Berita

Selangor perkenalkan gaji minimum, kerajaan pusat BN masih berdolak-dalik

SHAH ALAM, 18 NOV – Dolak-dalik Barisan Nasional dalam pelaksanaan gaji minimum telah dipintas dengan mudah oleh Pakatan Rakyat apabila memperkenalkan usaha itu di peringkat negeri Selangor.

Dengan hanya menyediakan geran RM10 juta untuk memperkenalkan skim gaji minimum bagi syarikat-syarikat milik kerajaan negeri Selangor, ia telah mematahkan pelbagai alasan BN yang enggan melaksanakannya.

Timbalan Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Jenice Lee berkata, isu kewangan bukan perkara sebenar kenapa kerajaan persekutuan BN gagal melaksanakan gaji minimum kerana Selangor yang tiada peruntukan besar pun mampu memperkenalkannya.

“Kalau BN kata mereka berjuang untuk rakyat, kenapa tidak melaksanakan gaji minimum?

“Saya anggap kewangan bukanlah isunya kerana isteri Perdana Menteri dikatakan mampu membeli cincin dengan harga RM24 juta walau pun ia telah dipulangkan balik kerana tekanan dari rakyat.

“Skandal kewangan berbilion ringgit sanggup mereka buat. Tapi untuk rakyat yang perlukan gaji minimum, macam-macam alasan mereka beri supaya tak dilaksanakan,” katanya.

Lee yang juga Adun Teratai berkata demikian sebagai menjelaskan perbahasannya dalam sidang Dewan Undangan Rakyat Selangor baru-baru ini.

Pada minggu lalu Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim membentangkan Belanjawan 2012 Selangor dengan tema ‘Selangorku: Hasil Negeri Untuk Rakyat’ yang mana antaranya telah mengumumkan pelaksanaan gaji minima bagi syarikat milik kerajaan negeri yang akan diperkenalkan pada kadar RM1,500.

“Ini merupakan satu berita dan hadiah yang sangat baik bagi pekerja-pekerja yang berpendapatan rendah,” kata Lee yang juga Pembantu Exco Belia dan Sukan Selangor. – Roketkini.com