Berita

FGVH: Hanya 20% untuk peneroka, siapa sapu 80% lagi?

KUALA LUMPUR, 5 JUN: ‘Durian runtuh’ RM15,000 yang dijanjikan oleh kerajaan kepada setiap keluarga peneroka Felda sebenarnya hanya 20% daripada RM8.8 billion yang sepatutnya diterima oleh setiap keluarga peneroka.

Malah, Setiasusaha Publisiti DAP Tony Pua mempersoalkan tindakan kerajaan UMNO-BN yang tergesa-gesa mahu menjual pegangannya Felda Global Ventures Holding (FGVH), menuntut dijelaskan  motif dan agendanya.

Beliau mendesak kerajaan UMNO-BN menjelaskan sebab kerajaan bertindak untuk menjual kepentingan dan sahamnya secara besar-besaran jka FGVH benar-benar akan “melonjak” menjadi sebuah syarikat bertaraf dunia.

Menurutnya, daripada RM9.96 bilion dana yang akan dikumpul, hanya 40% daripada wang tersebut akan ditujukan kepada FGVH untuk matlamat pelaburan dan operasi.

Ujarnya lagi, prospektus syarikat menyatakan 87.7% daripada dana tersebut pula akan digunakan untuk pelaburan aset ladang yang baru, membeli kelengkapan dan perniagaan kilang pembuatan minyak dan lemak, dan juga untuk penaiktarafan aset-aset yang sedia ada.

“Sebaliknya, baki 60% daripada wang yang terkumpul daripada penyenaraian FGVH adalah milik kerajaan melalui penjualan saham yang dimilik oleh FELDA.  Jumlah yang akan dikumpul kerajaan adalah melebihi jumlah yang diperuntukkan kepada syarikat FGVH, iaitu RM5.5 bilion,” katanya.

Justeru, Pua mempersoalkan mengapa kerajaan UMNO-BN terlalu ghairah mahu melepaskan begitu banyak pegangannya dalam FGVH yang dikatakannya akan semakin berkembang pesat.

“Apakah sebabnya kerajaan memerlukan RM5.5 bilion daripada penjualan saham FGVH milik FELDA? Sedangkan janji “durian runtuh” RM15,000 kepada setiap keluarga FELDA hanya akan memakan perbelanjaan sebanyak RM1.69 bilion sahaja,” tambah beliau.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mendakwa FELDA mengambil jalan singkat dengan memajakkan tanah ladang peneroka kepada FGVH dengan harga yang murah kerana apabila FGVH disenaraikan, FELDA hanya perlu membayar sebanyak RM1,490 bagi setiap hektar tanah atau RM 530 juta setahun.

Katanya, pada Januari 2012, FGVH telah diberikan hak ke atas tanah ladang peneroka selama 99 tahun yang akan menjadikan FELDA kehilangan RM394 juta setahun.

Menurut beliau, langkah kerajaan yang kelihatan begitu terdesak, ditambah dengan pertambahan keuntungan FGVH dengan pendapatan melebihi RM500 juta, yang sepatutnya menjadi hasil kepada Koperasi Permodalan Felda (KPF) setiap tahun, menimbulkan keraguan.

“Atas sebab jumlah wang RM5.5 bilion yang teramat besar dan kepentingan 112,635 peneroka Felda, DAP mahu kerajaan UMNO-BN secara telus dan akauntabel menjawab isu-isu membangkitkan rasa kecurigaan terhadap niat kerajaan dalam penyenaraian FGVH.

“DAP tidak mahu para peneroka FELDA menjadi mangsa kerakusan poilitik para pemimpin UMNO-BN. Tanpa peneroka, tidak akan wujud FELDA,” ujarnya. – Roketkini.com