Berita

Anthony Loke: PLKN patut dikaji semula, bukan dipanjangkan tempoh

SEREMBAN, 27 MEI – Jika Program Lathan Khidmat Negara (PLKN) yang bergelumang dengan pelbagai masalah dan menyusahkan para remaja, ia harus dikaji semula dan bukan dipanjangkan tempoh latihannya.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke berkata cadangan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menambah tempoh PLKN daripada 3 bulan yang dilaksanakan sekarang adalah tidak tepat dan tidak mampu menyelesaikan masalah yang ada.

“Sejak mula dilaksanakan pada tahun 2003, PLKN telah dibelenggui dengan pelbagai kontroversi dan masalah. DAPSY membantah cadangan untuk memanjangkan tempoh latihan tersebut kerana ia bukanlah faktor utama sama ada program tersebut berjaya memupuk semangat patriotik di kalangan anak muda kita.

“Sekiranya Menteri sendiri mengakui program tersebut tidak berkesan untuk memupuk `semangat patriotik’, ia sepatutnya dikaji semula secara komprehensif sama ada patut diteruskan atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, PLKN memakan belanja yang besar yang mencecah RM560 juta setahun.

“Sekiranya tempoh tersebut dipanjangkan, maka tanggungan kerajaan untuk program ini akan bertambah berlipat ganda. Adakah ini wajar dalam keadaan kewangan negara ketika ini yang terus mengurangkan pelbagai subsidi untuk barangan keperluan yang menghimpit kehidupan rakyat?

“Malah, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin sendiri telah menyarankan supaya PLKN dikaji semula,” tambah Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Beliau juga mempersoalkan kenyataan Ahmad Zahid bahawa PLKN akan memperkenalkan modul baru untuk mendidik para peserta tentang kepentingan untuk mengundi apabila mereka mencapai umur 21 tahun.

“(Apa) tujuan sebenar mengapa PLKN begitu beria-ia untuk memperkenalkan modul ini walau pun peserta PLKN belum pun layak untuk mendaftar sebagai pengundi?

“Sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas untuk mendidik orang muda tentang sistem demokrasi, ia sepatutnya dimulakan di Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA) kerana merekalah yang berhak mengundi dan merupakan golongan yang sepatutnya digalakkan untuk mengambil berat tentang perkembangan politik negara dan sistem pilihanraya dan bukannya terus dibantutkan pemikiran mereka di bawah AUKU,” katanya.

Loke juga mempersoalkan niat PLKN memberi peranan tambahan kepada Biro Tata Negara untuk terus “membasuh” pemikiran anak muda dan memprogramkan minda mereka bagi mengundi Barisan Nasional. – Roketkini.com