Budaya

Persamaan nilai dalam perayaan – Oleh Adil Mat Selamat

Tercipa satu lembaran sejarah di tanah suci kota Mekah,

Hari yang mulia penuh sa’adah, bermulalah sebuah kisah,

Malam isnin subuh yang indah 12 Rabiul Awal yang cerah,

20 April Tahun Gajah, lahirlah zuriat yang sa’adah…

– potongan lirik nasyid Maulidur Rasul

Minggu ini, kita baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran seorang Rasul yang ummi dan yatim piatu tetapi telah mencipta satu sejarah yang sangat luar biasa. Ajaran Nabi Muhammad SAW menerobos kesegenap ruang kosmos jiwa-jiwa manusia.

Makkah sebuah kawasan yang tandus, telah bertukar menjadi mata air kehidupan yang tidak akan kering-kering hingga akhir zaman. Risalah yang dibawa Rasulullah cukup besar dan berat, tetapi dapat dipikul dengan sikap yang lemah-lembut dan penuh kasih sayang.

Penghijrahan baginda dan para sahabat ke Madinah dalam keadaan sehelai sepinggang, haus kering dan kelaparan, namun selepas itu ternyata semuanya bertukar bagai telapak tangan yang terlangkup – Madinah telah menjadi pusat pemerintahan Islam yang pertama di dunia.

Akhirnya, Makkah ditawan kembali, peristiwa ini bukanlah ‘tawan’ yang bererti ‘menakluk’ tetapi ‘penyerahan’ kembali kepada seorang insan yang terkenal dengan sifat amanahnya.  Keistimewaan yang diberi Tuhan kepada Muhammad sangat menonjol sekali.

Maulidur Rasul

Muhammad menggalakkan perniagaan. Menurut riwayat, sewaktu di Madinah, sahabat baginda Abdul Rahman telah memulakan perniagaan tanpa apa-apa modal. Beliau meminjam dengan seorang penduduk Madinah beberapa ekor kambing. Sedikit demi sedikit, akhirnya beliau menjadi seorang peniaga yang sangat berjaya. Rasulullah yang terkenal dengan pengalamannya berniaga telah mengajar kepada Abdul Rahman tentang modal sebenar dalam berniaga – iaitu ikhlas.

Kapitalisme melampau yang menghambakan manusia sebagai modal dagangan tidak lengkap tanpa pakej manusia yang bermoral. Sosialisme melampau yang menghambakan manusia sebagai nombor yang untuk dipaksakan kesamarataan tidak lengkap tanpa pakej manusia yang bermoral.

Muhammad mengutamakan keadilan. Ini terbukti ketika di Madinah bagaimana baginda berjaya menyatukan dua puak besar sebagai saudara yang bertanggungjawab antara satu sama lain, iaitu kaum Ansar dan Muhajirin.

Muhammad menggalakkan perundingan dan diplomasi, ini banyak dibuktikan dalam dokumen perjanjian antara yang popular seperti piagam Madinah dan perjanjian Hudaibiyah. Kesemua asas dokumen ini adalah demi mencapai perdamaian dan kerjasama dalam bidang keselamatan atau hubungan sosial, ekonomi dan kebudayaan. Ini menjadi rujukan dan inspirasi penting dalam hubungan diplomasi politik moden.

Muhammad mengutamakan golongan minoriti dan lemah, buktinya di zaman bagindalah lahirnya baitulmal (rumah harta) yang mana hasilnya diperolehi dari sedekah, zakat dan harta rampasan perang. Ia diurus dan ditadbir untuk kemashalatan ummat khususnya pengagihan kepada rakyat yakni kaum termiskin. Pembangunan fizikal dan pendidikan juga bersumberkan dari baitulmal.

Muhammad mengamalkan sifat amanah, ini merupakan satu sifat yang sangat-sangat sukar untuk diamalkan apatah lagi bagi seseorang yang memiliki kuasa. Contoh terbaik ini bukan sekadar lahir dengan slogan, sebaliknya inilah sifat yang baginda amalkan sehingga beliau dikenali lebih awal dengan sifat terpuji iaitu – Muhammad Al Amin.

Lima aspek penting iaitu perniagaan (ekonomi), keadilan (sosial), diplomasi (politik) dan baitulmal (akuantabiliti dan ketelusan) dan amanah (moral) menjadi inspirasi penting bagi kita untuk membentuk satu zaman baru yang menjejak kembali langkah bijak seorang ummi yang begitu luarbiasa pencapaiannya.

Baginda merupakan suatu perkara yang sangat indah buat manusia, kelahiran beliau membawa sa’adah – kebahagiaan.

Thaipusam

Tanpa memperkatakan tentang akidah, iman dan amalan khusus agama, kita di Malaysia mempunyai banyak nilai persamaan yang baik dan positif untuk kehidupan duniawi.

Minggu ini juga, penganut agama Hindu menyambut perayaan Thaipusam. Ini merupakan manifestasi ritual penganut Hindu demi menebus dosa dan hari membayar nazar. Ritual yang bermula ribuan tahun ini, telah membentuk satu penganut yang menginsafi diri dengan menghitung amalan diri masing-masing.

Semua insan yang merayakan Thaipusam akan bersiap sedia di tapak pemandian, sesetengah daripadanya akan mula berpuasa 48 hari sebelum perayaan ini. Kumpulan ini akan bersama dengan persiapan kavadi (pembawa persembahan dewa) akan berarak ke kuil dengan membawa keinsafan jiwa untuk dipersembahakan kepada Dewa Murugan, di hari lahirnya dewa ini.

Perayaan ini jelas mengajar penganutnya agar berjuang melawan nafsu dengan berpuasa dan bersembahyang demi menebus segala dosa-dosa lama dan berikrar untuk memperbaiki diri. Inilah konsep yang harus difahami oleh masyarakat demi mengikat tali persefahaman antara agama dan bangsa.

Moga-moga kita beroleh kefahaman yang mampu merentas sempadan budaya yang juga salah satu intipati yang dibawa oleh Muhammad dalam sifat toleransi antara kaum.

Chap Goh Mei

Hari perayaan terakhir sempena perayaan Tahun Baru Cina juga disambut baru-baru ini. Ada beberapa interpretasi sambutan Chap Goh Mei ini tetapi ia amat popular di Malaysia sebagai ritual budaya bagi sesiapa yang bernazar untuk mencari (mendapat) pasangan hidup yang sesuai dengannya.

Dengan kata lain, dalam mencari pasangan hidup, peranan kepercayaan dan budaya tidak dapat dipisahkan dari amalan masyarakat timur khususnya bangsa Cina. Konsep perayaan ini dapat dibandingkan dengan perayaan Hari Kekasih (Valentine Day) dalam masyarakat hari ini.

Cinta sejati Laila Majnun memberi inspirasi terhadap satu kecintaan agung yang tak pernah bersatu dalam alam fizikal materailistik, sebaliknya nikmat cinta itu adalah kesetiaan dan pengorbanan yang ikhlas.

Konsep cinta sejati inilah yang diritualkan dalam perayaan Chap Goh Mei, mudah-mudahan kita beroleh kefahaman yang rasional dan menolak sifat-sifat kebinatangan manusia yang serakah dengan cinta kepada material.

Persamaan nilai

Apa jua perayaan yang kita raikan pada hari ini adalah kesinambungan dari budaya terdahulu yang ikhlas meraikan sesuatu. Tiada konsep plastik yang timbul di tengah-tengah kepercayaan masyarakat, sebaliknya ia adalah manifestasi kejujuran dan ketaatan kita kepada apa jua kepercayaan kita.

Kebersamaan inilah yang membentuk majmuk budaya. Atas dasar hormat dan kesamarataanlah maka wasilah yang dibawa dalam ajaran rasul dapat disebar, difahami dan diteladani dengan betul oleh kita semua.

Yang merah itu saga,

Yang kurik itu kendi,

Yang indah itu bahasa,

Yang molek itu budi.