Berita

Ramasamy tidak langgar disiplin parti, DAP kembali berpadu

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Tidak ada bukti bahawa Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang Dr P. Ramasamy telah melanggar arahan parti untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan umum berhubung perbalahannya dengan Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Tan Kok Wai berkata, pihaknya yang berpuas hati dengan bahan bukti serta hujah yang dikemukakan memutuskan bahawa Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang tidak bersalah.

“Dengan itu jawatankuasa puas hati bahawa tidak ada sesiapa yang melanggar arahan parti,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini semalam.

Beliau menjelaskan bahawa Ramasamy juga bukan orang yang terlibat dalam mengadakan tunjuk perasaan pada konvensyen parti di Pulau Pinang 11 Disember lalu.

Jawatankuasa disiplin itu telah menjalankan siasatan setelah menerima aduan daripada Adun DAP Seri Delima R.S.N Rayer dan Adun DAP Bagan Dalam A. Tanasekharan serta 31 ahli parti.

Tan turut menjelaskan bahawa tiada tindakan akan diambil terhadap mereka yang membuat aduan kerana mereka mempunyai asas pada masa itu untuk berbuat demikian.

Perbalahan di antara Ramasamy dan Karpal berpunca daripada salah laporan akhbar berbahasa Tamil Makkal Oosai yang mendakwa Ramasamy menawarkan diri untuk kekal bertanding bagi kerusi Parlimen dan DUN.

Kenyataan yang salah itu disangkal oleh Karpal yang mencadangkan hanya satu kerusi boleh ditandingi oleh mana-mana ahli. Bagaimanapun parti tidak membuat sebarang keputusan tentang perkara itu.

Perang mulut antara kedua-dua pemimpin di Pulau Pinang itu berlarutan sehingga berlaku tuduh-menuduh tentang siapa “godfather” dan siapa “warlord” dalam parti.

Keputusan jawatankuasa disiplin DAP semalam telah meredakan perbalahan yang sudah pun berkurangan sejak lebih sebulan yang lalu.

DAP, termasuk kepimpinan di Pulau Pinang, kini semakin berpadu dan jitu dalam usaha mengekalkan pentadbiran cekap, akauntabel dan telus di pulau mutiara itu. – Roketkini.com