Budaya

Erah – Bahagian 6 – Oleh Mazir Ibrahim

Cerpen

Gambar hiasan

Tanpa menunggu terlalu lama, Erah kini sudah berbadan dua, ‘bunting pelamin’ menurut peribahasa Melayu. Dalam usia yang begitu mentah, kini Erah harus bersedia menjadi seorang ibu. Dan Jamian mesti bersiap untuk menjadi seorang bapa, bukan sahaja soal kebendaan tetapi juga soal kerohaniannya.

Ketika bulan pertama usia perkahwinan mereka, mudah saja Jamian mahu pulang awal untuk menatap wajah isteri. Kini tidak lagi, dia harus bekerja lebih masa untuk memastikan keperluan Erah dan kandungan mencukupi. Semua ini hanyalah untuk masa depan keluarganya.

Siang hari Jamian akan membawa lori getah, petang dia pulang sebentar ke rumah untuk mandi dan bersiap untuk keluar semula selepas Maghrib untuk menyambung kerja tambahannya. Dia akan pergi ke rumah-rumah nelayan mengambil upah menjahit jaring dan jala. Tidak semua lelaki sanggup mengorbankan waktu lapangnya dengan cara begini.

Malah jika bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu, Jamian akan turun juga ke laut menangkap ikan, disambung pada sebelah petang hingga santak ke malam dia mencari siput di celah-celah bakau. Gatal dan bisa sengatan unggas sudah menjadi permainannya.

Kerjanya hingga santak tengah malam. Kemudian, sekitar jam lima pagi, dia akan bangun tidur dan masuk ke ladang getah untuk menoreh pula. Kala itu, tak mungkin Jamian mampu membeli lampu suluh, cukup sekadar lampu cemeni kecil menemaninya meranduk malam yang dingin dan gelap.

Kerja tambahan

“Tauke Chu, saya dengar Seh Haw sudah tak menoreh lagi kan?” soal Jamian kepada bosnya Wang Chu pada suatu petang.

“Ya, kenapa?” balas Wang Chu.

“Saya ingat mahu ganti tempat dialah, saya mahu toreh juga,” jelas Jamian.

“Haiya, bawa lori tak cukup ka?” Soal Wang Chu pantas, reaksinya seolah terkejut.

“Bukan, saya mahu tambah sikit kerja, mahu dapat lebih sikit wang buat simpan,” perlahan suara Jamian menerangkan niatnya.

Sungguh pun Wang Chu menghalangnya dari melakukan kerja tambahan, Jamian enggan. Didesaknya Wang Chu untuk mengizinkan dia menoreh getah diladang, tidak sampai hati dengan keadaan itu akhirnya Wang Chu mengalah. Sejak itu Jamian semakin sibuk dengan mencari rezeki.

Erah pula kadangkala hati tak senang, bimbang dengan kesihatan Jamian. Apatah lagi kesan kemalangan dahulu masih belum betul-betul sembuh. Dia sendiri pernah diingatkan oleh ibunya Wan Milah supaya menjaga kesihatan suaminya itu. Bimbang kecederaan akibat kemalangan dahulu akan berulang.

Tetapi kedegilan Jamian tak dapat ditegah, puas juga dibebelnya, namun Jamian sentiasa beri alasan. Erah sendiri sedar, jika tidak berusaha lebih, tak mungkin nasib keluarga ini akan berubah. Mereka perlu berusaha dari sekarang. Namun, dia serba salah, nak melarang bimbang Jamian meradang, nak dilepaskan takut terjejas kesihatan pula.

Lima bulan mengandung

Genap lima bulan usia kandungan Erah, Jamian mengalami demam. Dua hari dia tidak dapat bangun dan bekerja. Kerisauannya menjelma, namun keadaan itu tidak dimaklumkan kepada Wan Milah. Dia tidak mahu ia turut merisaukan ibunya, lagi pun mungkin Jamian sekadar demam biasa.

Kegeringan ini berlarutan lama hingga penyakit itu memakan tubuh Jamian, kehadiran anak sulung mereka berdua tidak disambut dengan ghairah oleh Erah dan Jamian. Dalam memenuhi keperluan bayi, Erah juga turut bersengkang mata melayan kepayahan penyakit suaminya.

Lama-kelamaan, keluarga ini lelah dengan ujian Tuhan. Kicauan burung merbuk tidak semerdu dahulu, burung camar tidak lagi menghiasai pantai bakau, tempat Jamian dan Erah duduk merenung masa depannya. Kini hanya bunyi desiran daun bakau dan ombak yang masih setia menyinggahi pantai, tempat di mana hati Erah dan Jamian bertaut.

Bunga kemboja, air mawar

Jamsari yang baru berumur sembilan tahun sedang menyiram air mawar ke atas pusara ayahnya, Jamian. Anak ini masih tidak mengerti sangat. Dimain-mainnya air mawar itu dengan menyiram hingga membasahi kaki ibunya, Erah.

“Mak, ayah tengah buat apa agaknya?” Jamsari yang masih budak tersengih-sengih bertanyakan ayahnya.

“Buat apa? Jam, jangan main air tu, siram elok-elok”. Lembut suara Erah melayan Jamsari.

Petang Jumaat itu, dua beranak ini singgah ke pusara Jamian, malam sebelumnya Erah mengadakan sedikit tahlil arwah suaminya yang sudah genap dua tahun meninggal dunia. Hati kedua anak ini cukup tabah.

“Mak… ayah buat apa?” Jamsari bertanya lagi sambil menggaru-garu pipinya.

“Ayah tidur, Jam,” perlahan Erah memujuk anak tunggalnya itu. Di kesat air matanya agar anak kecil ini tidak bersedih.

“Mari Jam, kita pergi rumah nenek,” Erah menutup emosi terus.

Dalam perjalanan pulang ini, fikiran Erah melayang jauh. Dipimpinnya Jamsari sambil berjalan perlahan-lahan di bahu lorong. Jamsari sempat lagi menarik-narik ranting-ranting kayu yang menyimpai di bahu jalan.

Masih segar dalam ingatan Erah dua tahun yang lalu. Badan Jamian yang semakin lemah, digagahkannya juga melayan Jamsari bermain di tepi parit. Diajarnya Jamsari menghulur joran, terkinja-kinja Jamsari melompat kesukaan apabila mata kailnya disambar ikan.

Dengan terbatuk-batuk, nafasnya tercungap-cungap. Jamian melayan karenah anak sulungnya itu.

Dan malam yang hening itu, hanya dia dan Jamsari sahaja mengadap tubuh Jamian yang berbaring dan semakin lemah. Lama mereka bertiga duduk sambil berbual-bual melayan perasaan masing-masing. Sempat lagi Jamsari bermain dan berbaring di atas perut Jamian,  hinggalah Jamsari tertidur di celah ketiak Jamian.

Direnungnya wajah Erah dan Jamsari dalam-dalam. Dia tidak tahu bagaimana mahu mengucapkan bahawa dia masih belum puas hidup bersama Erah dan Jamsari.

Ketika anaknya terlelap inilah, Jamian semakin nazak. Dibisiknya rasa cinta dan rindu pada Erah. Tanpa melepaskan genggaman tangan itu, Jamian menghembuskan nafasnya dengan tenang. Jamsari masih di celah ketiaknya.

Wan Milah begitu terkilan kerana hanya beberapa minit sahaja dia terlewat untuk mengucapkan salam buat menantu yang dikasihinya itu. Jamian kembali ke rahmatullah tanggal 15 April 1971, dia pergi untuk tidak kembali lagi.

Erah sebagai ibu dan ayah

Sungguh pun Jamsari masih kanak-kanak pada usianya sepuluh tahun, ingatannya pada ayahnya Jamian masih kuat, dengan ingatan itulah Erah mengajar Jamsari untuk belajar berdikari. Dalam usia sebegini dia masih ingat bagaimana arwah ayahnya mengajar dia memancing, dengan kemahiran memancing inilah dia sudah pandai berangan-angan mahu menolong ibunya.

Setiap petang dia akan memancing bersama Saadon, Anton dan Asri.

“Jam, nak ke mana tu nak?” soal Erah.

“Jam nak memancing, nanti dapat ikan mak masak”.

Tersenyum Erah mendengar jawapan anak tunggalnya itu.

“Tak payahlah susah-susah, ada lauk ni, nanti mak masak la,” pendek Erah membalasnya.

“Mak duduk saja, Jam boleh tolong dapatkan ikan besar. Ayah cakap, anak lelaki kena tolong mak,” tersengih-sengih Jamsari menjawab ibunya.

Kadangkala Erah malas melayan jawapan anaknya itu. Cakap seperti orang sudah dewasa sangat. Dia tersenyum sendirian mengenang nasihat arwah suaminya pada Jamsari dahulu.

“Kalau Jam dah pandai memancing nanti, senanglah ayah dangan mak, boleh duduk rumah tunggu Jam balik bawa ikan,” seloroh arwah Jamsari pada anaknya. Masa itu Jamsari masih pelat sebutannya.

“Abang janganlah ajar anak jadi nelayan, buruk sangat tu,” Erah mengeluh dengan Jamian.

“Taklah, abang gurau saja. Erah kena ajar Jam baik-baik, macam Erah ajar Wang San dulu,” Usik Jamian pada Erah. Dia tahu kisah Erah mengajar Wang San ketika temannya itu buta huruf dan tidak tahu membaca. Sungguh pun Erah tidak berpelajaran tinggi, dia tahu yang isterinya itu ada bakat mengajar orang.

Sebagai ibu dan juga ayah kepada Jamsari, Erah tetap tenang membesarkan anaknya dalam kampong yang penuh dengan kenangan itu. Dia yakin Jamsari pasti akan berjaya dalam hidupnya.

Berita tentang Wang San

Dalam bermenung ini tiba-tiba namanya ditegur.

“Rah, apa kau bermenung tu?”

Rupa-rupanya Wan Milah muncul di tepi tingkap dapur rumahnya.

“Eh mak, tiba-tiba aje muncul, masuklah,” jawab Erah lembut tetapi agak terkejut disapa secara tiba-tiba.

“Aku dari kebun bapak engkau ni..” perlahan kata-kata ibunya. “Nah, ambil pisang ni.. mana Jam? ” katanya meletakkan tandan pisang.

“Keluar dengan Saadon, pergi memancing katanya,” pendek jawapan Erah sambil tangannya menjinjing pisang tanduk pemberian ibunya.

Wan Milah terus sahaja duduk di tepi pintu sambil mengipas-ngipas lehernya kerana kepanasan. Walau pun umurnya sudah larut, dia masih kuat ke kebun mengambil pisang. Itulah harta peninggalan arwah suaminya Ahmad Jalil yang masih subur.

“Aku dengar Wang San dah balik sini seminggu lalu,” tiba-tiba Wan Milah bersuara, ungkapannya itu bagai ditujukan kepada Erah yang masih didapur menyediakan minuman untuk ibunya itu.

Erah seperti terkejut mendengarnya, tetapi dia dapat mengawal perasaan itu agar tidak disedari oleh Wan Milah. Sambil menuju ke tepi pintu, dia menyuakan minuman pada ibunya.

“Apa mak cakap tadi?” soal Erah buat-buat tidak dengar.

“Wang San, dah balik,” pendek jawapan ibunya.

“Oh, baguslah, boleh tolong Wang Chu,” pendek juga balasan Erah.

Masing-masing diam membisu, tidak tahu bagaimana mahu menyambung perbualan. Tekak Wan Milah terasa segar setelah meneguk air sejuk yang Erah berikan. Suasana hening, hanya suara angin petang kedengaran nipis.

“Wang San dah balik…” bisik hati Erah. – Roketkini.com