Berita

Roketkini anjur pertandingan Pesta Lagu Jalanan cungkil bakat muda

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Roketkini.com menganjurkan Pertandingan Mencipta Lagu Jalanan  bermula hari ini sehingga 24 Jun dengan acara kemuncak Pesta Lagu Jalanan pada 14 Julai 2012 bertempat di tempat letak kereta Menara MBPJ Petaling Jaya, Selangor.

Pengerusi jawatankuasa penganjur, Dyana Sofya berkata, pesta itu diadakan sebagai satu usaha murni bagi memberi galakan dan mempromosi kesedaran terhadap nilai-nilai perpaduan, demokrasi, hak asasi, kemanusiaan, integriti dan kerajaan yang adil di kalangan generasi muda.

“Selain mencungkil bakat kreatif anak muda untuk berkarya, dua acara ini merupakan satu platform bagi anak muda menyalurkan kreativiti mereka dengan lebih berkesan dan terarah.

“Penyertaan adalah percuma dan gaya muzik lagu ciptaan adalah bebas,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Pemenang  acara ini akan dinobatkan sebagai Juara Lagu Jalanan dengan hadiah berupa wang tunai RM3,000 manakala Naib Juara akan memenangi wang tunai RM2,000, tempat ketiga RM1,000  dan sembilan finalis lain akan menerima saguhati sebanyak RM500 seorang/sekumpulan.

Selain itu pemenang Video terbaik dan Lagu Paling Popular menerusi undian di Facebook akan menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM500 setiap satu.

Panel juri untuk acara Pertandingan Mencipta Lagu Jalanan dibarisi NikBinJidan, busker terkenal yang popular dengan album Javidnamah; Hasmi Hashim, penulis lirik lagu Awan Nano yang memenangi Anugerah Juara Lagu ke-26; Hishamuddin Rais, pengarah filem, penulis dan aktivis; Anthony Loke, Ketua Pemuda DAP merangkap penyanyi dan penulis lirik lagu kepmen pilihan raya ‘UBAH’ dan Dayangku Intan, penyanyi terkenal. tanah air.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat menerusi e-mel kepada [email protected] atau talian terus 013 300 8360; hubungi Fairuz Azhan. Segala terma dan syarat bolehlah dirujuk kepada www.pestalagujalanan.com.my atau facebook.com/PestaLaguJalanan.

Pertandingan Mencipta Lagu Jalanan 2012 dan Pesta Lagu Jalanan adalah acara anjuran laman web Roketkini.com dengan kerjasama Radio Bangsar Utama, Pusat Khidmat DUN Kinrara dan Pusat Khidmat DUN Bukit Gasing. – Roketkini.com