Rencana

Debat Guan Eng lawan Soi Lek: Siapa menang? – Oleh Izmil Amri

Bagaikan menonton filem kungfu zaman 50-an tanpa sari kata, demikianlah keadaannya bagi seorang Melayu yang tidak bertutur bahasa Mandarin, sewaktu menyaksikan debat sulung di antara Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng melawan Presiden MCA Chua Soi Lek.

Dengan bantuan terjemahan langsung dari seorang teman yang duduk di kerusi sebelah, debat itu dapatlah saya fahami. Setiap kali ada pihak bertepuk tangan dan menjerit-jerit, pantaslah saya melihat skrin komputernya untuk memahami biji butir percakapan kedua-dua tokoh politik itu.

Satu tamparan hebat kepada UMNO dan cauvinis Melayu sebenarnya, kerana seorang bekas menteri yang punya rekod skandal seks lebih terkedepan dalam hal kematangan demokrasi dan keberanian berdebat, berbanding Presiden UMNO. Berdebat itu budaya Amerika, kata orang-orang UMNO. MCA, parti komponen Barisan Nasional, nampaknya tidak bersetuju.

Guan Eng dan para penyokongnya berpakaian serba kuning, seperti kebiasaannya pada hari Sabtu. Dia tidak kelihatan gugup mahu pun takbur. Guan Eng tenang. Barangkali baginya, inilah satu-satunya peluang yang dia ada untuk keluar di kaca telvisyen dan didengari oleh sekalian mereka yang faham cakap Mandarin. Kerajaan UMNO-BN masih dalam era Perang Dingin. Tidak ada peluang untuk parti pembangkang masuk TV kecuali untuk difitnah dan dicaci maki.

Soi Lek sudah biasa masuk televisyen; dia selesa bukan main. Ini padangnya, wilayah MCA. Pihak penganjur, ASLI dan INSAP adalah badan pemikir MCA. Tiga suku dewan dipenuhi penyokong MCA. Gema laungan nama Chua Soi Lek masih berdenting di telinga, barangkali akan menjadi mantra untuk seminggu berikutnya. Penyokong MCA, seperti juga mana-mana penyokong parti komponen Barisan Nasional, punya ghairah dan semangat yang hebat. Nampak macam ungka kepanasan, terjerit-jerit tak tentu hala.

Hujah-hujah debat

Debat antara Guan Eng dan Soi Lek, bukanlah sebuah debat yang baik, kalau kualiti perdebatan mereka itu mahu dinilai. Soi Lek membuka gelanggang dengan serangan-serangan terhadap DAP; sama sekali gagal mengutarakan hujah-hujah yang menepati kehendak perdebatan. Bahkan, serangan terhadap DAP itu sebenarnya adalah serangan terhadap PAS; yang ditepis dan dipertahankan dengan jayanya oleh Guan Eng.

Presiden MCA itu lebih bersemangat untuk meluahkan amarahnya terhadap nasib masyarakat Tionghua di bawah UMNO. Parti Melayu itulah yang menjadi pokok pangkal perbualan dua orang tokoh ini, gara-gara buah mula Soi Lek yang memperlihatkan betapa tidak bersedianya dia. Ya barangkali memang itu yang dia mahu, untuk meletakkan Guan Eng di depan kaca TV agar boleh dimalukan semahu-mahunya. Namun ternyata Soi Lek gagal, Guan Eng sikit pun tidak gentar.

Di penghujung bicara Soi Lek, apa yang tampak jelas ialah MCA sebuah parti etnosentrik Cina, adalah jauh lebih rasis berbanding UMNO. Presidennya yang pernah menimbulkan kontroversi dengan video aksi ranjang, begitu berani menyatakan bahawa dia berani melawan UMNO terutamanya dalam bab hudud. Demikian cuak si Soi Lek ini dengan agama Islam, menimbulkan rasa tidak senang para penonton debat yang memutuskan bahawa MCA lah sebenarnya yang lebih anti-Islam.

Setiausaha Agung DAP menerima pelawaan debat di padang lawan ini dengan berani. Beliau bermula dengan mempersoal tajuk perdebatan yang katanya sedikit janggal. Baginya, sistem yang ada sekarang inilah sistem dwi-ras, dan persimpangan politik pasca Pilihan Raya Umum ke-13 nanti yang akan membawa Malaysia ke arah sistem dua parti.

DAP Malaysia, MCA Cina?

Jadi tajuknya salah. “Muhyiddin mengakui dia pertamanya Melayu, kemudian baru Malaysia. Apa yang 1Malaysia? Inilah penipuan kepada rakyat Malaysia. Memang sekarang ini sistem dwi-ras”, begitulah lebih kurang terjemahnya kata-kata Guan Eng.

Guan Eng menekankan kepentingan untuk tidak memandang perbezaan kaum secara melampau. Katanya dia tidak melawan Melayu, Cina mahu pun India, tetapi apa yang dilawan ialah korupsi dan salah guna kuasa. Menurut Guan Eng, korupsi ini merentas kaum. Namun pelik kenapa begitu selektif sekali pendakwaan kes-kes rasuah dan pecah amanah, barangkali menyindir kes-kes terkait kerajaan seperti halnya skandal PKFZ dan pinjaman mudah yang diberi kepada keluarga menteri UMNO untuk menternak lembu.

Sehingga ke sesi soal jawab daripada mereka yang hadir, kedua-dua pemidato tidak begitu berkenan membicarakan soal dua parti. Soalan daripada lantai juga tidak membantu. Rata-rata penyokong MCA lebih senang menggunakan peluang itu untuk melahirkan kemarahan mereka kepada sang Ketua Menteri Pulau Pinang. Antara yang popular pastilah cik adik manis koordinator MCA dari Selayang. Menyeringai dia terpekik-pekik tentang kereta yang ditarik waktu tengah malam. Marah betul. Jessie Ooi, akhirnya popular sebagai ‘Miss Tow Truck’ di kalangan komuniti Cina, atau ‘Kak Tunda’.

Debat antara Soi Lek dengan Guan Eng ini tidaklah jatuh kepada taraf debat sia-sia. Tidak boleh juga dianggap gagal. Dalam keadaan yang amat jarang berlaku, Lim Guan Eng sekali lagi diberi peluang untuk beraksi di kaca televisyen. Pastinya ramai penyokong atas pagar yang dapat membuat penilaian terhadap hujah-hujah Guan Eng, serta menilai sikap yang dibawa oleh beliau berbanding lawannya.

Namun persoalan besar ialah, adakah ia akan mengubah persepsi masyarakat terhadap persoalan ras dan sentimen perkauman yang begitu hangat dikaitkan dengan DAP? Adakah persepsi itu akan dibetulkan apabila hujah-hujah Guan Eng memperlihatkan kesediaan parti DAP untuk dipergunakan sepenuhnya oleh rakyat, dan bukan dipergunakan parti-parti komponen Pakatan Rakyat seperti yang didakwa Soi Lek? Adakah pengundi akan memilih DAP dan membelakangkan MCA untuk ke sekian kali?

Tiga perkara penting tentang debat

Apa pentingnya debat Soi Lek lawan Guan Eng ini, terutamanya kepada orang Melayu yang tidak faham cakap Mandarin?

Pertamanya kita harus faham bahawa debat ini dianjurkan MCA, pastilah ia mementingkan isu dan kerunsingan orang Cina. Tidak hairanlah kenapa debat berlangsung dalam Bahasa Mandarin. Ia menjemput Guan Eng, barangkali kerana ia mengiktiraf bahawa Guan Eng adalah ikon politik yang setara untuk dibawa bersabung sepentas dengan presidennya. Sang Presiden MCA juga pastilah teringin mahu sepentas dengan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Keduanya kita juga harus faham bahawa idea yang disampaikan Guan Eng dalam bahasa yang tidak kita fahami itu ialah supaya kejumudan kaum Cina yang kow-tow kepada MCA ini dipecahkan. Beliau menggunakan peluang yang ada untuk berkempen dan memberi penerangan tentang perlunya perubahan dan kesedaran tentang semangat mengutamakan rakyat dan bangsa Malaysia.

Ketiganya kita harus melihat debat ini penting sebagai satu lagi paku pada keranda politik ras. Seorang Cina bernama Lim Guan Eng, masuk ke gelanggang debat, membawa ide perpaduan dan keserataan. Ini diserang hebat oleh MCA, yang mahukan kepentingannya dipelihara dan menganggap DAP ini parti yang khianat kepada kaumnya kerana bekerjasama dengan PAS dan PKR.

Jadi kenapa orang Melayu dan kaum-kaum lainnya perlu beri perhatian kepada natijah debat Guan Eng melawan Soi Lek?

Mudahnya, kerana ini adalah politik masa depan Malaysia. Budaya demokrasi matang dan politik baru mewajibkan debat politik dan percambahan idea diwacanakan secara terbuka bagi mengajak partisipasi umum dalam membuat keputusan-keputusan dasar.

Debat Guan Eng melawan Soi Lek harus menjadi cabaran besar kepada politisi agar lebih terkedepan dalam berpencak secara demokratik. Bukan sekadar menepis undangan-undangan debat dengan alasan ‘bukan budaya kita’. Itu sangatlah menyedihkan.

Siapa menang?

Jadi siapa yang menang dalam debat Sabtu lalu? Siapa pula yang kalah?

Meminjam kicauan seorang sahabat di garis masa Twitter; kaum Cina lah yang menang, kerana dia berani anjur debat tentang masa depan kaumnya. Melayu lah yang kalah, kerana bila diajak debat, tidak pula berani.

Dan jangan terkejut kalau ada manusia seperti Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan: “Masyarakat Malaysia belum cukup matang. Ini bukan Amerika, Malah di Amerika, debat hanya mendedahkan betapa bodohnya calon-calon (presiden), itu sahaja.”

Jadi kemenangan bagi debat pada Sabtu lalu adalah usaha membawa kepada lebih banyak debat lagi kerana rakyat Malaysia tidak mahu lagi diperkudakan oleh manusia seperti Mahathir. Segala yang bobrok sekarang kebanyakan hasil dari urus tadbir yang penuh penyelewengan, salah guna kuasa pemerintahan Mahathir suatu ketika dahulu yang belum dipulihkan dari hantu-hantu yang menakutkan rakyat.

Kemenangan sebenarnya berpihak kepada demokrasi. Kuasa rakyatlah yang menang. Rakyatlah yang menekan parti-parti politik agar berdebat dan persembahkan janji dan kebijakan mereka agar dapat dinilai secara adil saksama.

Barangkali debat ronda seterusnya akan menyajikan idea-idea yang lebih universal. Dengar kata, debat seterusnya akan dibuat dalam bahasa rasmi parti DAP – Bahasa Malaysia. – Roketkini.com