Berita

Salam Deepavali, Pakatan Rakyat tawar alternatif

GEORGETOWN, 26 OKT – Lim Guan Eng kesal dengan kekejaman pihak-pihak tertentu yang sanggup menganiayai kanak-kanak belasan tahun yang tidak bersalah demi agenda politik kotor mereka.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, walau pun tuduhan-tuduhan bersifat fitnah dan tohmah tersebut telah pun ditangkis dan didedahkan sebagai penipuan semata-mata, serangan yang tidak bertanggungjawab dan mencabuli hak asasi kanak-kanak tersebut masih lagi diteruskan.

“Walau bagaimana pun, saya yakin bahawa pada hari yang mulia ini, cahaya kebenaran akan menyemarak dan mendedahkan kepalsuan dan kemungkaran pihak yang keji dan bacul itu.

“Sesungguhnya rakyat Malaysia sedar akan kebenaran dan tidak akan terpedaya dengan taktik dangkal yang digunakan,” katanya dalam perutusan Deepavali hari ini.

Blogger UMNO dan beberapa pemimpin utama parti itu telah menyebarkan fitnah mengenai anak Guan Eng yang berusia 16 tahun yang didakwa kononnya mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan.

Pihak-pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang serta pemain catur wanita England yang mana gambarnya dipalsukan sebagai “mangsa” fitnah pencabulan itu telah pun menafikan pembohongan yang dicipta oleh blogger dan beberapa pemimpin UMNO.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang ketandusan modal akan cuba memainkan sindiran dan menggunakan apa sahaja cara untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu-isu yang sebenar.

“Sebagai contoh, hampir 60 peratus daripada rakyat Malaysia hidup dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan. Empat puluh peratus pula dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM1,500 sebulan.

“Sudah tiba masanya kita sedar dan mengambil tindakan untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah ini agar mereka dapat hidup dengan sejahtera dan bermaruah,” tambanya.

Menurut beliau, untuk menutup kelemahan BN, Perdana Menteri hanya mampu menampalkan “luka-luka” itu dengan bayaran sekali sahaja atau “one-off”.

Namun begitu, katanya, cara itu tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah kerana pokok kepada masalah-masalah yang dihadapi negara adalah salah urus pentadbiran dan rasuah yang berleluasa yang menyebabkan ketirisan wang rakyat dan pengagihan kekayaan yang berat sebelah.

“Kerakusan dan ketamakan kuasa pemimpin-pemimpin BN telah mengakibatkan keadaan ekonomi negara semakin runcing. Hutang negara sudah mencecah 53 peratus daripada KDNK, iaitu hampir-hampir menyentuh had 55 peratus yang telah ditetapkan oleh Kerajaan melalui Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983.

“Dalam erti kata lain, keadaan hutang negara kita sudah sampai tahap nyawa-nyawa ikan. Dalam masa 4 tahun, hutang negara hampir digandakan daripada RM266 bilion pada tahun 2007 kepada hampir RM450 bilion hari ini.

“Jika kadar hutang ini berterusan, jumlah hutang negara kita akan mencecah RM1 trilion menjelang tahun 2020,” katanya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Pakatan Rakyat mampu menawarkan pembaharuan dan perubahan untuk membebaskan rakyat daripada masalah yang dicipta oleh BN.

Sebagai contoh, beliau berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Rakyat telah berjaya mengurangkan hutang negeri daripada RM630 juta pada Mac 2008 kepada hanya RM29 juta pada hari ini.

“Ini adalah pengurangan sebanyak RM600 juta, atau pun 95 peratus, lantas merupakan kadar yang paling cemerlang di antara semua negeri di Malaysia,” ujarnya.

Amat jelas bahawa sementara hutang negara telah berganda di bawah pentadbiran BN, hutang negeri Pulau Pinang hampir dihapuskan dalam masa yang sama oleh kerajaan Pakatan Rakyat, tambahnya.

“Pilihannya adalah di antara kerajaan yang rakus dan menganiayakan rakyat, dengan kerajaan yang berjiwa rakyat dan memartabatkan rakyat.

“Oleh itu, saya menyeru agar saudara-saudari akan mengambil kira masa depan anak-anak dan cucu cicit kita. Adakah kita hendak mewariskan sebuah negara yang bankrap dan dibebani hutang?

“Adakah kita akan terus memilih pemimpin yang bukan sahaja tamak dan rakus, tetapi juga sanggup mencabuli hak kanak-kanak? Tidakkah kita mahukan sebuah negara yang ditadbir dan diurus secara telus dan cekap?” katanya. – Roketkini.com