Kenyataan Akhbar

YB Wong Hon Wai merujuk kepada kenyataan oleh Pengerusi Parti Gerakan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan

Kenyataan Akhbar oleh YB Wong Hon Wai – EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Perancang Bandar & Desa, Perumahan dan Kesenian) pada 9-8-2011 di George Town, Pulau Pinang

Saya merujuk kepada kenyataan oleh Pengerusi Parti Gerakan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan yang menanyakan kepada Kerajaan Negeri berkenaan kutipan premium dari pemaju untuk rumah kos rendah.

Pada masa pemerintahan Barisan Nasional,  isu-su penjualan kuota rumah kos rendah berlaku secara berleluasa di pasaran bebas di mana pemaju yang tidak dapat menyediakan rumah kos rendah membeli kuota daripada pemaju yang telah menyediakannya. Transaksi penjualan kuota berlaku antara pemaju-pemaju dan tiada kawal selia daripada Kerajaan Negeri pada masa itu. Kerajaan Negeri tidak menerima apa-apa sumbangan daripada aktiviti tersebut.

Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang berpendapat aktiviti penjualan kuota rumah kos rendah ini perlu dikawalselia di samping kepentingan awam perlu dijaga. Oleh itu, kita telah menetapkan bahawa pemaju yang membeli kuota daripada pemaju lain diminta menyumbang RM40,000 (empat puluh ribu ringgit) seunit bagi perumahan kos rendah dan RM30,000 (tiga puluh ribu ringgit) seunit bagi perumahan kos sederhana rendah.

Ini adalah jauh lebih tinggi daripada yang ditetapkan oleh Kerajaan Barisan Nasional yang tidak mendapat apa-apa wang sumbangan pun. Wang sumbangan daripada pemaju ini akan dimasukkan ke dalam akaun Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Wang tersebut akan digunakan untuk membiayai pembinaan rumah mampu milik pada masa akan datang.

Kerajaan Negeri juga akan merangka formula baru untuk menangani aktiviti penjualan kuota rumah kos rendah antara pemaju-pemaju dan pengumuman baru akan dibuat pada masa yang sesuai.

Kerajaan Negeri komited terhadap pembinaan rumah mampu milik seperti yang ditunjukkan oleh kelulusan 11,596 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah di bahagian Pulau dan Seberang Perai semenjak pemerintahan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Ketua Menteri, YAB Lim Guan Eng juga telah membuat pengumuman terhadap pembinaan rumah mampu milik di Batu Kawan di atas tanah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) seluas 150 ekar.