Berita

Korporat makin kaya, rakyat tambah sengsara

KUALA LUMPUR, 23 MEI – DAP kesal terhadap kerajaan BN kerana sanggup membantu Felda mendapat untung melalui perniagaan gula tetapi membebankan rakyat dengan kenaikan harga gula.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata keuntungan Felda dalam perniagaan gula yang bernilai RM232 juta pada 2010 didedahkan oleh anak syarikatnya, MSM Malaysia Holdings Bhd.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan BN menaikkan harga gula sebanyak 20 sen daripada RM2.10 sekilogram kepada RM2.30 sekilogram.

Untuk pertama kalinya, Felda yang ditubuhkan pada tahun 1956 bagi mengurangkan jurang kemiskinan di antara masyarakat Melayu luar bandar melalui skim penempatan semula tanah, kini giat dengan perniagaan gulanya. Ini berikutan pengambilalihan pada tahun 2010 oleh Kuok bersaudara yang dikuasai oleh PBB Group Bhd iaitu Malayan Sugar Manufacturing Co Bhd (kini dikenali sebagai MSM Malaysia Holdings Bhd), sebuah ladang tebu di Perlis, dengan 50 peratus saham gula di Kilang Gula Felda Perlis Sdn Bhd dan 20 peratus pegangan saham di Tradewinds (M) Bhd.

MSM merupakan ladang gula dan beroperasi di bawah Felda. MSM menghasilkan hampir 60 peratus daripada pengeluaran gula halus di Malaysia yang bernilai lebih kurang MYR 2.3 bilion. Pada tahun 2010, MSM memperolehi keuntungan sebanyak RM 232 juta.

Menurut Guan Eng, keuntungan sebanyak RM232 juta itu sepatutnya cukup untuk mengawal sebarang penjimatan subsidi gula dari kerajaan berbanding kenaikan harga gula.

Menurut laporan akhbar, Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Zain Mohd Dom telah mengumumkan bahawa kenaikan harga gula adalah untuk mengurangkan subsidi gula sebanyak RM116.6 juta daripada RM400 juta setahun.

“Apalah sangat RM116.6 juta berbanding RM232 juta keuntungan yang diperolehi MSM tahun lalu? Daripada menjalankan tanggungjawab sosial membantu rakyat Malaysia terutamanya golongan miskin, Felda menerima manfaat daripada RM11.6 juta yang dibayar oleh rakyat Malaysia.

“Kerajaan BN boleh memindahkan kos sebanyak RM11.6 juta kepada MSM dengan mudah memandangkan ianya dimiliki oleh Felda. Sebaliknya, dengan dasar BN yang terpesong dan polisi yang condong kepada korporat yang hanya membantu syarikat-syarikat besar, sanggup mengorbankan rakyat biasa yang miskin, BN telah memilih untuk memberi tamparan kepada 27 juta poket rakyat Malaysia daripada mengenakan syarikat raksasa yang berkeuntungan besar seperti Felda atau MSM,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, BN juga belum buat apa-apa tentang usaha mengurangkan subsidi gas sebanyak RM19 bilion setahun kepada penjana tenaga bebas (IPP) tetapi sanggup dengan cepat menarik balik subsidi gas dan diesel yang membebankan rakyat Malaysia.

“Dasar sosial-ekonomi yang lebih adil seharusnya direncanakan dengan mengurangkan subsidi kepada golongan kaya dan bukan golongan miskin,” katanya. – Roketkini