Wawancara

Segelas milo suam bersama Hata Wahari

Setiap permulaan adalah lambang kepada langkah seterusnya dan untuk itu tidak hairanlah apabila sepanjang Januari 2012 sahaja, DAP menerima kemasukan ‘mengejut’ beberapa pemimpin Melayu. Pada 19 Januari lalu, Hata Wahari, 42, bekas wartawan kanan Utusan Malaysia dan bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) membuat kejutan dengan membuat pengumuman yang sama dengan tujuan untuk membantu memperkukuhkan DAP. Wartawan Roketkini Amaluddin Zhafir dan Izmil Amri serta jurugambar Wira Andika sempat menemubual Hata yang bercerita mengenai pengalaman dan pandangan beliau.

Boleh ceritakan sedikit latar belakang sadauara?

Sebaik menamatkan pengajian di Institut Teknologi Mara Shah Alam pada 1993 dalam Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam), saya bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Esso Production Malaysia Inc di Ketereh Terengganu. Setahun kemudian, pada 1994, menukar kerjaya kepada wartawan di Harian Watan untuk beberapa bulan sebelum secara rasminya menyertai Utusan Malaysia pada Mei 1995.

Sebagai seorang wartawan (di Utusan), saya tidak mendapat peluang yang banyak untuk buat liputan secara bebas. Selama 16 tahun berkecimpung dalam dunia kewartawanan saya banyak buat cerita-cerita politik, banyak buat liputan persidangan UMNO, menteri-menteri Barisan Nasional. Banyak menulis rencana-rencana politik, tetapi dalam 16 tahun itu saya kurang kepuasan kerana menulis untuk satu pihak sahaja, cuma tumpu pada BN, apa mereka buat dan itu-ini.

Dalam tempoh pegang jawatan sebagai Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia, saya banyak menegur Utusan dan akhbar-akhbar perdana yang berat sebelah, dan etika kewartawanan tidak betul yang tidak seharusnya dilaksanakan seperti membuat tuduhan-tuduhan, pelbagai fitnah terhadap parti politik, individu-individu tertentu, termasuk Pakatan Rakyat.

Sifat kewartanan seperti itu yang perlu dikutuk. Itu kita tak mahu. Maksudnya, kebebasan media bukan sahaja setakat pengeluaran permit, tetapi kita mahu rombakan sepenuhnya industri media ini. Maknanya kita mencadangkan mewujudkan majlis media malaysia yang dikawal secara terus oleh Parlimen dan majlis inilah yang akan membuat apa-apa keputusan dari segi industri media itu.

Bagaimana pula pancaroba sebagai wartawan Utusan ketika itu?

Dalam Utusan itu kita cuba mempengaruhi pengurusan editorial untuk keluarkan berita parti-parti lain. Saya pernah hasilkan banyak berita-berita yang berkaitan dengan DAP. Pernah buat liputan ceramah Karpal Singh, Lim Kit Siang… Saya berjaya memujuk mereka untuk keluarkan berita itulah. Masa itu kita gerak seccara senyap untuk mewujudkan kebebasan media dalam Utusan itu sendirilah.

Tetapi fitnah-fitnah dari wartawan lain pula timbul – dituduh penyokong DAP lah, PAS lah, PKR lah…Itu masalahnya. Jadi kumpulan saya tidak pernah layan keadaan sebegitu kerana kita melihat kepada kebebasan media.

Tahun 2010 itu fasa seterusnya bagi kita bergerak secara terang-terangan. Kita tak nak lagi dah sembunyi-sembunyi dan atas sebab itu saya kehadapan membicarakan kebebasan media, kebebasan bersuara. Malah, bukan setakat kebebasan media tetapi yang pentingnya kita perlu menjadi seorang wartawan yang bertanggungjawab.

Selepas itu, sebab pengurusan Utusan tak berapa gemar sangat, jadi saya dipecat dan selepas dipecat terdapat gerakan dalam NUJ yang mahu saya keluar pula dari NUJ. Atas sebab itu juga saya lepaskan jawatan. Tak guna juga exco NUJ tidak menyokong kita untuk membuat kebebasan media. Jadi lebih baik kita keluar dan bentuk satu idea atau gerakan yang lain.

Selama 16 tahun sebagai wartawan, apakah pelajaran dari Utusan Malaysia?

Politik pemisahan, itu yang saya belajar. Apa yang saya belajar pasal politik (dalam Utusan) ialah semua politik negatif sebenarnya. Inilah antara elemen-elemen yang kita tak suka sangat sebenarnya yang berlaku dalam Utusan ini.

Kalau liputan, mesti dari UMNO sahaja. Katakan lihat senarai tugasan, UMNO itu memang wajib buat liputanlah. Lagi satu yang saya belajar dari Utusan ini, kamu melihat parti lain sebagai musuh. itu yang saya tak minat.

Sebenarnya kita sebagai wartawan, perlu independent, perlu ada prinsip-prinsip hidup. Masalahnya dalam Utusan, sekali masuk itu, kita melihat parti-parti lain sebagai musuh. Ideologi sebagai wartawan, sepatutnya perkara-perkara ini kita seimbangkanlah.

Apa yang saya belajar di Utusan, akhbar hanya sebagai pemberi mainan yang sedikit sahaja. Yang pentingnya bagaimana kita nak ubah maklumat itu menjadi favourable kepada kita. Media cuma alat. Persoalannya bagaimana nak biarkan orang ramai menggarap untuk orang senang baca, berfikir. Kita perlu kewartawanan yang membina, memberi liputan gambaran yang sama kepada semua pihak.

Kebebasan media?

Kebebasan media adalah salah satu item yang saya nak perjuangkan. Maknanya bila Pakatan dapat mengambil alih kerajaan, mereka akan lebih kebebasan media yang lebih baik. Berdasarkan pelaksanaan kebebasan informasi itu, sudah nampak kesungguhan. cuma halangan yang akan dihadapi ialah, media-media perdana ini milik UMNO. itu yang perlu dibincangkan.

Saya rasa kalau dapat bebaskan media-media perdana dari pemilikan UMNO, saya rasa media itu akan jadi lebih bebas. Kalau tak wujudkan kebebasan maklumat, dan hapuskan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Rahsia Rasmi dimansuhkan, barulah kita nampak keinginan Pakatan untuk menerajui kebebasan media.

Apa yang dipelajari dari Pakatan Rakyat?

(Setelah dipecat Utusan) saya pernah berceramah di pentas PAS, dan Harakah banyak memberi liputan. Saya pernah bekerja membantu Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar segi publisiti selama tujuh bulan dan saya berhenti pada 1 Disember.

Jadi dalam ketiga-tiga parti ini, kalau kita lihat sidang media, ketiga-tiga Ahli Parlimen dari tiga parti mesti ada –  tidak asingkan isu. Maksudnya sesuatu isu itu kita berjuang bersama. Contohnya dalam isu NFC, ketiga-tiga parti bersuara. Makna kata, kita ada budaya untuk memastikan perkara itu digembar-gembur dan diutamakan kepada media dan orang ramai.

Umpama sebuah pembentung air – apa isu kita perjuang bersama. Itu budaya yang saya terima dan saya akan cuba kembangkan lagi.Itu budaya yang tidak ada dalam mana-mana parti dalam BN. Contoh isu Jalan Sultan, Pakatan bersama-sama bersuara. Tetapi dalam BN, cuma MCA sahaja. Mana UMNO, mana MIC dan parti komponen BN lain dalam isu ini?

Bagaimana minat politik dan kenapa pilih DAP?

Politik ini dah minat lama dah. Sebagai wartawan, bekerja dengan ahli politik, buat liputan jadi benda-benda politik ini memang sesuatu yang kita dah kenal rapat, bukan setakat minat, tetapi secara in depth menganalisis kedudukan parti, kedudukan calon itu.

Cuma masalahnya, bila saya buat keputusan untuk berpihak, adakah saya dikatakan menjadi seorang yang atas pagar, sokong dari segi mengundi, sokong dengan menjadi ahli? Jadi sebagai wartawan kita mengkaji, bukan duduk diam sahaja. Kerana itu mengkaji apakah buruk baik kalau saya sertai PAS macam mana, kalau PKR macam mana, kalau DAP macam mana.

Saya fikir DAP ini mudah sahaja, untuk jadikan negara yang bebas rasuah, yang ikut lunas undang-undang dan itu terutamanya. DAP paling banyak bercakap mengenai kebebasan, kebebasan informasi, kebebasan media, kebebasan bersuara, jadi saya fikir ianya sesuai.

Saya fikir prinsip saya lebih sesuai DAP. Prinsipnya ialah untuk independently survive, berjuang secara meritokrasi, tak perlukan orang sokong kita untuk hidup dalam politik. Jadi sekarang saya akhirnya buat keputusan untuk menyatakan pendirian sebenar saya untuk menyokong DAP secara terbuka.

Bagaimana dengan peluang Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13?

Buat masa ini (kalau diadakan pilihan raya sekarang), peluang adalah 50-50 (untuk Pakatan membentuk Kerajaan Pusat). Cuma kita kena tarik sokongan pengundi. Kalau kita dapat menarik mereka melihat kita secara positif, parti DAP sebagai parti yang tak dikaitkan dengan parti cauvinis ke apa ke, maka ianya akan cerah untuk kita.

Bagaimana pun buat masa ini juga saya rasa pandangan (stereotaip terhadap DAP) itu dah mula berubah. Kalau lihat di Pulau Pinang, saya banyak baca berita dari sana dan dapat banyak yang positif, malah rakan-rakan saya di sana pun, cakap mereka enjoy dan senang kerja di sana. – Roketkini.com