Rencana

Tahniah Morsi, jalan tengah menjadi pilihan Oleh Izmil Amri

Tidak banyak yang kita tahu tentang Mesir selain perihal firaun, piramid, tarbus dan sungai Nil. Mungkin ada sedikit sebanyak daripada pembacaan dan pemerhatian yang memberikan gambaran-gambaran lebih jelas tentang negara tersebut yang sehari lalu menyambut perlantikan presidennya yang baru setelah puluhan tahun ditadbir regim Hosni Mubarak.

Mesir membangun dan berkembang pada skala yang agak sama dengan Malaysia. Begitu juga dengan kesedaran Islamnya, juga pada kelajuan yang hampir sama dengan Malaysia. Awal 1950-an, ustaz dan ustazah kita juga masih selesa dengan pakaian Eropah, dan tidak pula berhijab segala. Sama keadaannya dengan Mesir. Rakyatnya masih senang memegang gelas scotch di majlis-majlis keraian pada waktu itu.

Namun Mesir sudah memecut pantas meninggalkan Malaysia yang masih terkial-kial mencari peradaban dan jati diri bangsa. Mesir, merdeka daripada jajahan Inggeris seawal tahun 1922 dan membentuk negara republik pada tahun 1953. Firaun sudah lama ditenggelamkan dalam negara yang pantas membina tamadun itu.

Mesir mendahului Malaysia

Hari ini sekali lagi sejarah Mesir memintas Malaysia, apabila Dr Muhammad Morsi, daripada Hizbul hurriya wal-ádalah, atau Partai Kebebasan dan Keadilan berhasil memintas lawannya pada marjin tipis untuk bergelar presiden terbaru republik itu setelah Revolusi Mesir dan peristiwa bersejarah Dataran Tahrir.

Dr Morsi adalah seorang jurutera terlatih yang dilatih sebagai seorang pemimpin gerakan Ikhwanul Muslimin yang diasaskan Imam Hasan Al-Banna dan melahirkan tokoh-tokoh revolusioner seperti Sayyid Qutb dan ribuan lagi pejuang-pejuang tidak didendang yang telah lama mendiami penjara-penjara Mesir.

Dr Morsi juga tidak terlepas daripada penjara Mubarak, dan telah pernah dua kali dikurung. Pada tahun 2006, beliau pernah dikurung selama tujuh bulan kerana didakwa menyertai demonstrasi menghentam penglibatan Mubarak dengan badan kehakiman. Pada awal pagi 28 Januari 2011, beliau ditahan bersama beberapa lagi pemimpin Ikhwan. Langkah terdesak Mubarak untuk menghalang usaha perhimpunan rakyat untuk menghumbannya keluar dari istana presiden Mesir.

Justeru mengundang kenyataan Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh, tentang penjara Mesir. Kata beliau penjara Mesir ini ajaib. Ismail mengaitkan cerita Nabi Yusuf, yang dipenjara di Mesir dan kemudian setelah lepas bebas menjadi penguasa mentadbir harta kekayaan Mesir. Menurutnya, Dr Morsi melalui perkara serupa dan akhirnya menjelma jadi presiden.

Dr Morsi ini, dek kerana latihannya di dalam Ikhwan, amat rendah hati sikapnya. Ucapan sulungnya sebagai Presiden Republik Arab Mesir semalam, meski dibaca dari teks, kata-katanya tetap mengharukan dan menyentuh hati.

Sifat pemimpin adil, demokratik

Dr Morsi memetik kata-kata Khalifah Umar Al-Khattab dan dengan lemah lembut menyebut kepada rakyat Mesir bahawa, ya, dia telah dipilih untuk menguasai mereka tetapi dia bukanlah yang terbaik dari kalangan mereka. Dan seandainya dia berbuat salah, tiada kewajipan ke atas rakyat Mesir untuk terus taat kepadanya.

Beliau turut menyeru ke arah perpaduan, meski wujud perpecahan yang jelas dalam politik dan sosial Mesir sejak Kebangkitan Dunia Arab dan gerakan revolusi Mesir 2011 yang meletakkan Mesir dalam pemerintahan junta untuk satu masa yang agak panjang.

Dr Morsi dengan lemah lembut tutur kata memujuk rakyatnya yang berlainan agama dan kelas supaya kembali merangkul negara yang mereka cinta itu ke arah Mesir yang baru. Biarpun mereka Kristian atau Muslim, mereka tetap warga Mesir; demikian katanya.

Morsi lahir tahun 1951 di Sharqiya, dan mengaji kejuruteraan di Universiti Kaherah sebelum bertandang ke tanah Amerika untuk mengusahakan ijazah doktor falsafahnya dalam bidang serupa. Beliau pernah menjadi pembantu profesor di universiti tempat ia mengaji sebelum berkeputusan kembali ke Universiti Zagazig, Mesir untuk membantu mendidik anak bangsa.

Pengorbanan beliau nampaknya berhasil dan kini bekas aktivis Ikhwan itu adalah Presiden masa depan Mesir.

Masih tidur, Malaysia?

Malaysia juga nampaknya semakin menghampiri perubahan, jika trend zaman lalu masih boleh diguna pakai, kerana seperti biasa, Malaysia memang selalunya menyusul di belakang Mesir. Cumanya yang kita harapkan ialah Malaysia tidak terlalu jauh ketinggalan.

Kemenangan Dr Morsi adalah isyarat jelas kepada mana-mana penguasa di serata dunia untuk berhenti sejenak dan memeriksa keadaan. Meski pun kemenangan Morsi itu adalah dengan majoriti yang amat tipis, hakikatnya ialah demokrasi telah berfungsi kembali setelah regim Mubarak ditumbangkan.

Ketakutan yang dirasai United Malays National Organisation adalah ketakutan yang biasa bagi kelompok pemerintah yang semakin hampir ke hujung usianya. Sewajarnya kita amankan hati mereka ini dengan janji manis agar tidak diseret semuanya ke mahkamah sepertimana yang terjadi kepada Hosni Mubarak.

Mesir bangkit tahun lalu setelah menyedari bahawa mereka sudah terlalu lama ditindas pemerintah. Malaysia masih belum bangun tidur? – Roketkini.com