Rencana

Apa ertinya demokrasi? – Oleh Iza Suraiya

Jika mengikut tafisran UMNO-Barisan Nasional, istilah “demokrasi” bererti pilihan raya empat atau lima tahun sekali, Sepanjang tempoh itu pula, kerajaan UMNO-BN tahu apa yang baik untuk rakyat. Jadi, suka atau tidak,  rakyat terima sahajalah apa yang UMNO-BN lakukan.

Itu tafsiran demokrasi UMNO-BN yang diamalkan sejak zaman berzaman, terutamanya sejak zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad pada awal dekad 1980-an hingga sekarang.

Sebenarnya, demokrasi bukan sekadar mengundi atau bila Malaysia ada wakil rakyat, ada hakim, ada NGO, ada pilihan untuk masuk mana-mana parti politik. Itu semua sudah jelas, ia manifestasi demokrasi.

Apa sebenarnya demokrasi?

Kunci utama demokrasi ialah sistem memilih atau mengubah kerajaan melalui pilihan raya yang bersih, adil dan bebas. Ia memerlukan penyertaan aktif setiap warga (bukan hanya ahli-ahli politik) untuk memastikan kerajaan yang dipilih melaksanakan tanggungjawab untuk melindungi hak, nyawa dan harta benda rakyat.

Bagi memastikan demokrasi benar-benar terlaksana sepenuhnya, perlu ada pelaksanaan kedaulatan undang-undang (rule of law) di mana setiap warga dianggap sama dan saksama di sisi undang-undang tanpa ada pilih kasih (selective prosecution).

Paling penting, demokrasi moden yang berteraskan kebebasan perlu datang dengan tanggungjawab. Tidak ada gunanya demokrasi tanpa tanggungjawab atau penyalahgunaan kuasa oleh pihak pemerintah.

Melaksanakan demokrasi

Proses pendemokrasian  hanya akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan adil di Malaysia apabila institusi-institusi awam di negara ini bebas dari rasuah. Setakat ini, jalannya masih jauh lagi.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh Transparency International Malaysia bahawa Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun 2011 untuk Malaysia jatuh dari tangga 56 pada 2010 ke tangga 60 pada 2011 amat menyedihkan.

Apatah pula indeks persepsi rasuah dan korupsi yang semakin merundum itu mencerminkan ada banyak yang tak kena dengan negara ini di mana para pemimpinnya amat gemar bercakap tentang agama dan nilai-nilai moral.

Pilihan raya perlu bersih

Demokrasi yang baik memerlukan urus tadbir yang berintegriti dan bermaruah. Sebagai contoh terdekat, sistem pilihan raya negara ini juga perlu bersih, bebas dan adil.

Ia memerlukan Suruhanjaya Pilihan Raya yang bebas dari campur tangan mana-mana parti politik. Namun di Malaysia, persepsi terhadap SPR adalah buruk kerana ramai merasakan pucuk pimpinannya lebih berpihak kepada UMNO-BN, dan membenarkan diri dipergunakan oleh media arus perdana kawalan UMNO-BN untuk mengutuk parti-parti lain.

Lapan tuntutan BERSIH untuk pilihan raya yang adil, bebas dan bersih tidak dilayan oleh SPR yang membiarkan diri diperalatkan oleh pemerintah UMNO-BN. Sedangkan semakin ramai rakyat sedar bahawa hanya pilihan raya yang bersih, bebas dan adil yang boleh merealisasikan impian Malaysia sebagai sebagai sebuah ‘negara demokrasi terbaik di dunia’ seperti yang di dikatakan Perdana Menteri Najib Razak sendiri.

Demokrasi tidak bermakna jika hak dan kebebasan disekat

Apa gunanya bangga dengan istilah demokrasi jika kebebasan untuk berucap, bersuara dan berhimpun terus disekat oleh kerajaan. Contohnya apa yang berlaku terhadap perhimpunan BERSIH 3.0 yang memperlihatkan kerajaan dan polis bersikap tidak demokratik dengan melepaskan gas pemedih mata dan memukul peserta.

Apa gunanya bangga dengan kata-kata demokrasi jika kuasa kerajaan persekutuan mendominasi kuasa negeri-negeri. Sedangkan kerajaan negeri yang lebih dekat dengan rakyat tempatan lebih tahu masalah-masalah setempat.

Untuk mengembalikan martabat rakyat, proses pendemokrasian untuk melahirkan suasana demokrasi sebenar perlu dilaksanakan dengan adil dan telus. Jika UMNO-BN masih degil dengan tuntutan rakyat, maka rakyat harus bersedia untuk UBAH. – Roketkini.com