Wawancara

Wanita penentu utama keputusan PRU13

Wawancara ringkas penyelaras Roketkini Mazir Ibrahim bersama Ketua Wanita DAP Chong Eng merangkap Timbalan Setiausaha Agung DAP

Apa perancangan Wanita DAP dan Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti?

Kami sedang berusaha untuk menghasilkan satu manifesto khas untuk kaum wanita. Kita nak fokus kepada isu-isu penting bagi wanita. Contohnya isu keselamatan wanita dan kanak-kanak. Kita mahu satu suasana yang mesra dan selamat buat kaum wanita keluar bekerja. Kita mahu ada sokongan atau jaminan terutamanya dari pihak kerajaan dan pihak berkuasa dalam aspek keselamatan buat mereka dan anak-anak.

Senarionya mudah, iaitu kebanyakan keluarga pada hari ini memerlukan kaum wanita (isteri) untuk turut sama bekerja bagi meringankan beban keluarga. Dengan adanya ruang yang kondusif (ketika bekerja) maka ini akan menjadi elemen penting untuk membantu kaum wanita khususnya kaum ibu untuk bekerja dengan selesa dan tenang. Ini akan membantu meningkat kualiti keluarga selain meningkatkan pendapatan. Ini penting sekali.

Malah kita ingin mencadangkan iaitu mungkin kita boleh membuat satu inisiatif baru dengan mewujudkan  perniagaan yang berkaitan dengan katering khusus untuk keluarga yang mana suami dan isteri bekerja. Ia dapat membantu kaum ibu yang bekerja untuk menyediakan perkhidmatan makanan, khidmat penghantaran dengan harga yang berpatutan.

Ini juga boleh membuka satu industri baru dalam sektor swasta dan mampu merancakan lagi aktiviti ekonomi khususnya untuk sektor peniaga catering secara kecil-kecilan. Dalam hal ini, kerajaan boleh memberi subdsidi atau insentif  kepada peniaga-peniaga ini supaya kualiti perkhidmatan dapat dicapai dengan baik. Ini adalah pelaburan yang baik dan ia boleh dilakukan.

Ini juga boleh menjadi mekanisma dalam mengurangkan pergantungan kepada pembantu rumah yang mana kosnya semakin mahal dan jaminan dari segi keselamatan terus diragui. Jika ini dapat dilakukan, kita hanya perlu pembantu rumah secara sambilan, tidak perlu duduk bersama keluarga yang mana ia akan membabitkan banyak isu lain.

Bagamana dengan kaum wanita/ibu di luar bandar?

Kita juga ingin kaum ibu yang menjadi suri rumah diberi jaminan, kerja di rumah itu juga adalah membantu keluarganya, ia juga menyumbang kepada kualiti hidup keluarganya. Secara ekonominya mereka dikira produktif. Tetapi mereka tiada gaji, KWSP dan Perkeso. Jadi kami ingin semua pihak melihat dan membantu menyelesaikan isu ini.

Contohnya mungkin kita boleh ambil langkah dengan mencari alternatif buat suri rumah untuk bekerja secara sambilan, mungkin dalam 2-3 jam sehari. Kerja itu perlu juga diberi subsidi oleh kerajaan. Malah kita mungkin boleh mewujudkan skim insuran agar jaminan masa depan mereka lebih terjamin.

Bagaimana  dengan golongan wanita muda?

Saya sarankan agar mereka melihat YB Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai) sebagai contoh wanita muda yang dinamik, boleh mewakili suara anak muda dan gigih memperjuang nasib rakyat.

Wanita muda harus tahu bahawa suara mereka amat penting. Mereka ada kuasa untuk menentukan masa depan negara, nasib kaum wanita dan malah ibu-ibu mereka. Dengan pengetahuan dan bakat yang mereka ada, saya  percaya wanita muda di Malaysia boleh melakukan perubahan seiring dengan kaum lelaki.

DAP sentiasa mengalu-alukan sokongan dan bantuan golongan wanita khususnya yang muda dan professional, pelbagai bangsa dalam mengetengahkan bukan sahaja keperluan dan hak wanita tetapi keperluan generasi akan datang. Perbezaan budaya dan agama bukanlah halangan lagi, kerana kita tahu bahawa korupsi itu akan memberi kesan kepada kita semua, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan semua sekali .

Wanita muda tidak harus malu untuk tampil kehadapan bersama-sama kami untuk menuntut perubahan. – Roketkini.com