Berita

NFCorp ada beberapa syarikat di Singapura?

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Syarikat keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil yang sepatutnya menternak lembu bagi keperluan daging untuk rakyat Malaysia dikatakan memiliki syarikat di Singapura yang menjalankan urusan :bahan makanan dan bahan bakar”.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua mendakwa Global Biofuture Pte. Ltd. adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh pengarah-pengarah National Feedlot Corporation (NFCorp) di Singapura pada Disember 2008.

“Berdasarkan akaun terkini yang telah diaudit pihak berkuasa Singapura bertarikh 31 Disember 2010, dinyatakan pengarah-pengarah syarikat masih terhutang S$4,975,415 (RM11.98 juta) kepada syarikat tersebut,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Menurutnya, ada sebab-sebab yang kuat unuk mempercayai bahawa Global Biofuture adalah sebahagian daripada kumpulan syarikat keluarga Shahrizat, termasuk National Meat and Livestock Sdn Bhd, Real Food Company Sdn Bhd, Meatworks (Singapore) Pte Ltd; yang semuanya didakwa bergantung sumber pada biaya RM250 juta yang dipinjamkan oleh Kerajaan Malaysia.

Beliau menambah, pemindahan dana kepada pengarah-pengarah syarikat berkenaan adalah kesalahan pecah amanah yang nyata dan merupakan penyelewengan wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk tujuan khusus.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mendesak supaya pihak polis polis dan SPRM menyiasat lanjut keseluruhan lembaga pengarah syarikat dan meminta Peguam Negara mendakwa mereka di mahkamah.

Isnin lalu Pengarah NFCorp, Datuk Seri Mohamad Salleh yang juga suami kepada bakal mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan dan dua lagi pertuduhan salahguna wang syarikat di bawah Akta Syarikat. – Roketkini.com