Berita

Pakatan setuju pinda Perlembagaan untuk bolehkan dakwat kekal

KUALA LUMPUR, 16 NOV – Pakatan Rakyat sebulat suara menyokong usaha meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Pakatan akan menyokong sebarang pindaan Perlembagaan untuk perkara itu jika itu yang dimahukan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Pada tahun 2008, Abdul Gani memberi alasan penggunaan dakwat kekal tidak dapat dilaksanakan kerana memerlukan pindaan Perlembagaan walau pun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membeli dakwat berkenaan untuk digunakan dalam PRU ke-12 pada 8 Mac 2008.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan bersedia menerima pindaan Perlembagaan asalkan ianya dibentang dan mendapat persetujuan dua pertiga Parlimen sebelum PRU ke-13 diadakan.

“Kita juga menggesa Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC) tidak berlengah atau berdalih untuk merencanakan hasrat tertentu mereka,” katanya dalam sidang media Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen semalam.

Bernama melaporkan bahawa PSC yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Maxmus Ongkili telah menjemput Peguam Negara untuk berbincang tentang penggunaan dakwat kekal dalam mesyuaratnya hari ini.

Sementara itu, Barisan Nasional telah mengadakan meysuarat pimpinan parti-parti komponen di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya malam tadi, dipercayai untuk membincangkan persediaan PRU ke-13.

Pakatan Rakyat pula akan memulakan kempen pra-PRU dengan mengadakan ceramah besar bermula di Selangor pada awal bulan depan. – Roketkini.com