Budaya

Artis, survival, parti dan politikus – Oleh : Mazir Ibrahim

Akhir-akhir ini kedengaran semakin nyata suara kegelisahan seniman atau artis tempatan, popular atau tidak, dalam menempuh badai gelora kerjaya dalam industri seni kita.

Namun, kegelisahan ini rata-ratanya bersifat sementara. Apabila rungutannya itu kelak didengar atau disambut oleh daulah (kerajaan menerusi pelbagai agensi seperti Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan), maka senyaplah segala rungutan-rungutan ini.

Jika esok lusa berlaku lagi, maka merungutlah lagi. Begitulah roda mereka berpusing atas keinginannya.

Isu yang sering menjadi agenda perbincangan berkisar tentang survival artis dalam industri mereka sendiri. Hakikatnya, industri seni kita, baik filem, muzik, penerbitan drama, penerbitan karya sastera dan sebagainya memang tidak dapat tidak, banyak bergantung kepada dasar kerajaan menerusi kementerian-kementerian yang berkaitan.

Namun, semua itu bukanlah perkara utama yang menghalang kreativiti insan seni untuk melakukan sesuatu baik untuk dirinya mahupun masyarakat. Telah dibuktikan pada dekad ini, sesiapa yang berbakat, kreatif dan berilmu tetap akan mampu memasuki pasaran dan menikmati sedikit nikmat keuntungan.

Artis-artis seperti Yuna, Hujan, Bunkface, Meet Uncle Husain, Najwa Latif, dan beberapa nama lagi, telah berjaya menembusi hagemoni media massa daulah menerusi penggunaan media alternatif dengan dukungan bakat, peminat, keinginan dan pengetahuan yang mereka ada, walau sedikit.

Dalam memahami permasalahan ini, ada sesuatu yang harus disedari. Selagi kita bersetuju untuk bergantung sepenuhnya dengan kuasa media massa daulah, selama itulah kita hanya akan bermain dalam kotak yang telah ditetapkan jalan masuk dan jalan keluarnya.

Kita tidak menafikan kekuatan dan kesan yang dibawa oleh media massa daulah yang begitu berpengaruh dalam merencana kerjaya dan hasil karya seniman tempatan, tetapi kekuatan seni itu sendiri sebenarnya ada pada diri seniman kita sendiri, bukan di media massa daulah.

Hanya soal kemahuan dan kecekalan seniman itu sendiri sahaja yang mampu dijadikan aset untuk melanggar hukum pasaran yang telah direkabentuk oleh daulah.

Dimensi dalam mana-mana daulah di dunia ini sama sahaja dari segi realitinya iaitu, apa saja yang dianggap oleh mereka (kerajaan) sebagai mengancam, menggugat pengaruh mereka atau seniman/karya yang tidak memberi apa-apa faedah politik dan kuasa kepada mereka, maka itu (artis/karya) bukanlah pakej yang baik untuk diberi ruang oleh daulah. Inilah realiti kita di Malaysia.

Maka, daripada terus menyalahkan dasar dan hagemoni media massa daulah, adalah lebih baik kita fokus pada kebolehan, bakat, pengetahuan dan kemahiran yang ada untuk ditonjolkan menerusi jalan alternatif yang disediakan oleh internet.

Mungkin salah satu contoh terbaik pada masa ini ialah kewujudan radio internet, baru-baru ini seorang tokoh yang menggelar dirinya sebagai Non-Governmental Individual (NGI) iaitu saudara Hishamudin Rais a.k.a Tukartiub, telah melancarkan portal radio internet yang dikenali sebagai Radio Bangsar Utama (RABU).

Barangkali inilah salah satu pendekatan paling releven dan praktis, yang mampu diambil oleh individu atau kumpulan seniman dalam memastikan minat dan bakat mereka dapat terus disampaikan kepada penghayat yakni peminat atau pendengar.

Seniman memang sering bermain dengan emosi. Namun hal-hal yang melibatkan masa depan dan survival mereka tidak seharusnya ditangani dengan emosi, sebaliknya dengan kreativiti dan usaha yang mungkin membawa mereka lebih jauh dari apa yang mereka sangkakan selama ini.

Mana-mana parti politik yang baik sekalipun hanya mampu menyediakan ruang atau insentif buat karyawan yang terus menyumbang idea demi menghibur jiwa-jiwa yang terluka.

Seniman tidak perlu mengharap lebih dari itu, dan berhatilah-hatilah wahai seniman dengan sesuatu yang anda hajatkan daripada orang yang bernama politikus.roketkini.com