Berita

Hari Kebebasan Media: Pakai hitam esok untuk bantah keganasan polis

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Semua rakyat Malaysia yang prihatin dirayu memakai pakaian hitam dan pin reben kuning esok (3 Mei) sebagai memperingati Hari Kebebasan Media Sedunia yang telah tercemar di Malaysia akibat tindakan ganas polis memukul dan memangsakan wartawan dan jurugambar semasa perhimpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, rakyat harus berdiri dalam solidariti bersama petugas media dan wartawan yang telah menjadi mangsa keganasan polis tersebut.

Katanya, memang sah bahawa pihak polis telah memukul para petugas media apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri telah membisikkan mohon maaf kepada wartawan The Sun, Radzi Razak, yang telah dimasukkan ke dalam wad hospital selepas dipukul polis.

“Kami mengutuk keras tindakan-tindakan ganas Sabtu lepas di perhimpunan Bersih 3.0 di mana ramai pemprotes termasuk petugas media dan wartawan telah dipukul dan dicederakan oleh pegawai-pegawai polis.

“Banyak laporan yang menceritakan keganasan polis, termasuk wartawan The Sun Radzi Razak yang telah dipukul oleh sehingga 15 pegawai polis, sementara seorang jurugambar Malay Mail telah ditumbuk oleh polis dan kameranya dipecahkan.

“Seorang wartawan Malaysiakini pula telah ditahan dan peralatan kameranya telah dirampas. Malah wartawan antarabangsa daripada Al-Jazeera pun tidak terkecuali, apabila mereka telah dikasari semasa mengambil gambar polis sedang memukul pemprotes,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mempersoalkan sikap kerajaan Barisan Nasional yang membenarkan pihak berkuasa melanggar peraturan keramat kebebasan akhbar secara terbuka, umum dan terang-terangan.

Menurutnya, di Malaysia dahulu, kebebasan akhbar telah disekat secara senyap dan bukan secara umum melalui penapisan sendiri oleh para pengarang.

“Yang lebih teruknya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein tergamak menyatakan bahawa tindakan untuk merampas peralatan kamera itu adalah “Standard Operating Procedure” (SOP) polis.

“Namun demikian, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar sendiri telah menyatakan bahawa perampasan peralatan kamera itu bukanlah SOP polis, lantas bercanggah dengan Hishammuddin,” tambah beliau.

Sekiranya Ketua Polis Negara betul, maka Hishammuddin harus meminta maaf kepada setiap wartawan yang telah dipukul, ujarnya.

Guan Eng juga menuntut agar Hishammuddin Beliau mengadakan siasatan untuk membawa pegawai-pegawai polis yang bersalah ke muka pengadilan.

Jika ini tidak dibuat dengan terbuka dan tanpa mengaburi kebenaran, maka beliau akan lagi merosakkan reputasi polis yang sudah terhakis, tambah beliau.

Menurutnya, rakyat Malaysia mempunyai keraguan sama ada siasatan yang penuh akan berhasil dan tindakan akan diambil ke atas pesalah.

“Kita teringat kepada tindakan pihak polis yang tidak membuat apa-apa dalam insiden Jambatan Pulau Pinang pada bulan Julai tahun lepas apabila pembantah pro-UMNO telah menggangu aliran trafik dan memukul 2 orang wartawan. Sehingga kini tidak ada sebarang penangkapan,” katanya.

Menurut Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, insiden yang kedua pula adalah semasa perhimpunan anti-Lynas di Sudut Pidato di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 26 Februari, apabila ahli-ahli UMNO dan Perkasa telah bertindak ganas dan mencederakan 2 orang wartawan.

Katanya, seorang wartawan terpaksa menerima 8 jahitan kerana kecederaannya manakala pegawai-pegawai polis di sana hanya berdiri dan tidak menghentikan atau menangkap mereka yang terlibat dalam keganasan ahli-ahli UMNO dan Perkasa yang menyerang para pemprotes anti-Lynas yang aman.

Sehingga sekarang, tidak ada seorang pun yang telah ditahan atau didakwa oleh polis Pulau Pinang.

“Jika samseng UMNO dan Perkasa boleh bertindak ganas terhadap wartawan di Pulau Pinang tanpa sebarang tindakan diambil walaupun terdapat banyak bukti gambar dan video, bolehkah kita mengharapkan keadilan apabila pihak polis pula yang kali ini bertindak ganas?

“Hanya siasatan yang terdiri daripada pakar antarabangsa boleh memberi laporan yang boleh dipercayai supaya kita boleh mengetahui kebenaran apa sebenarnya yang berlaku,” ujarnya. – Roketkini.com