Berita

Bukit Bendera bakal jadi destinasi pelancongan terbaik dunia

GEORGETOWN, 27 MEI – Bukit Bendera akan menjadi destinasi pelancongan global melalui usaha kerajaan negeri Pulau Pinang melaksanakan pembaikan, pembangunan semula, dan pengurusan Hotel Crag di kawasan peranginan terkenal itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, pembangunan semula Hotel Crag akan memberi manfaat kepada semua rakyat Pulau Pinang dari segi peluang pekerjaan, penglibatan kontraktor tempatan, pembekal dan juga pulangan kewangan kepada kerajaan negeri.

Antara pembangunan yang bakal dilaksanakan ialah kerja-kerja landskap untuk kawasan tersebut bagi meningkatkan keindahan kawasan hotel tersebut, selain menaik taraf keselamatan.

“Ia dilakukan di tapak sedia ada dan teknologi Green Building Indeks akan dimasukkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum itu, pada 15 November 2010 kerajaan negeri telah membuka tawaran terbuka dan selepas bermesyuarat pada 11 April 2011, Sri Nisuh Sdn Bhd (SNSB) telah ditawar untuk mengendalikan projek tersebut.

Selaras dengan itu, kata Guan Eng yang Adun Air Putih, Hotel Crag juga akan ditukar nama kepada Amancrag Resort.

“SNSB akan melabur dengan minimum RM36.9 juta untuk membiayai projek yang dijangka siap dalam tempoh 30 hingga 36 bulan,” katanya.

Tambahnya, pengurusan dan pemasaran hotel bakal diuruskan oleh Amanresorts International Pte Ltd, sebuah syarikat perhotelan bertaraf dunia.

Hotel Crag yang merupakan hotel pertama di Bukit Bendera terletak setinggi 833 meter dan merupakan stesen kereta kabel yang tertua di Malaysia dan dilihat bakal menjadi destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa bila siap. – Roketkini.com