Rencana

DAP bela semua rakyat, tak perlu bodek, tak payah kipas – Oleh Fairuz Azhan

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

20 DISEMBER – Keadaan masyarakat majmuk Malaysia sejak sekian lama sudah diambil kesempatan sejak dahulu lagi. Kehadiran British di Malaya telah menyaksikan bermulanya pemisahan masyarakat melalui pecah dan perintah mengikut kaum.

Tujuannya hanya satu, iaitu supaya masyarakat tidak boleh bersatu padu dalam menentang penjajahan mereka secara efektif. Strategi ini memang cukup terkenal oleh negara-negara penjajah terhadap negara yang mereka ingin tawan.

Jelas bahawa jika masyarakat dipecah dan dibahagi mengikut garis kaum, maka mudahlah penjajah menjalankan dasar dalam pentadbiran mereka tanpa sebarang penentangan. Bak kata pepatah ‘bersatu teguh, bercerai roboh.’

Pada hari ini kita dapat melihat kepincangan permerintahan UMNO-BN yang terus melangsungkan dasar British ini, iaitu terus memecah belahkan masyarakat supaya terus mengekalkan kemandiran politik di atas dasar politik perkauman pecah dan perintah.

Kaum-kaum di Malaysia sentiasa dilagakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, dan jika tiada modal untuk memecahbelahkan perpaduan, mereka mencipta fitnah.

Pakatan menjadi mangsa fitnah

Yang menjadi sasaran fitnah adalah Pakatan Rakyat. Yang menjadi tumpuan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Lim Guan Eng.

Fitnah-fitnah ciptaan konco-konco UMNO terhadap DAP semakin menjadi-jadi. DAP cuba digambarkan sebagai anti-Islam dan anti-Melayu. Mereka menuduh DAP merobohkan gerai Melayu, DAP ejen kristianisasi, DAP ingin tubuhkan republik dan sebagainya yang tidak pernah disertakan sebarang bukti kukuh.

Sikap perkauman assabiyah yang diamalkan ini bagaikan menghalalkan segala-galanya atas nama bangsa dan kaum. Kesemua penyelewangan, skandal dan ketidakcekapan, hanya perlu dijadikan isu perkauman untuk para pemimpin UMNO-BN mencuci tangan mereka.

Jika ada pihak mempersoalkan kontrak projek pembinaan yang melebihi harga asal atau pun projek tender tertutup yang tidak telus, mudah sahaja menangkisnya, “pembangkang dengki dengan Melayu!”.

Jika ada pihak yang mempersoalkan keselamatan bahan-bahan makanan Kedai Rakyat 1Malaysia, bidasan mudah, “pembangkang dengki dengan peruncit Bumiputera!”

Begitu mudah sekali menangkis apa apa soalan. Sudahlah tidak menjawab segala persoalan tentang isu yang timbul, mahu pula memfitnah pula orang lain demi menutupi bau perkasam sendiri.

Yang jelas, politik perkauman pecah dan perintah seharusnya tidak lagi relaven di negara kita. Ia hanya menyemarakkan api perkauman dan kebencian yang mengajak orang ramai ke arah itu supaya politik tersebut terus relevan. Segala skandal dan penyelewengan bukan sahaja tidak diambil tindakan, namun terus dipertahankan atas nama kaum.

DAP sebagai alternatif

Jadi apa alternatif yang sedia ada? DAP merupakan antara alternatif terbaik dalam arus perdana politik Malaysia.

Ia sebuah parti yang bertunjuangkan sebuah idealisma murni demokrasi sosial yang menjamin kemakmuran dan kebajikan rakyat seluruh Malaysia. Ia merupakan sebuah parti bukan kaum yang membela semua kaum di Malaysia.

Ia tidak selektif kepada mana-mana pihak berdasarkan warna kulit, fahaman agama, mahu pun jantina. Ia bukan seperti parti pemerintah sekarang yang selektif membela kaum tertentu bila wujud kepentingan wang individu dan politik sendiri tetapi tidak ikhlas membela kaum yang kononnya diperjuangkan.

Kita tahu memang ramai insan di Malaysia yang miskin yang memerlukan pembelaan daripada sebuah kerajaan yang menjuarai rakyat. Namun, apa yang telah tercapai sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan?

Masih ramai Melayu dan Bumiputera berpendapatan rendah. Hanya segelintir Melayu yang ada kabel politik hidup senang-lenang bersama sanak-saudara mereka. Inilah perjuangan UMNO-BN.

Yang jelas, tujuan murni DEB jauh terpesong daripada matlamat asal dan hanya dijadikan alasan mengkayakan beberapa individu atas nama kaum tetapi bukan seluruh rakyat Malaysia yang lebih memerlukannya.

Yang pasti, kemiskinan, keperitan, penderitaan hidup tidak mengenal warna kulit dan setiap orang yang layak untuk dibantu harus dibantu tanpa apa-apa syarat. Selain kaum Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak, ramai juga kaum India yang hidup di bawah paras miskin. Malah, masih ada kaum Cina yang miskin di negara ini.

Tawaran DAP

DAP dengan ideologi demokrasi sosial menjamin pembelaan dan kebajikan rakyat tanpa rakyat perlu membodek pemimpin atau menjadi ‘rent seeker’.

Jika anda susah, anda akan dibantu. Sebagai contoh, kejayaan kerajaan negeri Pulau Pinang yang telah menjadi negeri pertama di Malaysia yang telah membasmi kemiskinan tegar di negeri tersebut dan akan terus berusaha untuk membasmi kemiskinan di negeri tersebut menjelang 2015.

Tiada syarat dikenakan, jika anda miskin, anda layak mendapat bantuan sehingga keluar daripada kedudukan tersebut. Tiada gimik politik mahu pun syarat fahaman politik.

Malah fitnah bahawa para kontraktor Melayu akan hancur tanpa UMNO-BN di Pulau Pinang juga meleset. Jelas majoriti kontrak kontrak kerajaan negeri berjaya dimenangi secara adil, terbuka, dan telus oleh golongan Melayu iaitu sebanyak 70% sehinggakan MCA pula menuduh DAP sebagai rasis kerana tidak membela kaum Cina.

Urus tadbir CAT (cekap, akauntabel, telus) yang dilaksanakan di Pulau Pinang sememangnya sistem yang jelas dan ikhlas berbanding GTP (Government Transformation Programme) yang dilaungkan oleh BN.

Wanita diangkat dan diberi kepercayaan dengan adanya sistem CAT ini tanpa perlu penyogokan mahu pun pembodekan. Tak perlu kipas, tak perlu kabel politik.

Pulau Pinang telah mencipta sejarah apabila buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, dua wanita telah menjadi YDP Majlis Pembandaran. Bukan kerana warna kulit atau jantina mereka tetapi kerana keupayaan dan kebolehaan mereka yang bukan sahaja standing, malah lebih baik dari lelaki.

Mangsa fitnah disokong rakyat

Dari sejak dulu lagi, biar pun DAP sering menjadi mangsa fitnah, perjuangan membela rakyat tanpa melihat warna kulit telah lama diperjuangkan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pernah ditahan tanpa bicara di bawah ISA dan disumbat dalam penjara kerana telah membela seorang perempuan bawah umur Melayu yang didakwa menjadi mangsa rogol seorang pemimpin politik.

Segala permasalahan, penindasan rakyat Malaysia marhaen terus diambil kisah oleh DAP tanpa undur meski pun jalan tersebut amatlah sukar dalam senario politik Malaysia. Permasalahan golongan penjaja, pekerja kilang, pekerja estet, terus mendapat perhatian dan pembelaan DAP bukannya membela kroni demi menutupi skandal dan penyelewengan.

Perjuangan DAP penuh ranjau, bagaikan merentasi onak duri dan lautan api akibat politik perkauman dan kotor yang sudah lama tertanam.

Namun atas kemurnian cita-cita untuk melihat wujudnya Malaysia baru yang rakyatnya bersatu-padu, bebas rasuah, aman dan makmur, tiada golongan terpinggir hasil kemakmuran negara, DAP akan terus berjuang untuk Malaysia, demi rakyat, demi negara. – Roketkini.com