Berita

DAP sentiasa prihatin nasib peniaga, penjaja ibu kota

KUALA LUMPUR, 7 OGOS – Yang membezakan usaha pemimpin Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional di pusat bandar ibu kota ialah tumpuan kepada golongan pekerja dan peniaga kecil.

Sementara DAP menjaga kebajikan peniaga, penjaja dan pekerja berpendapatan rendah, BN sibuk dengan projek-projek mega yang membebankan rakyat jelata.

Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun berkata, DAP Bukit Bintang kerap membangkitkan isu-isu berkaitan kebajikan dan keperluan penduduk di kawasan beliau di Parlimen.

“Kita berusaha gigih membantu sebaik mungkin kemudahan asas rakyat di sini. Sudah berulang kali saya bangkitkan isu kemudahan awam di Parlimen.

“Sedangkan pemimpin BN lebih asyik dengan menaikkan bangunan-bangunan mega berbanding membantu kebajikan penduduk,” katanya kepada Roketkini.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada tuduhan tidak berasas Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M Kayveas yang menuduh DAP tidak menjaga kemudahan awam penduduk di pusat bandar, walau pun sudah banyak penggal menguasai kawasan itu.

Fong menjelaskan pemimpin seperti Kayveas yang telah ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya umum 2008 sengaja membangkitkan perkara yang tidak berlaku semata-mata untuk meraih publisiti murahan.

“Kalau dia dan PPP aktif bersama rakyat mungkin mereka akan faham mengapa DAP masih kekal di Bukit Bintang sejak bertahun-tahun lamanya. Formula DAP ialah sentiasa berdamping dengan rakyat. Apakah Kayveas dan PPP faham semua ini?” katanya.

Tambah beliau, DAP mempunyai hubungan yang sangat baik dengan penjaja dan masyarakat di Bukit Bintang, dan ini boleh dilihat sendiri Kayveas jika beliau turun ke sana dan bertanyakan tentang DAP dengan masyarakat di sana.

“Nampkanya Kayveas memang tidak mengikuti perkembangan di Parlimen dan tidak turun padang, sebaliknya hanya tahu memburukkan Pakatan sahaja,” katanya.

Bagaimana pun, secara berseloroh beliau bersetuju dengan pendapat Presiden PPP itu yang mendakwa bahawa “tidak mustahil” BN boleh memenangi kawasan Parlimen Bukit Bintang dalam PRU ke-13.

“Kalau BN yakin tentu mereka kata yakin. Ini cuma kata ‘tidak mustahil’ saja. Maksudnya BN tak yakin boleh menang di Bukit Bintang,” kata Fong yang telah dipilih menjadi Ahli Parlimen kawasan itu selama tiga penggal berturut-turut sejak 1999. – Roketkini.com