Berita

DAP nafi laporan palsu Utusan mengenai Hasan Ali

KUALA LUMPUR, 16 JUN – Penolong Setiausaha DAP Selangor Ng Suee Lim menafikan laporan Utusan Malaysia yang mendakwa beliau telah membuat kenyataan kononnya DAP menyambut baik pengguguran Datuk Dr Hasan Ali sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.

Ng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan telah membuat laporan polis dengan menyatakan bahawa laporan Utusan adalah palsu kerana beliau tidak pernah diwawancara oleh akhbar itu yang menjadi lidah rasmi UMNO.

Beliau juga mengesahkan tidak pernah membuat kenyataan seumpama itu kepada mana-mana akhbar atau blog.

Utusan dalam edisi 14 Jun dengan tajuk “Pengguguran Hasan Ali disambut baik DAP” melaporkan kononnya Ng telah membuat kenyataan bahawa pengguguran jawatan itu “akan memantapkan hubungan pakatan pembangkang di negeri ini”.

Utusan sebagai alat propaganda UMNO telah menggunakan istilah “pembangkang” kepada kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Dalam laporan itu juga Ng yang didakwa “ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini” dipetik sebagai berkata “..saya dengar dia (Hasan) tidak bagus dan jarang turun padang. Namun, saya yakin dengan perubahan pimpinan PAS negeri ini akan memantapkan parti pembangkang di Selangor”.

Ng dalam laporan polis yang sama juga menyerahkan kepada balai polis Sekinchan gambar wajahnya yang ditokok tambah oleh sebuah blog dengan “hidung babi” dan laporan “berita” yang hampir sama dengan laporan Utusan. – Roketkini.com