Berita

Perginya seorang pejuang alam sekitar

PETALING JAYA, 23 DIS – Hari ini merupakan hari pilu lagi sedih buat pimpinan Pakatan yang memberi penghormatan terakhir kepada pejuang alam sekitar mendiang Edward Lee, Adun DAP Bukit Gasing, yang meninggal dunia akibat kanser kolon pada Selasa lalu.

Anak sulung mendiang Gerard Lee berkata, mendiang sangat aktif memperjuangkan hak-hak penduduk terutamanya mempertahankan Bukit Gasing dari dibangunkan, selain turut juga mesra dengan kanak-kanak.

Menurutnya, Edward sentiasa membantu penduduk sekitar mengenai masalah-masalah setempat, tidak kira masa sama ada siang atau pun lewat malam.

“Beliau telah berkorban meninggalkan kehidupan selesa beliau di luar negara untuk kepentingan tanah air Malaysia.

“Bapa saya turut memberi harapan penuh terhadap Malaysia dan pernah berkata kepada saya, ‘ini adalah tanah air kita, kita tidak perlu meninggalkannya’,” ketika menyampaikan euloginya di Kolej Bible Malaysia, Petaling Jaya pagi tadi

Turut hadir pada upacara penghormatan dan peringatan kepada mendiang Edward ialah Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok, Naib Pengerusi DAP Selangor Charles Santiago, Ahli Parlimen PKR Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian, Pengerusi PSM Dr Nasir Hashim, dan beberapa kenalan mendiang yang terdiri dari pelbagai latar agama, dan kaum.

Kira-kira 300 orang hadir pada upacara tersebut. Mendiang selamat disemadikan di Kawasan Perkuburan Kristian di Meru, Klang petang tadi. – Roketkini.com