Budaya

Derita Kampung Bersih – Oleh Ameer Maidin

CERPEN

Penduduk Kampung Bersih sudah tidak tahan lagi dengan pentadbiran Mukim yang semakin meminggirkan dan menganaktirikan mereka. Mereka rasa masanya sudah tiba untuk bertindak.

Melalui satu musyawarah, mereka telah memutuskan untuk mengemukakan lapan tuntutan bagi membolehkan pemilihan ketua dan jawatankuasa diadakan dengan lebih adil, bebas dan telus.

Mereka berpendapat ia wajib dilakukan kerana pemilihan yang kotor dan tidak adil telah menyebabkan jawatankuasa yang ada, dengan sokongan pentadbiran Mukim yang lebih sayangkan keluarga dan kroni daripada penduduk kampung, telah menjadikan kampung mereka semakin teruk dilanda rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

Maka dikemukakan lapan tuntutan itu:
1.      Bersihkan senarai undi
2.      Reformasikan undi pos
3.      Gunakan dakwat kekal
4.      Akses media yang bebas dan adil
5.      Tempoh kempen minima 21 hari
6.      Kukuhkan institusi awam
7.      Hentikan rasuah
8.      Hentikan politik kotor

Pentadbiran Mukim bukan sahaja tidak peduli, malah menuduh penduduk kampung bersikap kurang ajar, tidak mengenang budi dan dipengaruhi oleh anasir asing.

Bantahan besar

Maka penduduk kampung yang kecewa dengan reaksi Mukim telah mengadakan satu bantahan besar. Pihak Mukim telah memanggil pihak berkuasa untuk bertindak ganas terhadap mereka.

Namun, walau pun media milik Mukim hanya menceritakan kebaikan Mukim dan menggambarkan penduduk kampung Bersih sebagai manusia yang jahat, orang kampung yang kini mempunyai akses internet telah menyebarkan berita yang sebenar.

Maka penduduk kampung-kampung berdekatan serta di mukim-mukim lain telah mengetahui apa yang sebenarnya berlaku, siapa yang baik, siapa yang jahat.

Justeru, amat bimbanglah pihak pentadbiran Mukim. Lalu dipanggilnya mesyuarat peringkat tertinggi untuk menunjukkan kepada semua orang kampung bahawa pihak Mukim amat prihatin dengan keperluan mereka.

Selepas itu diumumkan bahawa sebuah jawatankuasa besar ditubuhkan dan menjalankan proses untuk memenuhi tuntutan rakyat walau pun penduduk Kampung Bersih masih dituduh sebagai pengkhianat Mukim.

Muslihat

Tetapi selepas keputusan jawatankuasa diumumkan, nyata hanya satu sahaja tuntutan diterima. Yang lain ditolak bulat-bulat.

Maka kecewa lagi penduduk Kampung Bersih. Dan satu lagi perhimpunan aman diadakan untuk menuntut pemilihan yang adil, bebas dan bersih. Dan sekali lagi, serta lebih ganas pula, pihak berkuasa Mukim bertindak ke atas penduduk kampung.

Akhirnya Timbalan Penghulu Mukim (TPM) telah mengumumkan bahawa pihak Mukim sebenarnya telah bersetuju untuk melaksanakan 22 perkara, iaitu lebih daripada lapan tuntutan Kampung Bersih.

Lalu dihebahkan oleh media milik Mukim ke seluruh pelusuk kampung untuk menunjukkan betapa sayang dan kasihnya pentadbiran Mukim kepada orang kampung.

Lantas Pak Cik Ali, anak pengasas Kampung Bersih bertanyakan kepada anak-anak muda kampungnya, “Betulkah begitu baik hati sekali TPM kita menawarkan 22 perkara untuk pemilihan yang bebas, adil dan bersih? Kita hanya minta lapan sahaja…”

Maka dijawab Zulfikar, anak muda kampung yang bersahabat baik dengan May Lee, Siva, Ranjit,  Janet Kaban, Robert Rutum serta Jiman Jujuk, bahawa “Pak Ali, memang dia bagi 22, tapi satu pun yang kita minta dia tak bagi.”

“Maksudnya?” tanya Pak Cik Ali.

“Yang kita minta ialah bersihkan senarai undi, reformasi kepada undi pos, gunakan dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

“Yang dia bagi tak ada kena-mengena dengan yang kita minta. Maksudnya dia nak bagi apa yang kita tak perlukan. Jadi apa pun yang dia tawarkan kat kita, ia tak boleh jadikan pemilihan yang bersih, bebas dan adil.

“Malah banyak dari apa yang dia nak bagi, lebih untungkan kumpulan yang sedang tadbir Mukim sekarang ini,” jelas Zulfikar, anak muda yang petah Facebook dan Twitter.

“Oh gitu…” suara Pak Cik Ali mendayu.

Tipu lagi

Memang Pak Cik pun sedar. Apa gunanya jika daripada 22 tawaran pentadbiran Mukim itu, satu pun tak dapat membersihkan pemilihan yang sudah lama cacat, kotor dan penuh dengan manipulasi.

Bunyi cadangan-cadangan Mukim itu sama saja dengan peraturan Suruhanjaya Pemilihan Mukim yang sudah ada tapi jarang dikuatkuasakan kerana takut dengan pentadbiran Mukim.

Yang pasti, kata Pak Cik Ali dalam hatinya, penduduk Kampung Bersih masih membara jiwa mereka kerana pentadbiran Mukim masih angkuh dan bongkak enggan bertanggungjawab melaksanakan pemilihan bersih, adil dan bebas.

Pak Cik Ali sedar bahawa:
* Senarai undi masih kotor dan penuh dengan nama-nama hantu
* Tempoh kempen amat singkat ikut suka hati pentadbir Mukim
* Akses media bukan sahaja tidak adil, malah penduduk Kampung Bersih dihina, dikeji dan dicaci setiap hari
* Institusi awam dipergunakan oleh pentadbiran Mukim untuk mengugut dan memfitnah penduduk Kampung Bersih
* Rasuah masih berleluasa kerana setiap hari TPM dan penghulu-penghulu Mulim yang lain sibuk menawarkan wang kutipan cukai kampung kepada orang kampung; maklumlah pemilihan kampung semakin hampir,
* Politik kotor sudah jadi budaya pentadbiran Mukim.

Harapan masih ada

Zulfikar menepuk bahu Pak Cik Ali, “Tak apalah Pak Ali, kita tetap boleh bersabar. Dan dalam sabar kita terus ikhtiar dan berjuang.”

Pak Cik Ali tersentuh hati dengan semangat anak muda yang sebaya dengan anak bongsunya. Dia juga tidak sangka anak kampung itu mudah mesra dengan semua orang termasuk mereka yang berbeza kaum dan agama. Mungkin itu satu harapan baru.

Maka amat banggalah Pak Cik Ali dengan semangat perjuangan anak muda Kampung Bersih yang tetap tidak luntur walau berhadapan dengan duri dan onak, hasil pentadbiran kotor Mukim. Harapan masih ada. – Roketkini.com