Budaya

Material, negara dan ruang awam – oleh Muhammad Nazreen

Hiburan di kota besar dalam semalam, sama dengan biaya pembangunan di sepuluh desa! Apakah semua negara yang ingin maju harus menjadi negara industri..Kita telah dikuasai mimpi..Kita telah asing di negara sendiri. (Sajak Sebotol Bir) ~ WS Rendra

17 JUN – Bagaimana manusia melihat moden itu? Adakah dengan memaparkan gambaran pembangunan blok-blok bangunan yang terbina atas dasar kemegahan? Misalnya, cita rasa kemegahan Putrajaya di balik tembok-tembok gah yang menelan kos berbilion ringgit sudah membuktikan masyarakatnya lebih intelektual daripada yang lain?

Rendra di dalam bait-bait puisi sudah mula mengkritik hemat-hemat sang penguasa yang kononnya hanya dengan membina kemegahan material sudah berjaya membuktikan bahawa merekalah yang membangunkan masyarakat Indonesia.

Sebenarnya, apakah persoalan yang cuba dicetuskan beliau? Adakah masyarakat sudah tidak terbeban dengan kepesatan globalisasi dimana dengan menciptakan mitos bahawa Indonesia sudah mendepani arus kemodenan, lantas rakyatnya juga sudah terelak daripada faktor kemiskinan?

Ternyata, Rendra melihat bahawa kebijakan pemerintah Indonesia menciptakan retorik bahawa material itu sumber ukuran kepada kejayaan masyarakat hanyalah sesuatu yang palsu. Dia percaya bahawa kayu ukur kepada pembangunan institusi kemasyarakat bukanlah terletak pada hemat material tetapi kesediaan masyarakat untuk hidup di dalam ruang wacana segar yang memberikan input berguna terhadap keberlansungan kehidupan masyarakat seharian.

Asal mula negara (daulah)

Menurut Ibn Khaldun, manusia diciptakan sebagai makhluk politik atau sosial, iaitu makhluk yang selalu mahukan orang lain dalam mempertahankan kehidupannya, sehingga kehidupannya dengan masyarakat dan organisasi sosial merupakan sebuah keharusan (dharury) (Muqaddimah: 41).

Maka, di dalam Muqadimah, tafsiran tentang kewujudan negara itu bukanlah untuk membina kemegahan di mana dimensi material itu diangkat untuk menjadi ukuran kenegaraan itu tetapi adalah hak yang diamanahkan oleh masyarakatnya melaksanakan dasar-dasar yang membebaskan manusia daripada belenggu kemiskinan yang mencengkam warganya.

Lantas, hubungan siasah antara rakyat dan pemimpin seharusnya digariskan dengan mekanisme pembangunan ketamadunan masyarakat dan bukan kehebatan pemimpin-pemimpinnya berlumba untuk membina struktur bangunan yang lebih futuristik.

Ternyata, konseptual yang digagaskan Ibn Khaldun ini gagal untuk dihadam oleh pucuk pimpinan kerajaan.

Selain itu, Ibn Khaldun juga membahaskan bagaimana teori kenegaraan itu wujud atas dasar kebersamaan manusia. Hubungan cinta dan kasih sayang itulah yang menjana bentuk daulah yang diilhamkan.

Kegagalan untuk melihat dan memahami penderitaan rakyat jualah yang menjurus kepada mitos yang menciptakan material adalah kayu ukur utama untuk membangunkan sebuah bangsa (nation).

Pada pendapat saya, pembangunan material bukanlah sesuatu yang salah tetapi ia seharusnya sejajar dengan pembangunan minda dan tahap upaya pemikiran rakyat untuk terus memastikan ‘survival’ itu berlangsung.

Paradigma yang tercipta seharusnya menepati kehendak masyarakat untuk terus memberikan harapan.

Harapan yang saya maksudkan di sini adalah potensi warganya membina gagasan yang memberikan pulangan kepada mereka, tidak semestinya di dalam bentuk yang ‘kelihatan’ tetapi cukuplah sekadar mencipta arus penggerak ketamadunan itu sendiri.

Ruang awam

Filosof Jurgen Habermas memberikan perspektif tentang bagaimana masyarakat itu membahaskan idea dan gagasan mereka.
Rasionalisasi komunikasi yang diilhamkan beliau memberi paparan bagaimana wacana ruang awam dapat menyumbang kepada bentuk masyarakat yang lebih sihat.

Mungkin, bahasa Hegel tentang minda ‘tuan-hamba’ sudah tidak lagi sesuai menjadi kayu pengikat dan instrumen melahirkan dasar yang asli. Minda subjek-objek ini tidak lagi dapat untuk mencerminkan kegentingan masyarakat menentukan hala tuju sesebuah negara.

Ruang awam yang dicetuskan ini memberikan kata putus kepada permasalahan yang membungkam masyarakat.

Seperti yang sedia maklum, di dalam epistemologi negara hukum sendiri menggariskan bahawa undang-undang itu terbina daripada dasar-dasar wacana ilmiah, bukan hukuman atau implementasi akta-akta yang mengawal atur hidup masyarakat. Lantas, melalui wacanalah yang menjadi jambatan antara rakyat dan pemerintah melahirkan aturcara sistem.

Dalam ruang awam, hubungan antara agama dan intelektual digariskan atas nama wacana, bukan hukum atau aturan yang ditetapkan.

Sebagai contoh, akibat daripada ketegangan di Iran dimana konsep negara teologi bertarung dengan konsep sekularisme, Habermas, walau pun mendukung gagasan negara sekular, pernah menyatakan dalam pertemuannya dengan pemimpin Katolik Kardinal Ratzinger (sekarang Pope Benedict XVI) bahawa perlunya sebuah negara sekular yang mesra agama. Maka, idea “ruang awam dan ruang peribadi” tajaan Habermas mendapat tempat dalam wacana kenegaraan di Iran.

Malahan, Syeikh Yusof Qardawi melihat bagaimana pentingnya jambatan persahabatan di antara Islam dan Kristian itu seharusnya diikat dengan formasi-formasi wacana intelektual yang membahaskan faham ajaran masing-masing.

Kata akhirnya, mungkin ada yang bersetuju atau ada yang tidak, tetapi itu bukanlah keputusan yang terakhir. Perkara yang lebih mendasar adalah bagaimana sesuatu kelompok itu mewacanakan pemahaman mereka dan saling berkongsi idea dan gagasan yang bertujuan untuk satu perkara: kesejahteraan.

Seharusnya, perkara yang lebih dasar patut diberi keutamaan.

Keutamaan yang saya maksudkan di sini kontrak sosial berkerajaan itu sepatutnya mendokong perkara yang lebih jelas iaitu pelaksanaan kebajikan terhadap masyarakatnya kerana material itu hanyalah ‘supplementary factor’ atau faktor tambahan yang menjana pembangunan kepada masyarakat.

Dan akhirnya kita akan mengerti pembangunan intelektual itulah yang membuktikan bahawa bersediakah masyarakat untuk meniti arus globalisasi serantau.

Mekanisme yang ditawarkan Habermas mungkin dapat untuk mencorakkan paradigma yang lebih ideal ke arah pembangunan bangsa yang berjaya; dalam kata lain, keseimbangan di antara kekentalan intelektual dan kepakaran inteligensia mengangkat martabat sesebuah negara.

Mutakhir untuk sesebuah negara itu melihat hubungan siasah antara rakyat dan pemimpin bukanlah sebagai bahasa ‘patron-client’ tetapi rencam struktulisasi kenegaraan yang mentakwilan keberagaman masyarakat di arus modenisasi. – Roketkini.com