Budaya

Kelmarin – Bahagian I – Oleh Hafiz Zainuddin

Merpati-merpati di Jalan Bijih Timah bukan baru di situ. Cukup sahaja rezekinya. Tepi simpang, di hadapan deretan warung makan, kenderaan yang lalu lalang tak pula membuatkan ia lari.

Tempat ini menyaksikan seribu satu peristiwa. Sebuah pergelutan dan kebangkitan masyarakat untuk hidup. Sama seperti mana-mana pun.

Sememangnya menggamit memori silam. Pekan lama Ipoh. Segalanya hampir sederhana di sini, kedai-kedai borong, warung-warung makan, Kinta Height yang masih berdiri megah dan Sungai Kinta yang sepi.

Terletak di pinggir bandar, tidak pernah tersangka ia akan jadi besar. Ramai dan padat. Dulu, kalau tidak kerana orang Bota yang bernama Uda Kidal. Tempat ini tidak wujud. Entah dengan tiba-tiba saja, sejak tahun 80-an, walau jalannya masih bertanah merah, kawasan yang pada awalnya setinggan ini menyaksikan penghijrahan ramai saudara-saudara kita dari utara dan timur. Menetaplah mereka di kampung ini, Kampung Manjoi.

Uteh Samat pejuang Melayu

Uteh Samat memang begitu, katanya sudah tidak ada istimewanya Melayu…“tengoklah di pekan, ramai Cina dan Kelin meniaga”.

Sebab itu Uteh Samat terus bersama dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar). Untuk memperjuangkan agenda Melayu, mempertahan segala hak istimewa Melayu demi anak bangsa dan tanah air.

Apatah lagi, sejak zaman Tun Mahathir, beliau selalu dibawa melawat ke Putrajaya dan  ke luar negara menghadiri forum-forum Melayu Nusantara yang dihadiri oleh orang-orang Melayu dari Indonesia, Filipina, Singapura dan Brunei.

Semangat Melayunya kuat. Uteh Samat sangat yakin, anak-anaknya – seorang sedang belajar di UiTM, seorang menjadi Pembantu Peribadi YB Haron dan seorang lagi yang baru bekerja di Kementerian Kesihatan sebagai PTD – adalah hasil Dasar Ekonomi Baru.

“Kalau kerajaan tak tolong kita, kita akan hidup merempat…”

Itulah pun yang selalu dicanangkan bila ada kenduri-kendara dan bila masuk mesyuarat JKKK. Maklumlah, sudah 6 tahun Uteh Samat memegang jawatan Ketua Kampung.

Pantang sokong pembangkang

Berang sangat Uteh Samat kalau sanak-saudaranya ada yang menyokong pembangkang. Pernah Teh Jariah sepupunya sendiri dihamun sehingga bergenang air mata ibu yang beranak empat tersebut.

“Mentang-mentang laki aku dah mati kau buat aku macam ni … kau melampau Uteh …” kata Teh Jariah teresak-esak.

Walhal bukannya apa, disebabkan Azizi memacak bendera pembangkang di laman rumah,  Teh Jariah jadi mangsa. Pernah dahulu Azizi bertegang urat dengan Uteh berkitan tanah pusaka arwah ayahnya. Mungkin sebab itu Uteh berdendam.

“Lantaklah dia nak pasang. Apa masalah dengan kau. Ini rumah aku bukan rumah kau … !” bentak Teh Jariah membela anak bongsunya Azizi.

“Ha…! Sebab kamu semua sokong pembangkanglah laki kamu mati orang kampung tak ramai datang! Keturunan aku tak ada baka yang sokong pembangkang. Kamu memang tak kenang budi Teh…”

Teh Jariah diam. Tidak mahu lagi melayan sepupunya. Dia berpaling ke laman rumah dari Uteh Samat yang berada di tangga. Dari laman rumah sebesar setengah ekar tu, Teh Jariah terkenangkan arwah suaminya, Kulop Saidin.roketkini.com