Berita

Belanjawan Pakatan: Meringankan beban rakyat

KUALA LUMPUR, 5 OKT – Pakatan Rakyat yang peka dan prihatin dengan masalah rakyat akan memberi bonus RM1,000 setahun bagi setiap warga emas dan bayaran RM1,000 bagi tahun 2012 untuk suri rumah yang layak jika mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Tawaran yang dibuat dalam Belanjawan Kesejahteraan 2012 juga menawarkan untuk:

* Menambah pendapatan isi rumah golongan miskin tegar kepada RM550 sebulan;

*Memperkukuh jaringan keselamatan sosial dengan menambah bayaran kebajikan terus sebanyak RM550 sebulan untuk memastikan penjajaran dengan bantuan kepada golongan miskin tegar;

* Memberi elaun RM700 setahun bagi penjagaan anak berumur 12 tahun ke bawah bagi keluarga yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan;

* Menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak berkelulusan melalui penyediaan pinjaman khas dan insentif cukai; dan

* Meningkatkan kadar penyertaan pekerja di kalangan wanita dari 46 peratus ke 55 peratus dalam masa lima tahun.

Pakatan Rakyat akan mengekalkan subsidi ke atas barangan dan perkhidmatan pada jumlah RM 22 bilion.

Dasar-dasar subsidi dan harga kawalan petrol akan dirombak untuk merasionalisasikan perbelanjaan kerajaan, iaitu:

1. Subsidi kepada badan-badan dan syarikat yang bersifat monopolistik akan dihentikan.

2. Subsidi-subsidi umum akan distruktur semula untuk mendatangkan kebaikan terus kepada kumpulan-kumpulan sasar yang memerlukan.

Pakatan Rakyat akan menghapuskan monopoli import beras yang dipegang BERNAS dan lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif dan terbuka. Subsidi akan diberi terus kepada para petani melalui institusi-institusi pertanian.

Pakatan rakyat akan memperuntukkan RM100 juta kepada peniaga-peniaga kecil untuk pertingkat tahap kebersihan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa.

Bagi menjaga kualiti kehidupan yang lebih baik, Pakatan Rakyat akan:

* Memfokuskan semula pasukan polis kepada pencegahan jenayah dan meningkatkan keselamatan awam;

* Dasar “Bina dan Jual” (“Build then Sell”) untuk projek perumahan kos rendah-sederhana akan diwujudkan, untuk menjaga keselamatan pengguna. Peruntukan kos perumahan awam akan dinaikkan ke RM 1 bilion;

* Dasar Pengangkutan Nasional akan mengutamakan pengangkutan awam dengan mengetengahkan prinsip “gerakkan rakyat, bukan kereta”;

* Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Pengangkutan;

* Mempertingkat penggunaan teknologi hijau untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih baik, efisyen, dan mendatangkan kebaikan kepada rakyat melalui penjimatan kos kemudahan awam asas dan lain-lain perbelanjaan isi rumah, dan kepada industri dengan meningkatkan produktiviti dan keberuntungan. – Roketkini.com