Berita

Nurul Nadirah: DAP ucap takziah, mahu pembunuh didakwa

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga adik Nurul Nadirah Abdullah yang menjadi mangsa pembunuhan kejam, Wanita DAP berharap pihak polis menyiasat sedalam-dalamnya kes itu untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.

Ketua Wanita DAP Chong Eng berkata, kes pembunuhan kanak-kanak berusia 5 tahun itu bukan kes pertama dan bukan kes terakhir kecuali pihak berkuasa bersungguh-sungguh mengatasinya, terutama mencegah tragedi yang menyayat hati seperti itu.

“Sudah berulang kali kes budak kecil diculik, ini begitu menakutkan kita semua. Saya sarankan kita perlu fokus kepada kualiti dan tahap keselamatan.

“Saya menyeru kepada semua ibu bapa, tidak kira berapa umur anak-anak kita, keselamatan baik di rumah mahupun di sekolah mestilah diberi keutamaan, apatah lagi kalau kita hidup di bandar besar,” katanya kepada Roketkini.

Mayat allahyarham Nurul Nadirah ditemui di Ladang Kelapa Sawit Nusa Damai, Masai, Johor pada 8 Mac lalu, setelah kanak-kanak itu dilaporkan hilang sejak 1 Mac lalu.

Chong Eng yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, walau pun polis belum dapat menyelesaikan semua kes, pihaknya tetap mempunyai keyakinan pihak berkuasa negara dapat menangani kes in dengan cekap dan berkesan.

Katanya, kerajaan juga harus terus mengadakan kempen kesedaran termasuk di taman asuhan kanak-kanak dan sekolah.

“Kita mahu semua pihak ambil perhatian serius, jangan hanya serahkan kepada satu-satu pihak sahaja. Anak-anak kita, tidak kira anak siapa pun, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga keselamatan mereka,” tambah beliau – Roketkini.com