Budaya

Hari Seniman, untuk siapa dan apa manfaatnya – oleh Mazir Ibrahim

14 JUN – Penganjuran sesuatu aktiviti seni, tidak kira ia berbentuk malam anugerah, konsert atau festival sememangnya bermaksud harga atau kos. Dengan kata lain, jika kita menjadikan seni sebagai satu ‘kerja’, maka hal kos tidak boleh dielak sama sekali. Namun begitu, di sebalik maksud-maksud ini, ada rasional lain yang lebih mengatasi semua perkara, iaitu kewajaran.

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan laporan berita yang mendakwa seniman dan penggiat seni tidak ‘menghargai’ Hari Seniman – hari mereka (seniman) sendiri, itu lah ungkapan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim selaku Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan. Keluhan ini bukan lah keluhan seorang peserta majlis, tetapi keluhan oleh sang pemberi dana – menteri.

Memahami keluhan ini, dengan beberapa kisah yang beliau ungkit seperti kerajaan sudah beri itu, beri ini, kementerian sudah buat itu, buat ini, kerajaan Barisan Nasional sudah tolong sana, tolong sini untuk golongan seni, tapi semua itu ibarat tidak dihargai. Kekecewaan beliau amat kita rasai dan turut ‘bersimpati’ ke atasnya.

Kegagalan Rais Yatim

Bagi seorang politikus veteran, ini boleh dianggap sebagai kegagalan politik saudara Rais. Nampaknya beliau tidak pandai berpolitik dengan golongan seniman. Cuba kita bayangkan, seorang peguam mahu ‘beli’ jiwa seorang seniman. Logiknya – risiko untuk gagal itu tinggi.

Di sini lah dasar politik saudara Rais yang menjadi ejen budaya untuk kerajaan BN, telah gagal memahami dan menepati kehendak golongan seniman atau penggiat budaya. Ketepikan dulu soal wang atau dana, niat atau hubungan kerja. Itu semua hanya justifikasi untuk menghalalkan pelaksanaan kerja yang hasilnya selalu serba sumbang.

Sungguh pun apa yang kita ungkapkan di atas sebagai ‘kerja seni bermakna kos’, tidaklah memberi maksud golongan seniman/penggiat budaya terlalu dahagakan wang untuk maju atau “tiada wang kita tak boleh berkarya”.

Sebaliknya seniman memerlukan ruang kebebasan untuk bekerja dan berekspresi. Wang boleh membantu meringankan beban hidup tetapi wang sahaja tidak boleh membeli kreativiti. Malah wang tidak boleh membeli mutu. Sebaliknya, kebebasan dalam konsep berkarya itu sendiri, akan mampu menghasilkan mutu, seterusnya ‘membeli’ keyakinan pemodal. Inilah dasar paling utama dan ini juga adalah persoalan budaya, jika Rais Yatim gagal memahami konsep ini, maka beliau bukanlah orang yang layak untuk memegang portfolio ini.

Dalam soal budaya dan seni, peranan kerajaan sepatutnya sebagai pembantu dan penjaga hak sahaja – tolong jaga hak-hak seniman dan pemodal. Bukan menyebok menentukan apa seniman patut buat atau apa seniman tidak perlu lakukan. Jika konsep asas yang kita nyatakan itu mampu menjadi realiti, laman industri ini akan tumbuh mekar dan subur tanpa ada sang politikus yang suka mengungkit-ungkit dan mengeluh.

Peruntukan kerajaan, wang rakyat

Budaya ungkit-mengungkit ‘pemberian’ ini adalah budaya UMNO dan BN. Jika kita tak setuju dengan mereka, maka kita akan dianggap sebagai warga yang tidak bersyukur. Ini sahaja wirid mereka sejak zaman-berzaman. Bersyukur pada Tuhan yang mengilhamkan kreativiti atau pada UMNO dan BN yang menjadi pemegang amanah wang rakyat, buat masa ini?

Sekali pun kos peruntukan RM100 juta memang dikhaskan buat warga seniman, maka kita berharap berilah ia dengan niat ikhlas dan kita akan ucap terima kasih beribu-ribu kali. Tetapi saudara Rais jangan lupa, duit itu bukan duit UMNO, atau duit itu bukan hanya boleh datang dari kerajaan BN saudara, sebaliknya ia boleh datang dari mana-mana kerajaan yang memerintah, kerana itu ‘duit’ adalah ‘hak’ kita – rakyat. Kerajaan hanya bertindak dengan menyalurkannya, itu sahaja.

Banyak lagi warga seni di pinggiran yang diabaikan. Ramai anak-anak Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Iban, Orang Ulu yang mempunyai daya kreatif tinggi dalam bidang lukisan, ukiran, muzik, filem dan sebagainya – sama ada yang bersifat komersil atau alternatif. Lebih baik jika diperuntukkan kepada mereka wang yang ada tanpa syarat. Mereka tak perlu berbaju batik menadah tangan naik turun lif kementerian untuk dapatkan geran bantuan seni budaya. Tapi seni budaya mereka masih diketepikan begitu saja.

Sama ada kos RM100 juta sudah disalurkan kepada program seni melalui dana industri kreatif setakat ini atau cuma RM100,000 khusus untuk Hari Seniman 2011 pada 29 Mei lalu, rasanya penganjuran Hari Seniman itu adalah sesuatu yang tidak perlu. Warga seni dalam apa jua aktiviti seni, pada asasnya bermula dengan keinginan untuk membentuk tradisi. Kita ambil contoh seperti malam anugerah seni, itu sudah menjadi tradisi yang sememangnya sebuah menifestasi kemuncak kegiatan kesenian, ia adalah medan ‘pilihan raya umum’ bagi warga seni, ia hari kebesaran golongan seniman. Di situlah semua pihak dihargai, diberi penghormatan termasuk tokoh seperti Seniman Negara P.Ramlee. Bukankah itu sudah amat memadai?

Milik siapa Hari Seniman?

Hari Seniman ini apa tradisinya? Bermula sebagai apa? Untuk apa? Sekadar mahu suai kenal dan bersosial? Atau untuk buat pameran, gerai jualan, pertandingan dan karnival? Program ini layaknya dianggap sebagai program politik yang lekeh sekali.

Atau, katakanlah, program ini memang berniat baik, ia adalah permintaan warga seni (baca: persatuan-persatuan seni) dan untuk kebaikan semua pihak. Justeru, apa hasilnya kesudahnnya? Adakah seniman akan bertambah kreatif dan berani selepas itu? Atau adakah orang politik UMNO dan BN semakin celik budaya? Jangan kita lupa, tidak semua warga seni berpayung di bawah persatuan Seniman atau Karyawan. Suara persatuan ini bukanlah mewakili suara warga seniman di Malaysia.

Memahami tradisi dan budaya akan membentuk keupayaan intelektual seseorang. Kita tidak hairan jika kita punya ramai insan yang berpendidikan, tetapi amat kita khuatir jika yang memimpin kita hari ini tidak memahami tradisi kita sendiri. Duit setinggi gunung sekali pun yang dicampak kepada kita, akan jadi sia-sia – membazir.

Memang hal kesenian, apatah lagi dalam sesebuah industri, melibatkan kos yang tinggi, orang politik tidak perlu mengeluh. Tetapi, setiap kos yang dibelanjakan, punya kewajaran. Wang bukan mengalir dari peluh sahaja, tetapi ia membentuk tradisi dan budaya. Seni dan budaya lebih dahagakan kebebasan untuk berekspresi dan berkarya.

Janganlah Rais Yatim menggunakan wang rakyat untuk membiak budaya mengemis terhadap warga seniman. Cukuplah budaya UMNO yang mahu diri menjadi candu kepada orang Melayu. Tetapi apa lah nak diharap sangat dari Rais Yatim yang percaya bahawa kebebasan media dan seni budaya di Malaysia perlu tertakluk kepada undang-undang dan etika yang dibuat oleh UMNO dan BN.  – Roketkini.com