dengan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dijangka disiapkan pada ahkir tahun 2013, tindakan-tindakan awal perlu diambil untuk menangani masalah lalulintas di jalan-jalan yang menanggung kesan daripadanya. Pembangunan yang pesat di Pulau Pinang serta pertumbuhan kenderaan yang mengiringinya pada kadar melebihi 6% setahun juga memerlukan infrastruktur dinaiktaraf.

1.3    Kerajaan negeri bersetuju bahawa pengangkutan awam yang berkesan merupakan formula penyelesaian yang paling baik. Malangnya kerajaan negeri tidak ada sebarang kawalan terhadap sistem pengangkutan awam kerana ia bukan kuasa kerajaan negeri tetapi tertakluk di bawah kerajaan persekutuan. Sungguhpun begitu, kerajaan berjiwa rakyat PR Pulau Pinang rasa sesuatu tindakan harus dilaksanakan untuk mengurangkan kesesakan trafik dengan melebarkan dan memperbaiki jalan yang sedia ada.

 

2.       KOMPONEN PROJEK MENAMBAHBAIK ALIRAN LALULINTAS DI JALAN MASJID NEGERI DAN KAWASAN SEKITARNYA

2.1    Secara amnya, projek ini melibatkan penambahbaikan aliran lalulintas di Jalan Masjid Negeri. Walau bagaimanapun, seiring dengan pelaksanaan projek ini, beberapa tindakan perlu diambil sekaligus untuk melegakan kesesakan di jalan-jalan lain seperti Jalan Scotland, Jalan Gottlieb, Jalan Bagan Jermal dan Jalan Air Hitam yang perlu mengagih dan menyurai aliran lalulintas berterusan daripada Jalan Masjid Negeri.

 

2.2              Objektif projek ini adalah untuk melancarkan aliran lalulintas serta menambah kapasiti jalan dan persimpangan di jalan-jalan terlibat dengan membina persimpangan bertingkat dan melebarkan jalan serta mengeluarkan kawalan lampu isyarat di mana boleh. Projek Menambahbaik Aliran Lalulintas Di Jalan Masjid Negeri Dan Kawasan Sekitarnya terbahagi kepada Fasa 1 dan Fasa 2. Pelan cadangan adalah diberikan di Gambarajah 1 berikut.

 

Gambarajah 1: Pelan Cadangan Projek Fasa 1 dan 2

 

Termasuk Pelebaran Jalan Gottlieb

2.3    Komponen-komponen projek dalam Fasa 1 serta tujuannya adalah seperti yang diberikan di Jadual 1 seperti berikut:-

 

Jadual 1: Kerja-kerja yang terlibat dengan Projek Menambahbaik Aliran Lalulintas di Jalan Masjid Negeri dan Kawasan Sekitarnya

Bil Butir-butir Kerja/ Tujuan
  FASA 1
1. Menaiktaraf persimpangan Lorong Batu Lancang/ Lebuhraya Thean Tek

Tujuan

i.                    Mewujudkan 1 lorong untuk pembelokan ke kiri tanpa berhenti dari Lorong Batu Lancang ke Lebuhraya Thean Tek.

ii.                  Meningkatkan efisiensi kawalan lampu isyarat.

iii.                Mewujudkan lorong-lorong yang lebih lebar pada bahagian persimpangan.

Catitan

Pada masa sekarang, perbarisan kenderaan di Lorong Batu Lancang dari persimpangannya dengan Lebuhraya Thean Tek mencecah Jalan Masjid Negeri dan menjejaskan kelancanran pergerakan lalulintas di Jalan Masjid Negeri.

2. Menaiktaraf Jalan Air Hitam pada bahagian persimpangan Jalan Masjid Negeri/ Jalan Air Hitam/ Jalan Scotland

Tujuan

i.                    Mewujudkan lorong tambahan di Jalan Air Hitam pada bahagian persimpangan untuk meningkatkan efisiensi kawalan lampu isyarat.

ii.                  Menyediakan 2 lorong untuk pembelokan dari Jalan Air Hitam ke Jalan Scotland.

iii.                Menempatkan semula lintasan pejalan kaki untuk mengurangkan gangguan kepada pergerakan lalulintas.

Catitan

Persimpangan ini mengalami kesesakan pada puncak pagi dan petang. Isipadu kenderaan yang membelok kanan dari Jalan Air Hitam ke Jalan Scotland adalah tinggi dan perbarisan kenderaan mengganggu pergerakan lalulintas utama.

3. Menaiktaraf Jalan Gottlieb dari Jalan Utama ke Jalan Bagan Jermal

Tujuan

i.                    Mewujudkan satu lorong tambahan di Jalan Gottlieb.

ii.                  Menyediakan lorong  tambahan di Jalan Bagan Jermal menuju ke Jalan Gottlieb.

iii.                Membolehkan kenderaan dari Jalan Gottlieb membelok kiri tanpa berhenti ke Jalan Utama.

iv.               Mengadakan lorong basikal.

v.                 Mengurangkan gangguan lalulintas yang berlaku akibat bas-bas sekolah dan kenderaan yang menunggu di tepi jalan untuk mengambil dan menurunkan murid sekolah.

4. Menaiktaraf persimpangan Bulatan Udini dan mewujudkan pusingan ’U’ di Jalan Masjid Negeri

Tujuan

i.                    Mewujudkan pusingan ’U’ eksklusif untuk kenderaan dari Jalan Masjid Negeri menuju ke Bulatan Udini untuk pusing balik ke Jalan Masjid Negeri menuju ke George Town, Jalan Yeap Chor Ee dan Jalan Delima.

ii.                  Mengurangkan kesesakan lalulintas di Bulatan Udini dengan mengurangkan isipadu lalulintas yang mengurangkan bulatan.

iii.                Mengeluarkan kawalan lampu isyarat di persimpangan Jalan Masjid Negeri/ Jalan Delima.

5. Melebarkan Jalan Masjid Negeri dan Jalan Scotland pada bahagian persimpangan Jalan Masjid Negeri/ Jalan Air Hitam/ Jalan Scotland

Tujuan

i.                    Mewujudkan lorong lalulintas tambahan untuk kedua-dua belah Jalan Masjid Negeri dan Jalan Scotland untuk menampung isipadu aliran lalulintas berterusan dari Jalan Masjid Negeri dan Jalan Scotland.

6. Membina jejambat untuk pembelokan ke kanan dari Jalan Scotland ke Jalan Batu Gantung dan menaiktaraf persimpangan Jalan Scotland/ Jalan Batu Gantung/ Jalan York.

Tujuan

i.                    Membolehkan kenderaan yang membelok kanan dari Jalan Scotland ke Jalan Batu Gantung bergerak tanpa berhenti.

ii.                  Mengeluarkan kawalan lampu isyarat di persimpangan Jalan Scotland/ Jalan Batu Gantung/ Jalan York.

iii.                Mewujudkan aliran lalulintas berterusan tanpa keperluan berhenti di Jalan Scotland.

 

7. Pembinaan pusingan U Bertingkat di Jalan Masjid Negeri berdekatan Rumah Kediaman Pegawai Daerah

Tujuan

i.                    Untuk membolehkan kenderaan di Jalan Masjid Negeri (menuju George Town) termasuk dari Jalan Taman Greenview, Jalan Tembaga serta jalan-jalan cabang di sebelah barat Jalan Masjid Negeri untuk pusing  balik menuju ke Bulatan Udini dan jalan bawah (underpass) serta jalan-jalan cabang Jalan Masjid Negeri di sebelah timur.

ii.                  Mengurangkan kesesakan di Lorong Batu Lancang akibat kenderaan yang membelok kanan dari Lorong Batu Lancang ke Jalan Masjid Negeri. Kenderaan-kenderaan ini dapat menggunakan pusing ’U’ yang dicadangkan.

iii.                Mengeluarkan kawalan lampu isyarat di persimpangan Jalan Masjid Negeri/ Lorong Batu Lancang/ Jalan Hamilton, persimpangan Jalan Masjid Negeri/ Jalan Tembaga dan persimpangan Jalan Masjid Negeri/ Jalan Taman Greenview 1.

2.4    Komponen-komponen projek dalam Fasa 2 serta tujuannya adalah seperti yang diberikan di Jadual 1 seperti berikut:-

FASA 2
8. Pembinaan Jejambat di Persimpangan Jalan Masjid Negeri/ Lebuhraya Batu Lancang

Tujuan

i.                    Menyediakan jalan bertingkat untuk pembelokan ke kanan dari Lebuhraya Batu Lancang ke Jalan Masjid Negeri.

ii.                  Sejajar dengan pembinaan jalan sambungan Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Jalan Jelutong, jejambat ini akan membolehkan kenderaan berhubung ke Jalan Masjid Negeri (menuju ke utara pulau).

9. Pembinaan Jalan Bawah di Persimpangan Jalan Masjid Negeri/ Jalan Delima

Tujuan

Membolehkan kenderaan membelok kanan secara terus dari Jalan Masjid Negeri ke Jalan Delima.

10. Pembinaan Jalan Bawah di Persimpangan Jalan Masjid Negeri/ Jalan Besi

Tujuan

Membolehkan kenderaan membelok ke kanan secara terus dari Jalan Masjid Negeri ke Jalan Besi

3.      Anggaran Kos Lebih RM 57 Juta

3.1           Anggaran kos untuk pelaksanaan Fasa 1 adalah RM27 juta manakala untuk Fasa 2 mungkin mencecah lebih RM30 juta.

3.2           Pelaksanaan Fasa 2 berada dalam peringkat perancangan dan belum dimuktamadkan lagi.

 

4.      Tempoh Pelaksanaan

4.1    Tempoh pelaksanaan Fasa 1 adalah dari bulan April 2011 hingga bulan Mac 2013.

4.2    Kerja-kerja menaiktaraf persimpangan Lorong Batu Lancang/ Lebuhraya Thean Tek yang terlibat dengan Fasa 1 telah bermula pada 19 April 2011.  Di samping ini, tender telah dipanggil untuk menaiktaraf Jalan Air Hitam pada bahagian persimpangan Jalan Masjid Negeri/ Jalan Air Hitam/ Jalan Scotland yang dijangka bermula pada bulan Julai 2011. Kerja-kerja Menaiktaraf Jalan Gottlieb dari Jalan Utama ke Jalan Bagan Jermal dijangka bermula pada bulan Ogos 2011.

4.3    Pelaksanaan Fasa 2 akan mengambil masa 18 bulan dan mungkin dijalankan secara bertindih dengan Fasa 1 tertakluk kepada ulasan dan pandangan umum.

 

5.      Pandangan Umum

5.1    Kerja-kerja tertentu dalam Fasa 1 telah dimulakan untuk menangani masalah lalulintas yang serius dengan segera di jalan-jalan terlibat. Kerja-kerja yang sedang dijalankan dalam Fasa 1 hanya melibatkan pelebaran jalan. Komponen-komponen kerja yang melibatkan pembinaan struktur tidak dimulakan lagi. Sementara itu, pandangan dan ulasan orangramai adalah dipohon mengenai pelaksanaan projek ini.

5.2    Fasa 2 akan ditangguh sehingga keperluan melaksanakannya dikenalpasti. Pengumuman mengenai Fasa 2 akan dibuat secara berasingan. Dengan cara ini, pandangan/ penerimaan umum dapat diketahui dan kerajaan dapat mengkaji keperluan melaksanakan Fasa 2 atau menyediakan pelan-pelan alternatif.

5.3    Pelan-pelan konsep akan dipamirkan di Jabatan Kejuruteraan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Tingkat 13, Komtar, Pulau Pinang untuk paparan orangramai. Di samping ini, pelan-pelan juga akan dipaparkan di laman web MPPP.

5.4   Orangramai dapat memberikan pandangan dan input dengan menulis kepada Ir. Rajendran, Pengarah Kejuruteraan, MPPP, Tingkat 13, Komtar, Jalan Penang, 10675 Pulau Pinang atau melalui e-mel kepada [email protected] .

LIM GUAN ENG