Budaya

CERPEN – Pak Tam – oleh Pena Binari

Bila matahari terpacak di atas kepala, loceng akan bergetar kuat langsung menyakitkan telinga. Selalunya waktu begini, kakak dengan sebuah payung, sedang menunggu di luar tadika untuk temankan saya pulang. Saya, kakak dan kadang-kadang dengan seorang dua budak yang macam tak ada keluarga (kenapa nak jalan sekali dengan kami?) akan singgah di deretan kedai berdekatan tadika membeli snek, sebagai bekal untuk menempuh terik tengahari, dalam perjalanan pulang.

Bila sampai di rumah, kakak akan segera bersiap untuk ke sekolah. Emak akan memecut dari sekolah tempat dia mengajar untuk sumbat saya ke dalam kereta dan lempar saya di rumah nenek.

Di rumah nenek, saya bagaikan kanak-kanak era revolusi perindustrian yang bertemu dengan ahli sihir; tanpa sempat mandi, saya akan dipukau untuk bekerja. Mereka cakap kerja itu ibadah. Jadi waktu sembahyang saya diganti dengan ibadah tanpa gaji; ditugas untuk menghantar makanan ke pondok seorang tua.

Saya, tanpa memahami sebarang konsep bekerja, akan menerima dengan seronok tugasan ini. Inilah peluang untuk bergerak bebas – mengejar pelangi, mencari horizon, meninggalkan gua gelap ahli sihir yang suka menyeringai itu. Langkah pertama keluar, dunia saya berubah; kegelapan beransur padam di makan titik-titik cahaya. Keindahan menerkam, menghancurkan busuk-busuk sisa-sisa kegelapan.

Di belakang, sebentuk bayangan menjerit,“Balik terus. Jangan pi mana!” Suara itu langsung tak memberi impak pada saya.

Walaupun hanya setakat hantar dua tiga mangkuk ke selang sebuah rumah, tapi waktu macam ini dah cukup untuk menambah sikit keterujaan dalam kamus kanak-kanak saya. Di pondok inilah, dengan naifnya saya mempelajari kursus pengosongan jiwa yang sepuluh tahun kemudiannya akan diaplikasikan dalam kehidupan sendiri.

Pak Tam, tuan pondok ini, ialah bekas penjual daging di pasar berhampiran. Oleh sebab kerajaan terpaksa membangunkan padang golf, jadi lokasi pasar terpaksa diubah ke tempat yang lebih selamat dari hujan-hujan bola golf. Dan Pak Tam terpaksa mengalah sebab fizikalnya yang semakin mandom.

Kontra dengan saya yang hiperaktif – seronok berkenalan dengan dunia – Pak Tam kalah dengan pecut-laju pembangunan. Dengan tenaganya yang hampir kosong, dia terpaksa pula melintas jalan besar yang sibuk untuk ke pasar yang baru.

Seorang tua gempal, terhoyong-hayang mengayuh basikal tuanya di celah lori dan kereta, ditolak angin laju kenderaan: ini namanya bunuh diri.

Maka, dia pun berhenti dari berniaga. Dari titik inilah kehidupannya berubah, berkisar tidak melebihi 30 meter radius dari pondoknya.

Setiap petang, masih dengan berseragam tadika – t-shirt kuning, seluar pendek hijau, saya akan ketuk setiap dinding papan pondoknya sekuat hati sementara sebelah tangan menjinjing mangkuk tingkat. Tiga mangkuk ini selalunya diisi nenek dengan nasi putih, gulai ikan kembung di tengah, dan sayur kangkong diletak dalam mangkuk teratas. Ianya tak mengapa disusun terabur, cuma nenek saja-saja suka dengan susunan begitu sebab dia tak pernah terlewat menonton Martha Stewart. Kadang lauk pauk berubah-ubah, tapi ikan tetap sebagai menu utama, sebab gigi Pak Tam macam kekunci piano lama; kuning dan jarang-jarang, maka makanannya terdiri dari makanan yang senang untuk dipepak.

Sambil menunggu Pak Tam membuka pintu, saya akan mengelilingi pondok, menjenguk dalam pondoknya dari luar sambil bergeli-gelian dengan kucing-kucing kurap Pak Tam. Saya dapat tahu kemudiannya yang pondok ini dibuat secara gotong-royong oleh orang-orang kampung selepas kematian isterinya. Podok kecil ini memang tak selesa, tapi, bukan kes besar pun untuk Pak Tam. Lagipun dia tinggal seorang diri.

Tebongkok-bongkok, dia akan buka pintu sambil menjawab lembut tembakan salam saya. Separuh bogel dengan hanya berkain pelikat, bunyi suaranya bagai tak pernah bersembang dengan manusia. Dahlah gemuk, berpeluh-peluh menarik tombol pintu, tak ada siapa patut sangka yang Pak Tam ada memakai pewangi ketiak. Sebab memang dia tak pernah pakai.

Bila saya dah meluru masuk, Pak Tam sambil menutup pintu akan ketawa kuat. “Ha ha ha!” diikuti, “Nasi aku dah sampai!” Selepas berpusing-pusing mencari saya, dia kembali mendaratkan punggungnya di atas tilam. Bila dibuka hidangannya dengan senyuman yang tak melambangkan apa-apa makna, dia akan pelawa saya untuk makan bersama. Manakan seorang budak terbeli dengan ajak-ajak ayam macam tu. Buat bising memetik loceng basikal tuanya, jerkah dan gempar kucing-kucing kurap atau tangkap katak di dapur lagi seronok dari berdiam diri melihat Gautama Buddha makan nasi.

Kali pertama masuk dalam pondok Pak Tam, sesiapa pun akan mendapat idea yang lebih kurang sama: macam menjenguk kepala di dalam tong sampah, di kawasan pembuangan sampah, di sebuah negara yang majoritinya sampah.

Longgok sawang dan habuk, digaul dengan basahan lantai simen, seseorang terpaksa pula menjamu hidung dengan hanyir badannya yang sebati dengan hancing bilik air. Semua ni memperkayakan kosa kata dalam kamus kehidupan saya: jijik.

Saya tak pernah tunjuk perasaan jijik di depan Pak Tam sebab nenek selalu ingatkan saya. Nenek akan mengamuk kalau dapat tahu saya tutup hidung atau berperangai kurang ajar depan Pak Tam. Lagipun, budak mana yang berani dengan nenek kebayan gila?

Bila Pak Tam habis makan, dia akan mengeggeserkan sedikit punggungnya menginjak ke belakang untuk menyandar di dinding. Selain menggeleng kepala, menguap dan mengeliat adalah antara aktiviti tersihat yang Pak Tam mampu buat. Dia dewa dalam hal macam itu. Macam upacara ritual, tambah dengan nada suara berat, kemudiannya dia akan tanya aktiviti-aktiviti saya di tadika.

Soalan yang sama, diulang oleh orang yang sama dengan getaran frekuensi yang sama, pada waktu yang sama dalam suasana yang sama, setiap hari.

Dengan bakat yang sedia ada, saya, setiap hari akan menggunakan imaginasi kebudakan saya untuk menokok tambah dan mereka-reka aktiviti tadika, khas untuk Pak Tam. Dengan orang lain saya tak berani menipu. Dengan Pak Tam saya bebas menipu, mengencing.

“Pelan sikit cerita, Pak Tam tak dengaq,” dia cakap bila dia sesat dalam kerancakan cerita saya. Mana saya peduli pemahaman orang terhadap saya. Asalkan mulut saya boleh terbuka dah keluarkan bunyi, itu dah memadai.

Bila saya mula tercungap-cungap, sedut segala udara busuk yang ada dalam pondok, Pak Tam akan menggeleng kepala dengan mata tertutup rapat. Signal yang dia pula akan ambil alih perbualan.

Tiba gilirannya bercerita, dimulakan dengan mendepa lengannya menggapai sebalang tin biskut yang sedia ada di sebelah tilamnya.

“Meh, tengok magik”, Pak Tam kemudian akan berpura-pura mencabut keluar apa-apa yang ada di dalam tin magik tu secara rawak. Setiap kali, setiap hari, bila tangan kanan dia dikeluarkan dari tin tu, ianya benda yang sama: keratan akhbar lama yang digunting cantik. Kekuningan dan bertulisan jawi. “Zaman emas bahasa Melayu,” menurut katanya.

Dengan bangga melalui keratan akhbar itu, dia akan ceritakan sebuah epik kehidupannya ketika berusia awal 20-an. Selalunya berkait rapat dengan pekerjaannya. Bermacam kerja dan bermacam versi kerja yang dia cerita setiap hari. Di antara cerita yang paling kerap ialah pekerjaannya sebagai pemandu beca di Alor Setar. Membawa pelbagai jenis pelanggan, dari pelacur sampailah bangsawan.

Di hari yang lain, dia akan cerita versi yang lain. Pendek kata, dia memang kaki ranjau. Tapi semua kerjanya, bermatlamatkan yang satu. Kumpul duit untuk pergi menonton perlawanan Muhammad Ali dan Joe Bugnes di Kuala Lumpur.

Keratan akhbar yang dijaganya itu ialah mengenai perlawanan tinju tersebut.

Penceritaannya tak pernah gagal untuk menarik saya terjun ke dalam tin magiknya. Meliputi semua topik; cinta, aksi, tragedi, dan sedih. Sebagai budak, agak susah saya nak faham isu-isu percintaan orang dewasa. Tapi dengan isyarat badan dan jalan ceritanya yang disesuaikan untuk budak-budak, saya terperangkap dalam mainan emosi yang kadang lawak, kadang sedih.

Ambil masa juga untuk  faham emosi Pak Tam masa dia sedar yang dia tengah jatuh cinta, tapi  lama-lama, bila saya dah dapat tangkap, rasa macam saya yang berada di tempat dia.

Saya seolah dapat mencelah dalam kesibukan manusia, berhimpitan, lalu-lalang dalam gerabak kereta api, tercium bau peluh badan mereka, mendengar setiap gempar perbualan-perbualan, teriakan bayi dan kanak-kanak, sampaikan bunyi geseran gerabak dan rel keretapi pun diceritakan. Tiba-tiba, dalam keadaan sibuk begitu, dia ditumbuk kuat oleh seorang gadis, bakal isterinya, sebab di salah sangka sebagai pencuri.

Agak lawak bagi saya waktu tu, dengan mimik muka dan suara yang diubah-ubahnya, saya terbayangkan kartun-kartun di tv yang selalu ditayangkan setiap petang.

Di lain hari, dia selitkan pula aksi heroiknya dibuli dan dibelasah teruk samseng-samseng ibu kota, buatkan saya turut terbuai geram dengan ceritanya – berkerut dahi, menggenggam tangan kecil saya sambil menyumpah seranah samseng-samseng itu.

Di hari yang lain, bila datang bab sedih, penceritaannya juga sedih. Melayangkan fikiran saya, terbayangkan emak saya satu hari nanti, bila Pak Tam ceritakan satu kisah dia menolong seorang makcik mencari rumah anaknya di Kuala Lumpur. Pak Tam terpaksa buang masa temankan makcik itu dibawah tembakan bertalu hujan batu, mencari alamat rumah anak dia. Keterujaan mereka bila berjumpa rumah itu berakhir dengan kesedihan bila mereka dihambat balik isteri kepada anak kandungnya.

Ada juga versi politik. Mengenai seorang Datuk mengebas duit sebuah bank untuk menaja perlawanan Muhammad Ali. Tapi ianya samar-samar. Budak macam saya mana faham politik. Budak-budak cuma nak kisah tragedi dan komedi saja.

Semua kisah yang sama, versi berbeza, matlamat yang satu: Muhammad Ali di Kuala Lumpur.

Atau mungkin matlamat ceritanya ialah ingin mengajar saya erti kehidupan?

Saya tak dapat tangkap. Dengan cerita dia yang panjang, kadang buat saya terfikir, berapa kali dia tengok Muhammad Ali bertinju ni? Tapi hanya untuk beberapa ketika saja, sebab budak-budak memang senang ditipu. Lagipun dengan ceritanya yang dramatik, ceritanya itu sendiri mengembang dan hidup untuk saya.

Semuanya enak untuk budak macam saya, sampailah suatu hari saya terlanggar peraturan nenek. Saya tertanyakan pasal anak tunggalnya. (Saya dapat tahu kewujudan anak dia dari mulut jiran-jiran nenek.)

Si Tanggang, satu-satunya anak Pak Tam, memang macam hikayat Si Tanggang-lah. Di besar dengan kasih sayang, lari meninggalkan bapa dan arwah emaknya yang miskin, berkurun-kurun tanpa apa-apa khabar berita. Di hari pengkebumian emaknya pun, kelibat Si Tanggang tak muncul.

Selepas soalan tu, Pak Tam mula merajuk dengan saya. Kemudian, nenek sendiri yang hantar makanan ke pondok Pak Tam. Saya pula disimpan dalam gua kegelapan: hasilkan karya pertama saya dengan krayon di dinding rumah nenek, berlatih mengaji muqaddam, dipaksa tidur petang walaupun badan saya menjerit-jerit melawan, dibiarkan kesorangan dalam bilik membaca majalah-majalah hiburan peninggalan makcik saya dan aktiviti-aktiviti yang selepas berpuluh tahun, baru saya sedar aktiviti itu sangat-sangat membosankan.

Makin lama, hubungan dengan Pak Tam semakin renggang. Sebab satu soalan, saya kena kuarantin. Dicop pembawa virus kemusnahan. Makin saya membesar, kisah pengembaraan Pak Tam mula kabur sedikit demi sedikit dari ingatan.

Tapi, bukan Pak Tam, ingatan dia kekal sihat. Dia masih ingat saya, walaupun saya dah remaja dan bersedia menempuh cabaran dunia.

Saya pula yang semakin lupa epik kehidupan Pak Tam.

Satu hari, saya gagahkan diri – dengan sikit perasaan segan – untuk melawat Pak Tam. Untuk bertanya khabar. Untuk beritahu dia yang saya akan keluar dari Kedah.

“Ha, baguih-baguih,” dengan fesyen yang sama – berkain pelikat masam dengan susunan gigi jarang, dia naikkan ibu jari. “Laki kena keluaq. Laki kena cari pasai.”

Dia hulur syiling 20 sen. Nilai yang sama macam selalu yang dia bagi sepuluh tahun sebelum.

Masih dengan suasana pondok yang sama, dengan bau yang sama, Pak Tam pelawa saya duduk di sebelahnya, di atas tilamnya.

Dibuka penutup tin magiknya, yang bagi saya dah hilang magiknya, lalu dituangkan isi tinnya ke lantai. Ketul batu, tasbih, kad pengenalan, surat-surat, semua berselerak di lantai. Diambilnya sekeping gambar yang sudah kabur-kabur sephia. Gambar itu menunjukkan seorang lelaki dengan gaya retro pertengahan 1980-an; jeans sendat, t-shirt sendat, rambut sarang tebuan, berlatarbelakangkan kedai runcit. Kedai runcit depan rumah Pak Tam.

“Ni lah anak Pak Tam,” lancar suaranya, penuh yakin, “La ni dia kat Kolumpo.”

Berbeza dengan atmosfera berbelas tahun lepas, kali ini dah tak ada kesedihan dari anak matanya. Di ganti perasaan tenang, perasaan yakin. Tiada kekosongan, atau kesunyian atau perasaan pedih lain. Dekad terakhir hayatnya, di puncak akhir hidupnya, dia ubah dirinya menjadi lebih positif. Lebih kool, agak saya lah.

Cuma, waktu itu, waktu dia tunjukkan gambar itu kepada saya, dia pegang lembut peha saya. Bulu roma saya meremang, tegak berdiri menyahut perasaan Pak Tam: merasai kesedihan Pak Tam sepanjang pemergian Si Tanggang. Semua kesedihan, keperitan, pengembaraan hidupnya, mengalir melalui sel-sel tangannya menyerang seluruh pelusuk tubuh saya.

Bila suasana sentimental dah reda, bila saya bersedia berambus dari pondok Pak Tam, tanpa tindak balas yang dirancang, saya dakap Pak Tam macam seorang anak.

“Keluaq. Pi keluaq, nanti terlambat”, dia cakap dalam dakapan.

Jadi, dengan senyuman yang dia hadiahkan, saya ambil, simpan dan terus melangkah keluar terus dari pondoknya, tanpa toleh ke belakang.

Sekarang saya di ibu kota bertugas dengan sekumpulan manusia yang berjuang untuk keadilan dan hak saksama. Dan kerana itu, ada orang gelar saya pengkhianat Melayu. Tak apalah. Kerana Pak Tam mungkin lebih faham. – Roketkini.com