Berita

UMNO jadikan Melayu lali pada rasuah

KUALA LUMPUR, 3 JUN – PAS, yang sebelum ini dikatakan bermain mata dengan UMNO, telah kembali menghentam musuh tradisinya UMNO dalam nada yang keras.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata UMNO telah dijangkiti barah penyakit penjajah yang menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat.

“Akhirnya harta negara menjadi milikan peribadi pemimpin mereka, meninggalkan rakyat berhempas pulas untuk melangsungkan kehidupan di dunia ini.

“UMNO sekadar mengekalkan kuasa mereka dna bukannya memartabatkan Melayu dengan Islam, kerana Melayu UMNO tetap menyokong BN walau pun di kawasan PAS bertanding menentang calon MCA dan MIC.

‘Sebaliknya sudah ramai bukan Melayu dan bukan Islam yang komited mengundi calon PAS yang menentang calon MCA dan MIC dari Barisan Nasional. Hakikatnya, UMNO telah menjadikan penyokong Melayu Islam buta dan pekak dengan politik wang, media dan hiburan yang melalai dan membodohkan mereka,” katanya merasmikan Muktamar PAS ke-57 di sini hari ini.

Abdul Hadi menambah kemurniaan politik telah dicemari tindakan jijik menerusi rasuah politik wang, fitnah, sikap perkauman sempit, pembohongan dan segala perkara kotor “yang memalukan anak-anak yang menjadi penonton di sekeliling kita”.

Menurutnya, pemimpin Melayu Islam yang membebalkan umat Islam tidak boleh menjadi model Islam sebenar kepada rakyat bukan Islam kerana mereka dijangkiti keruntuhan moral dan zalim, rasuah dan menyalahgunakan kuasa, sehingga gagal gagal menunaikan amanah Islam.

“Maka menjadi tanggungjawab besar kita untuk terus memperkenalkan ajaran Islam secara ilmu kepada seluruh umat Islam yang jahil kepada Islam, supaya membebaskan diri daripada khurafat politik UMNO bahawa mereka sahaja boleh memerintah,” tambahnya.

Beliau juga menegur golongan ulama yang menyokong UMNO kerana mereka tidak mampu menterjemah kefahaman Islam akibat lahir dari sistem pendidikan Islam yang lemah.

Dalam ucapan yang bertema Membangun Negara Berkebajikan, Abdul Hadi berkata PAS wajib menghapuskan budaya mendapat hasil dengan cara membebankan rakyat yang suah menjadi amalan UMNO-BN.

Beliau menjelaskan budaya zalim itu memaksa peniaga bersaing dengan kerajaan yang turut berniaga melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di mana kroni mendapat untung manakala kerajaan menanggung rugi.

“(Kerajaan) akhirnya membebankan rakyat menerusi sistem cukai yang menekan mata pencarian hidup rakyat jelata. Akhirnya GLC ini akan hilang daya saingnya kerana sentiasa menerima bantuan dari kerajaan,” katanya.

Menurutnya Pakatan Rakyat juga telah memperkenalkan konsep negara berkebajikan melalui Buku Jingga.

“Negara berkebajikan yang ingin kita capai ialah bukan hanya hebat pencapaian ekonominya semata-mata…negara yang kita mahu ialah yang juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita,” katanya.

Abdul Hadi juga mengingatkan tentang perundangan Islam yang mewajibkan perlindungan dan pembelaan orang yang dituduh di mahkamah sebelum dijatuhkan hukum.

“ Seseorang hakim mencari jalan bagaimana membebaskan orang yang dituduh, bukan mencari jalan untuk menjatuhkan hukuman,” tambah beliau. – Roketkini.com