Berita

Laksanakan tuntutan Bersih 2.0 untuk perbaiki sistem pilihan raya

KUALA LUMPUR, 25 OGOS – Penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen (PSC) yang masih diragukan fungsinya tidak akan memberi apa-apa makna jika lapan tuntutan Bersih 2.0 tidak dilaksanakan.

“Jika kerajaan tidak menerima cadangan dan mengakui pula tiada kecacatan dalam pilihan raya, maka apa gunanya penubuhan PSC?” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau turut mengingatkan Barisan Nasional supaya tidak menggunakan PSC sebagai alasan untuk mengalih pandangan atau melambat-lambatkan reformasi pilihan raya agar rakyat lupa.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pakatan Rakyat di ibu pejabat PAS di sini semalam yang turut dihadiri Ketua Pembangkang Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Sebelum ini, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur telah menjelaskan bahawa reformasi pilihan raya yang sebenar akan hanya tercapai jika PSC bukan satu helah politik BN.

Katanya, kerajaan BN perlu membuktikan kesahihan dan keberkesanan PSC dengan:

* Menarik balik pengharaman Bersih 2.0 dan menggugurkan tuduhan terhadap lebih 1,600 rakyat Malaysia yang ditahan berkaitan dengan perhimpunan aman Bersih pada 9 Julai lalu, termasuk mereka yang didakwa kerana memakai t-shirt Bersih atau t-shirt berwarna kuning;

*  Berunding dengan serta mendapat kata putus daripada parti-parti Pakatan Rakyat berhubung isu PSC dari segi bidang kuasa, keahlian, tempoh masa dan hal-hal berkaitan; dan

* SPR dan kerajaan BN perlu menyatakan sekarang mana satu (atau lebih) daripada lapan tuntutan Bersih 2.0 yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan sebelum Parlimen bersidang pada 3 Oktober depan.

Dalam sidang media semalam, Anwar yang juga Ketua Umum PKR menyatakan tuntutan Pakatan Rakyat yang mahu SPR memulihkan sistem pilihan raya sebelum PRU akan datang.

Menurutnya, Pakatan masih mengambil sikap terbuka dengan penubuhan PSC tetapi  berhati-hati dengan keputusan tentang jawatankuasa itu.

“Kita belum berfikir untuk boikot PSC, tetapi kita menekankan agar kerajaan menunjukkan ketelusan dan SPR pula memainkan peranan yang terkedepan dalam reformasi pilihanraya.

“Keputusan kami adalah untuk memberi mereka ruang, untuk menunjukkan bahawa kami mendengar dan bekerjasama, namun mereka juga harus membuktikan atau menunjukkan niat yang jujur,” katanya.

Tambah Anwar, walau pun Pakatan mengalu-alukan penubuhan PSC, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan selepas pengumuman penubuhan itu sangat membingungkan.

“Pertama, Perdana Menteri kata pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa tanpa perlu keputusan PSC dan kedua, kenyataan angkuh SPR yang mengaku tidak terikat dengan PSC,” katanya.

Beliau menambah, tidak ada sebab SPR dengan bidang kuasanya, tidak boleh bertindak secara bersih, jujur dan amanah, sebagai sebuah anggota suruhanjaya yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan ketelusan dalam proses reformasi pilihan raya.

Mohamad Sabu pula berkata, SPR mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan tetapi malangnya suruhanjaya itu memilih untuk berdolak-dalik.

“Kita lihat pilihan raya akan jadi tidak bersih pada masa yang akan datang sebab penemuan-penemuan mutakhir ini seperti daftar pemilih memang mengejutkan semua pihak termasuklah pihak luar negara yang melihat bahawa pilihan raya dan daftar pemilih di Malaysia adalah paling tidak bersih di masa sekarang,” katanya.

Bagaimana pun, menurut Mohamad, perkara-perkara seperti inilah perlu diselesaikan oleh SPR bagi meyakinkan rakyat tentang proses demokrasi tulen pilihan raya. – Roketkini.com