Kenyataan Akhbar

Kilang Lee Rubber Co. Pte Ltd di Paya Terubong Akan Ditutup Berkuatkuasa 1 April 2012

Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Lim Guan Eng Pada 9 Ogos 2011 di Komtar, George Town

Kilang Lee Rubber Co. Pte Ltd di Paya Terubong Akan Ditutup Berkuatkuasa 1 April 2012

Kerajaan Negeri telah menerima makluman penutupan kilang Lee Rubber Co. Pte Ltd melalui surat yang bertarikh 4hb Ogos 2011 Pengurus Besar Kumpulan Lee Rubber Co. Pte Ltd, Teo Kim Yam yang beribu pejabat di Singapura.

Premis Lee Rubber Co. Pte. Ltd., Jalan Paya Terubung, 11060 Paya Terubung, Pulau Pinang telah beroperasi semenjak tahun 1965. Kilang ini mula dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar di bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 sejak tahun 1979. Premis ini menjalankan operasi mengeluarkan getah SMR dengan kapasiti maksimum pemprosesan sebanyak 140 tan metrik sehari.

Operasi syarikat ini telahpun mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sejak mengambil alih pemerintahan pada tahun 2008 berikutan maklum balas dan aduan daripada penduduk tempatan. Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan proaktif bersama dengan ADUN Paya Terubong, YB Yeoh Soon Hin dan ADUN Tanjong Bungah, YB Teh Yee Cheu untuk memastikan operasi kilang ini lebih selaras dengan objektif Kerajaan Negeri PR menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau.

Pengurus Lee Rubber Cawangan Pulau Pinang, Encik Chew Chee Bing telah memaklumkan bahawa

1.      Kilang akan berhenti operasi pada 1hb April 2012

2.      Pembelian getah akan diteruskan sehingga akhir bulan Februari 2012 (29hb Februari 2012)

3.      Operasi pengeluaran akan diteruskan sehingga 31hb Mac 2012

Berikutan pengumuman penutupan ini, YAB Ketua Menteri akan bertemu dengan Pengurus Besar Kumpulan Lee Rubber, Encik Teo Kim Yam di Singapura pada hari Jumaat ini.

 

LIM GUAN ENG